Thursday, August 26, 2010

Adakah Wajib (Solat) Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat?

Oleh : Ustaz Mohammad Elias Bin Abdul Jalil Al-Malakawi

Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka hadir ahli kampung yang jauh yang wajib Jumaat untuk sembahyang hari raya. Jikalau kembali mereka kepada keluarga mereka nescaya meraka akan luput Jumaat. Adakah mereka boleh kembali kepada keluarga mereka selepas sembahyang hari raya? Telah dijawab oleh ulama Syafie bahawa harus mereka itu kembali dan mereka itu boleh meninggalkan Jumaat.

Difaham dari kalam ulama itu bahawa orang yang boleh meninggalkan Jumaat pada hari itu ialah mereka yang duduk jauh yang mana jikalau kembali mereka selepas sembahyang sunat hari raya nescaya mereka tidak sempat datang semula ke tempat Jumaat. Pada asalnya mereka itu wajib Jumaat kerana mendengar seruan azan dari kampung yang wajib Jumaat.

Dengan itu sekarang di Malaysia, kita lihat tidak ada tempat yang keadaan seperti itu. kalau adapun mungkin di kawasan pendalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Di tempat lain kemudahan banyak sama ada mereka boleh kembali dengan kenderaan atau lainnya dan tempat dikerjakan sembahyang Jumaat (adalah) dekat.

Syarat boleh meninggalkan Jumaat pada masalah ini:

1. Hendaklah mereka itu bersembahyang hari raya di tempat Jumaat. Jika mereka mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang tidak di buat Jumaat seperti surau atau lainnya maka wajib mereka datang ke tempat Jumaat untuk sembahyang Jumaat.

2. Kesukaran kembali ke tempat Jumaat sehingga jika mereka kembali dan datang semula meluputkan Jumaat. Jika mudah kembali ke tempat Jumaat, maka wajib mereka itu mengerjakan sembahyang Jumaat.

3. Mereka itu telah kembali sebelum masuk waktu Jumaat. Sekiranya mereka masih berada di kampung yang dibuat Jumaat, maka wajib mereka mengerjakan sembahyang Jumaat.

4. Hadir mereka itu ke tempat Jumaat untuk sembahyang hari raya. Jika hadir mereka ke tempat Jumaat bukan kerana sembahyang hari raya tetapi kerana membeli barang atau lainnya, maka wajib Jumaat ke atas mereka itu sekalipun mereka sudah kembali ke tempat mereka.

Wallahua'lam.

Monday, August 16, 2010

Seorang Anjing Seekor Manusia

Selalu aku perhatikan
anjing kurus dan kotor itu
melintas lalu di lorong ini
dengan kaki terdengkut
akibat dibaling dengan batu.

Hari-hari pun begitulah ia
sering mencari makanan dengan
menyelongkar tong-tong sampah
di kawasan tersebut meski ia akan
terus dibaling dan dibaling lagi
dengan batu.

Suatu petang ia tiba-tiba
menyalak dengan lebih nyaring
daripada selalu sambil menarik
sebuah bungkusan plastik berdarah
untuk seketika sekitar lorong
menjadi gempar lalu orang bergegas
mengejarkan seorang bayi ke hospital.

Seekor manusia membuang anak
Seorang anjing menyelamatkannya.

Pada zaman serba canggih
dan maju ini
anjing
kadang-kadang menjadi lebih baik
daripada manusia!

Zahari Hasib, Teluk Intan, Perak.

Utusan Melayu Mingguan, Isnin, 19 Julai 2010, hal. 13.

Saturday, August 14, 2010

Istiqamah Amalan Sepanjang Ramadhan – Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat Ilahi kepada hamba-Nya, kerana hanya Ramadhan disebut namanya oleh Allah di dalam Al-Quran, sedangkan bulan-bulan lain tidak dinyatakan namanya oleh Allah. Ini satu penghormatan Ilahi kepada Ramadhan serta pengisytiharaan Ilahi kepada seluruh umat manusia. Lantaran itu kehadiran Ramadhan hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif positif bagi menjadikannya pemangkin kepada perubahan.

Antara musuh utama yang diisytiharkan oleh Allah Ta'ala bagi manusia ialah syaitan, sebagaimana firman Allah Ta'ala: “Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu, maka hendaklah kamu perlakukannya sebagai musuh”. Syaitan yang menjadi musuh utama itu telah dibelenggu oleh Allah Ta'ala sepanjang Ramadhan. Ini satu lagi rahmat Ilahi kepada hamba-Nya dalam bulan Ramadhan.

