Thursday, December 22, 2011

Nazar


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ، أما بعد

Nazar dari segi bahasa ialah janji secara mutlak sama ada berupa perbuatan baik atau buruk. Manakala menurut syara’ ialah mewajibkan diri untuk melaksanakan suatu qurbah (ibadah) yang bukan fardhu ain dengan sighah tertentu. Nazar hanya berlaku pada ibadah sunat (seperti sembahyang/puasa sunat) atau fardhu kifayah (seperti sembahyang jenazah, jihad fi sabilillah, dll), sehingga tidak sah nazar pada ibadah fardhu ain (seperti sembahyang fardhu lima waktu, puasa Ramadhan, dll) atau yang bukan ibadah, sama ada pekerjaan mubah (seperti makan, tidur, dll), makruh (seperti puasa dahr bagi orang yang bimbang sakit) ataupun haram (seperti minum arak, berjudi, dll).

Nazar terbahagi dua;

  1. Nazar lajaj, iaitu : nazar yang berupa anjuran pada diri sendiri untuk melakukan sesuatu, atau pencegahan dari melakukan sesuatu atau kerana marah dengan mewajibkan pada dirinya untuk melakukan sesuatu. Misalnya : pernyataan “jika aku bercakap dengan Zaid, maka aku akan berpuasa satu hari”, dalam pernyataannya “jika aku berbicara dengan Zaid” boleh kerana didasari marah kepadanya, atau ingin mencegah dirinya dari bercakap dengannya atau hanya kerana ingin mendorong dirinya untuk berpuasa.

  1. Nazar tabarrur, iaitu : nazar yang tidak digantungkan dengan sesuatu apapun atau digantungkan dengan sesuatu yang disukai. Misalnya pertama : “aku nazar puasa hari Isnin dan Khamis” , misal kedua : “jika aku sembuh dari penyakitku, maka aku akan bersedekah”

Syarat-Syarat Nazir (orang yang bernazar)

  • Beragama Islam (khusus untuk nazar tabarrur, manakala nazar lajaj tidak disyaratkan Muslim)
  • Atas kehendak sendiri (bukan paksaan)
  • Orang yang sah tasarrufnya (baligh dan berakal)
  • Memungkinkan untuk melaksanakan nazarnya.

Maka tidak sah nazar anak kecil, orang gila, dalam keadaan dipaksa, melakukan perkara yang tidak memungkinkan untuk melaksanakannya seperti nazar berpuasa bagi orang yang sakit parah dan nazar orang kafir (khusus nazar tabarrur).

Nazar wajib untuk dilakukan dan bagi orang yang meninggalkan : jika berupa nazar lajaj, si nazir (orang yang bernazar) boleh memilih antara mengerjakan apa yang dinazari atau membayar kaffarah yamin iaitu : mengerjakan salah satu dari tiga pilihan berikut : membebaskan hamba Muslim, memberi makan 10 orang miskin setiap orang satu mud (± 7,5 ons) atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin. Namun jika tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan di atas, maka wajib berpuasa tiga hari.

Adapun jika nazar tabarrur, maka wajib melaksanakan apa yang telah dinazari (tanpa ada pilihan mengerjakan kaffarah yamin).

و صل الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم ، والحمد لله رب العالمين
والله أعلم

Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, jil. 18, hal. 321 dan 456

No comments:

Post a Comment