Menyedari syaitan bukan lagi menjadi halangan bagi muslim sepanjang Ramadhan, maka yang tinggal hanyalah hawa nafsu yang juga menjadi keperluan manusia. Nafsu bukanlah semua negatif, kerana adanya nafsu mutmainnah yang membina nilai positif, hanya nafsu amaarah yang mendorong ke arah nilai negatif. Maka mengenal sifat nafsu amaarah sangat penting, kerana nafsu ini secara sendiriannya ia tidak mendorong ke arah keburukan, hanya ia berhajat kepada faktor lain bagi membentuk sikap negatif dalam jiwa manusia. Seperti sifat pemarah yang dihasilkan dari ego, takabbur, makanan yang mengandungi kadar kolestrol tinggi, daging, persekitaran yang membosankan serta tekanan hidup. Maka faktor-faktor pendorong inilah yang perlu dijauhi agar nafsu amaarah tidak bergelojak dalam diri seterusnya mendorong kepada keburukan.

Jadikan Ramadhan sebagai titik tolak (turning point) kepada perubahan positif dalam diri. Untuk melakukan perubahan adalah sesuatu yang sangat sukar dalam kehidupan manusia, apatah lagi kalau sesuatu itu telah sebati dalam diri mereka atau telah lama dilakukan sehingga ianya menjadi budaya bagi dirinya. Seperti mendedahkan aurat. Bagi sesetengah wanita yang biasa tidak memakai tudung, sehingga ia rasakan perkara tersebut sebagai perkara biasa seolah-olah bukan lagi satu dosa. Kedatangan Ramadhan sebaiknya dijadikan titik tolak memulakan kehidupan baru sebagai wanita Islam dengan memulakan memakai tudung, serta menutup aurat dengan sempurna. Mendirikan solat berjamaah dan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Ia sangat ringan untuk memulakan di awal Ramadhan ini.

Keghairahan di awal Ramadhan sangat menyeronokkan, bila mana surau dan masjid dipenuhi oleh pelbagai golongan bagi mendirikan solat tarawikh. Hal ini perlu dikekalkan sehingga penghujungnya dan berterusan selepas itu. Namun yang biasa kita lihat semakin hampir ke penghujung Ramadhan, semakin berkuranglah jamaah. Sedangkan di akhir Ramadhan lah dipenuhi dengan hari-hari Allah Ta'ala melepaskan manusia dari azab neraka.

Persoalannya bagaimanakah untuk istiqamah. Maka empat jalan yang disarankan:
• Lakukan amal ibadah secara sederhana, ringan tetapi berkekalan. Jangan ghairah di awal sehingga menjemukan.
• Memikirkan banyaknya kesalahan dan dosa dengan Allah Ta'ala, yang menuntut kita membanyakkan bekalan amal ibadat dan bertaubat dari dosa tersebut.
• Semua keberkatan, rahmat dan keampunan yang ada dalam bulan Ramadhan akan berakhir, maka kita mesti mengambil peluang ini sebelum ianya berakhir.
• Mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan akhir dalam kehidupan kita, maka kita mesti mengambil kesempatan sepenuhnya.

“Ya Allah, jadikalah awal Ramadhan ini sebagai hari-hari terbaik dalam kehidupanku, dan jadikan aku orang yang sabar dipertengahan Ramadhan dan perkuatkan imanku pada akhir Ramadhan agar dengannya aku dikasihi olehMu, diampuni seluruh dosaku dan diberkati baki-baki dari umurku.” Amin…

Friday, August 13, 2010

Sebab Berlaku Perselisihan Dalam Mazhab

Perselisahan para ulamak pada masalah cabang adalah rahmat Allah Ta'ala terhadap hambanya. Oleh kerana ada perbezaan maka mudah bagi hamba Allah Ta'ala berbuat ibadat.

Sebagai contoh cuba kita lihat masalah wudhuk bagi mereka yang hendak tawaf, mengikut Mazhab Syafie batal wuduk dengan sebab bersentuh perempuan yang halal berkahwin, dengan itu telah kita ketahui di dalam Masjid Haram orang terlalu ramai, jadi kita yang bermazhab Syafie sukar memelihara wudhuk kita, maka di haruskan bagi kita bertaklid (mengikut pendapat) mazhab yang mengatakan tidak batal wudhuk dengan sebab bersentuh perempuan yang halal nikah.

Tetapi apibila seseorang itu hendak bertaklid dia hendaklah mengikut syarat-syarat bertaklid.

Sekarang ini saya hendak membawa sebab-sebab asas yang menyebabkan berlaku perselisihan.

Sebab perselisihan yang asas adalah sumber hukum yang bebeza.

Cuba kita lihat sumber hukum tiap-tiap mazhab:

1. Mazhab Hanafi:

* Al-Qurannul-Karim.
* Sunnah Rasululah yang sahih dan mashur sahaja.
* Ijmak sahabat Nabi.
* Qiyas.
* Istihsan (kebaikan umum)

1. Mazhab Maliki:

* Al-Qurannul-Karim.
* Sunnah Rasululah yang sahih menurut pendapat b eliau.
* Amalan para ulamak ahli Madinah ketika itu.
* Qiyas.
* Masalihu mursalah (kepentingan umum.

1. Mazhab Syafie:

* Al-Qurannul-Karim.
* Sunnah Rasululah yang sahih menurut pendapat beliau iaitu:

1. Hadith mutawatir.
2. Hadith ahad yang sahih.
3. Hadith masyhur yang sahih.

* Ijmak mujtahidin
* Qiyas.

1. Mazhab Hambali:

* Al-Qurannul-Karim.
* Ijmak sahabat Nabi
* Sunnah Rasululah termasuk hadis mursal dan hadis dha’if
* Qiyas.



Keempat-empat mazhab menjadikan Al-Quran sumber utama.

Sedangkan pada hadith ada perbezan, tiga mazhab meletakkan hadis sumber hukum yang kedua manakala mazhab Hambali meletaknya pada tempat ketiga dan mendahulukan ijmak sahabat Nabi.

Cuba lihat syarat meletakkan hadith sumber hukum, ada perbezan, mazhab hambali meletakkan hadith daif sebagai sumber hukum kerana pendapatnya hadith walaupun dha’if hendaklah didahulukan daripada pendapat mujtahidin.

Istihsan pula menjadi sumber hukum mazhab Hanafi sedangkan tiga mazhab lagi tidak mengambilnya sebagai sumber hukum.

Istihsan ialah kebaikan umum atau yang lebih baik sebagai contoh perempuan yang berjunub dilarang membaca Al-Quran sepertimana didalam hadith Nabi. Dengan dalil ini adakah perempuan yang sedang haidh termasuk didalam larangan ini atas jalan qias.

Maka mazhab Hanafi membolehkan perempuan sedang haidh membaca Al-Quran kerana yang lebih baik baginya dibenarkan membaca Al-Quran kerana masa haidh adalah panjang sedangkan masa junub boleh ditamatkan dengan mandi.

Dengan ini dapat kita faham selain hendak menqias seorang mujtahid itu juga mesti memerhatikan mana yang lebih baik.

Manakala mazhab Maliki ketungalan menjadikan masalih mursalah sumber hukum.

Manakala mazhab ialah kepentingan umum sebagai contoh harus membunuh tawanan perang islam yang dijadikan benteng supaya dapat mengalahkan musuh. Sekiranya tawanan perang ini tidak dibunuh sama, maka kita tidak dapat mengalahkan musuh dan mereka akan dapat masuk kedalam kawasan Islam dan membunuh lebih ramai lagi. والله اعلم

SUMBER

Prinsip Politik (Parti) Palestin

Pada pagi semalam (12/08/2010) sempat menonton Buletin Awani (Astro Awani) untuk melihat perkembangan Misi Ke Gaza. Waratwan Astro Awani, Ashwad Ismail telah menyampaikan maklumat-maklumat terkini perjalanan mereka di Gaza. Mereka disambut baik oleh pemimpin Palestin dari parti Hamas, Ismail Haniyeh. Dalam perbualan Ashwad, beliau ada menyatakan bahawa Ismail Haniyeh menyatakan kemustahilan Hamas dan Fatah untuk bekerjasama. Ashwad menerangkan bahawa Ismail Haniyeh menerangkan sebab ketidakbolehan Hamas dan Fatah bersatu. Ismail Haniyeh menyatakan bahawa Hamas merupakan sebuah parti yang berjalan dan berdiri atas prinsip sebenar yang dianjurkan oleh Islam manakala Fatah merupakan parti yang berjalan di atas sistem sekular.

Baru-baru ini, sibuk di Negara kita tentang ajakan dan pelawaan beberapa orang kepada PAS untuk bergabung. Ada juga yang menawarkan diri sebagai orang tengah. Mursyidul Am PAS telah meletakkan syarat jika mahu meneruskan kesatuan itu. Syaratnya mudah sahaja iaitu UMNO menerima Islam.

Secara umumnya, kedua-dua parti ini mempunyai prinsip dan matlamat yang (agak) berbeza. PAS (sejak dahulu lagi) merupakan sebuah parti yang mendokong dan berprinsipkan ajaran sebenar Islam. UMNO pula sebuah parti yang mana penubuhannya ialah untuk membela kaum Melayu di Tanah Melayu (Malaysia).

Memang terdapat di setiap tempat bahawa ada pihak yang memperjuangkan Islam dan ada yang menolak, bahkan mempertiakaikannya (Hukum Islam). Tidak terkecuali bahawa di Negara kita juga wujud golongan-golongan ini yang mana berbeza ideologi politik mereka.

Ringkasnya, pendirian (prinsip) politik di Palestin, seperti berikut:
Hamas = Membawa prinsip Islam sebenar.
Fatah = Membawa sistem sekular.

Nilailah dengan mata hati yang terbuka. Kita semua dikurniakan akal untuk berfikir dan membezakan yang haq dan yang batil. Wallahu a’lam.

*Pendapat ini merupakan pendapat peribadi. Tidak mewakili mana-mana parti, pertubuhan, atau persatuan. Perkara yang benar mesti dinyatakan, dan yang salah mesti diperbetul (ditegur).

Wednesday, August 11, 2010

44 Tahun Kepergian Sayyid Qutb

Oleh: Abdul Shukur Harun (shukurharun@yahoo.com)

Penghujung Ogos ini genaplah 44 tahun kepergian Mujahid agung, Al-Syahid Sayyid Qutb. Oleh itu marilah kita mengingati kembali sumbangan dan pengorbanannya terhadap Islam, merenung buah fikiran di renungnya dan dijadikan petunjuk sepanjang jalan bagi para Pejuang sehingga kini.

Pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb, Pemimpin dan Pemikir Ikhwanul Muslimin itu telah digantung hingga mati oleh rejim Gamal Abd Nasir di penjara Mesir bersama-sama sahabat perjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Namun ada sepotong kata-kata Mujahid agung ini yang sangat mengesankan diucapkannya beberapa ketika sebelum digantung.

Pegawai penjara yang bengis memberitahunya: “Sayyid Qutb, sebelum kamu digantung, ucapkanlah dua kalimah syahadahmu.”

Sayyid Qutb segera menjawab, “Aku bukan sahaja telah mengucapkan dua kalimah syahadah itu, malah aku telah melaksanakan tuntutannya.”

Selepas itu tali gantung pun menjerut lehernya, syahidlah Sayyid Qutb. Berita ini mengejutkan dunia Islam, jutaan umat menitiskan air mata kerana kepergiannya.

Kini 44 tahun telah berlalu, namun pemikiran Sayyid Qutb terus diingat da ditelaah habis-habisnya, terutama karya yang ditulisnya di dalam penjara, Tafsir fi Zilal al-Quran. Juga karyanya yang lain - Al-Mustaqbal li hadha al-Din, Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy, Mu’alim fi al-Tariq, Ya Arabi, dan banyak lagi.
Sesetengah karyanya itu telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Malah pemikiran Mujahid agung ini mengalir ke pelbagai belahan dunia, sampai ke Nusantara ini.

Bukunya, terutama Mu’alim fi al-Tariq menjadi rujukan dalam usrah baik pendukung PAS mahupun ABIM di Malaysia, bahkan ditelaah di Indonesia. Sejak lama dahulu kami menekuni pemikiran Sayyid Qutb ini dengan penuh minat kerana pegangan tauhidnya yang luar biasa.


Mujahid agung ini melihat hancurnya sifat insaniah apabila beliau melawat dunia Barat, Amerika dan tinggal di sana selama tiga tahun. Sayyid Qutb telah melihat peradaban Barat yang runtuh dan kehilangan makna manusiawinya dan inilah yang amat dikhuatiri olehnya apabila fenomena seperti ini melanda umat Islam di seluruh dunia.

Ternyata kebimbangan Sayyid Qutb itu ada benarnya apabila melihat umat Islam kini kehilangan izzah jati dirinya, terpinggir, malah menjadi bahan kajian bukan kerana kehebatannya masa lalu, tetapi ia menjadi fenomena yang sukar difahami dan menakutkan disebabkan umat Islam sendiri semakin berjauhan dengan nilai Islam atas kepentingan mereka.

Sayyid Qutb mula berkembang sebagai sasterawan dan kemudian menjadi pemikir Islam yang agung. Oleh itu ciri-ciri sebagai sasterawan dengan bahasa sastera yang sangat merdu menyebabkan Tafsir fi Zilal al-Quran begitu hidup dan mengesankan. Tafsirnya itu berbeza dengan tafsir yang lain, justeru ia membawa pembaca kepada gerak kerja harakah Islam.

Saya sangat terkesan dengan muqadimahnya dalam kitab Tafsir fi Zilal al-Quran itu apabila Sayyid Qutb menulis: “Hidup di bawah bayangan Al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak mungkin dapat diketahui melainkan bagi mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang luhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.”

“Aku hidup dengan bayangan AL-Quran seolah-olah aku mendengar Allah Ta’ala berkata-kata kepadaku melalui Al-Quran ini. Dia berkata dengan seorang hamba yang amat kerdil. Manakah penghormatan yang lebih tinggi dapat dicapai oleh seseorang dari penghirmatan Ilahi yang agung ini.

Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi daripada keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini. Manakah darjah kemuliaan yang lebih tinggi bagi seseorang, dari kemuliaan yang dikurniakan Allah Pencipta Yang Maha Kuasa.”



Beliau dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir mendapat didikan awal di rumah dari ibu bapanya yang kuat agama. Sewaktu berusia enam tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Dalam usia itu, beliau mula menghafal al-Quran dan sewaktu usianya 10 tahun beliau telah berjaya menghafal semuanya.

Ketika berusia 15 tahun, Sayyid Qutb berhijrah ke Kaherah, memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah tamat, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Pada tahun 1928 sewaktu berusia 22 tahun, Sayyid Qutb menyambung semula pengajiannya memasuki sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah. Pada tahun 1930, beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah. Kemudian beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir.

Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan dasar kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Hal ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan supaya Sayyid Qutb dihantar “berkursus” ke Amerika Syarikat.

Sayyid Qutb berminat dalam bidang Kesusateraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal. Bagaimanapun sejak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupannya. Iaitu era kesedarannya kepada Islam dan mula menulis rencana bersiri tentang Islam yang kemudian dibukukan.

Sayyid Qutb menyertai Ikhwan al-Muslimin pada tahun 1951 sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966. Bagi Sayyid Qutb, tempoh ini sangat penting baginya. Beliau menyertai Jamaah Ikhwan dua tahun sesudah kepergian pengasasnya, Imam al-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1949.

Sekembalinya dari Amerika, Sayyid Qutb terus mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhirnya menemui satu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah Ta’ala memikul amanah menyambung perjuangan Hasan al-Banna.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Sayyid Qutb memang terjadi. Pada 1 januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan al-Muslimin dan para pimpinannya ditangkap atas tuduhan bahawa gerakan Ikhwan merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Oleh itu, tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah, dan Syeikh Mohamad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin dalam Perang Suez 1948.

Bagaimanapun hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup sementara Sayyid Qutb pula dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Sayyid Qutb telah dibebaskan atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu nahas udara, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Mujahid ini dituduh merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.Pertuduhan ke atas Sayyid Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Mu’alim fi al-Tariq.

Turut ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Tetapi sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusannya menemui Sayyid Qutb mendesaknya agar meminta maaf kepada Presiden Naser agar dibebaskan. Namun Sayyid Qutb dengan tegas menolaknya.

“Tidak, aku tidak akan tunduk kepada penzalim yang menderhaka kepada Allah Ta’ala” katanya dengan tegas.

Demikianlah al-Syahid Sayyid Qutb yang telah menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk Islam.

*Harakah Bil. 1561, Ruangan Fikrah, 21-24 Sya’aban 1431H/2-5 Ogos 2010, hal. F8

Saturday, August 7, 2010

Mempertajam Mata Hati Dalam Melihat Allah Ta'ala

Tanpa kita sedari jiwa kita biasanya tercemar oleh penyakit hati yang biasa mengarahkan kita menuju kepada perbuatan-perbuatan yang melanggar larangan dan perintah Allah Ta'ala. Apabila hati dan jiwa kita telah tercemar oleh sifat-sifat yang tercela nescaya kehidupan kita sehari-hari akan diwarnai oleh dosa. Oleh kerana itu sebaiknya sejak mula kita berusaha menghilangkan sifat-sifat dan perangai buruk yang telah hinggap di hati kita.

Zikir (Mengingat Allah Ta'ala) itu penting bagi kita kerana dengan zikir itu kita akan mengenal Tuhan yang telah menciptakan diri-Nya dan seorang akan mengenal dirinya sendiri mengetahui akan kelemahan yang selalu dialaminya. Dalam keadaan taat, saat berzikir kepada Allah Ta'ala akan lahir suatu keyakinan bahawa ketaatan yang diperbuatnya merupakan kurniaan Allah Ta'ala dan dengan taufiq-Nya. Dengan keyakinan ini akan terhindarlah ia dari sifat 'ujub, iaitu menyandarkan ketaatan kepada perbuatannya sendiri kerana amalan yang seperti itu merupakan penyakit yang meruntuhkan pahala dari amal ibadahnya.

Apabila kalian telah dibukakan jalan makrifatullah maka sesungguhnya dengan kemakrifatan itu janganlah sampai kalian menghiraukan amalannya yang sedikit, maka sesungguhnya Allah Ta'ala tidak membukakan jalan kemakrifatan bagimu kecuali kerana menghendaki pengenalan kepada-Nya.

Tidakkah kalian mengerti bahawa makrifat itu adalah sebuah anugerah Allah Ta'ala kepadamu, sedangkan amal perbuatan kalian hanyalah merupakan sebahagian imbalan pengabdian kepada-Nya. Jika begitu dimanakah letaknya berbezaan antara pengabdian kalian kepada-Nya dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala kepada kalian.

Zun Nun al-Misri menerangkan bahawa makrifat orang arif akan terus-menerus bertambah. Dengan bertambahnya makrifat maka bertambah juga dekatnya kepada Allah Ta'ala. Kemudian Zun Nun al-Misri ditanya dengan apa orang mengenal Tuhannya. Beliau menjawab: ”Ku kenal Tuhanku dengan nikmat Tuhanku, kalau tidak dengan nikmat Tuhanku, nescaya aku tidak mengenal Tuhanku.”

Mempertajam Mata Hati Dalam Melihat Allah
Kitab asal: Al Haawaa Litahdziibin Nufuus
Oleh: Ibn Athaillah Iskandary
Keluaran: Pustaka Muda
Halaman: 247 mukasurat

Tuesday, August 3, 2010

Kaffarah bunuh كفرة القتل

Oleh : Ustaz Mohammad Elias b Abdul Jalil

Saya tulis artikel ini, kerana ramai di kalangan masyarakat kita tidak mengetahui apabila berlaku kemalangan dan ada kematian dengan sebab kemalangan itu, bahawa wajib atas pemandu membayar kaffarah, selain daripada wajib membayar diyat.

Apabila sesaorang itu ada membunuh orang yang terpelihara darah, sama ada sengaja, tersalah (tidak sengaja) atau menyerupai senghaja maka wajib atas yang membunuh membayar kaffarah.

Orang yang terpelihara darah ialah sekalian orang Islam dan kafir yang diberi aman.

Orang yang yang tidak wajib kaffarah ialah:

Orang yang adil membunuh penderhaka di dalam peperangan, begitu juga penderhaka tidak wajib kaffarah.

Orang yang membunuh orang yang hendak membinasakanya.

Orang Islam yang membunuh orang yang murtad

Orang yang membunuh kafir harbi.

Kaffarah yang wajib di lakukan

1. Memerdeka seorang hamba yang Mukmin yang ketiadaan cacat yang mencederakan pada bekerja.

2. Sekiranya tiada hamba atau ada tetapi harganya lebih daripada harga semasa maka hendaklah orang yang membunuh yang masih hidup berpuasa dua bulan berturut-turut dengan diniatkan kafarah.

* Wajib ditentukan di dalam niat bahawa puasa itu untuk kaffarah, tidak mengapa jika didatangkan di dalam niat itu kaffarah sahaja dengan tidak mendatangkan kaffarah bunuh.

* Putus berturut-turut dengan berbuka sehari (tidak puasa sehari) sekalipun tidak berpuasa itu kerana uzur seperti sakit, kecuali uzur yang yang menafikan puasa (tak boleh puasa kerana tidak sah) seperti gila, haidh. dan nifas maka tidak putus berturut-turut apabila kedatangan uzur itu di tengah puasa.

3. Sekiranya yang membunuh atau menyebabkan kematian telah mati maka hendaklah ahli waris memerdekakan hamba maka harganya diambil daripada harta peninggalan mayat, sekiranya ketiadaan hamba atau ada tetapi harganya lebih daripada harga semasa maka wajib ahli waris mengeluarkan enam puluh cupak bagi setiap seorang yang dibunuh, dan hendaklah diberikan kepada fakir miskin.

Peringatan: enam puluh cupak yang dikeluarkan itu bukan kaffarah tetapi ganti bagi puasa yang tidak dapat dilakukan.

Jenis-jenis bunuh yang mewajibkan kaffarah

1. Bunuh dengan sengaja iaitu melakukan satu perkara yang menyebabkan kematian dengan sesuatu yang boleh membunuh pada kebiasaannya. Termasuk membunuh diri, menjadi saksi pendusta yang menyebabkan orang yang disaksikan itu dihukum bunuh, hakim yang menghukum bunuh kepada orang yang tidak dihukum bunuh di sisi syara’ seperti pengedar dadah, orang yang mengantung pengedar dadah dan sebagainya.

2. Bunuh dengan tersalah melakukan suatu perkara yang menyebabkan kematian dengan tersalah/tersilap, seperti:

* menembak perburuan terkena orang.

* pemandu kenderaan yang menyebabkan kematian, sama ada yang mati dirinya sendiri, penumpang atau orang lain yang terlibat dengan kemlangan itu, إن شاء الله perkara ini saya akan terang secara terperinci.

* tersalah memberi ubat yang menyebabkan kematian.

3. Bunuh menyerupai senghaja iaitu melakukan satu perkara yang tidak menyebabkan kematian pada kebiasaannya seperti memukul dengan rotan, memukul dengan tongkat yang ringan pada tempat yang tidak memyebabkan kematian seperti pukul pada kaki dan lainnya.

Bertempur/Kemalangan الإصطدام

Bertempur ada beberapa jenis kerana terkadang bertempur antara dua orang yang berjalan kaki, terkadang berkenderaan keduanya, terkadang yang satu berjalan kaki dan yang satu lagi berkenderaan.

Jenis kemalangan yang wajib kaffarah

1. Apabila bertempur dua orang yang berjalan kaki dan mati keduanya maka wajib atas keduanya, dua kaffarah. Satu kaffarah dirinya dan satu lagi kaffarah orang yang ditempuh.

2. Apabila bertempur dua orang dan mati salah seorang maka wajib kaffarah atas yang hidup satu kaffarah.

3. Apabila bertempur dua orang perempuan yang berjalan kaki dan dalam perut keduanya ada kandungan dan mati sekaliannya maka wajib setiap seorang perempuan itu empat kaffarah. Iaitu kaffarah diri masing masing, kaffarah orang yang ditempur, kaffarah anak yang ada di dalam perut masing masing dan kaffarah anak yang ada di dalam perut orang yang ditempuh.

4. Apabila bertempur dua kenderaan dan di dalamnya ada beberapa orang, seperti empat orang di dalam setiap kenderaan maka pemandu setiap kenderaan wajib atasnya lapan kaffarah. Iaitu satu kaffarah terbunuh diri masing-masing, tiga kaffarah terbunuh tiga penumpang yang ada di dalam kenderaan masing masing, satu kaffarah terbunuh pemandu yang kena tempur, tiga kaffarah terbunuh tiga penumpang yang berada di dalam kenderaan orang yang ditempuh.

Selain dari itu diqiaskan dengan apa yang telah tercatat.

Selain daripada kaffarah wajib membayar diyat, kerosakkan kenderaan dan kerosakkan barang yang dibawa. إن شاء الله saya akan tulis satu artikel khusus untuknya.