Thursday, April 22, 2010

Qaedah (al-yaqin la yuzalu bi syaki) اليقين لايزال بالشك -

Oleh : Ustaz Mohammad Elias b Abdul Jalil

Qaedah kedua: Suatu yang telah diyakini, ianya tidak akan hilang apabila kedatangan syak
Syarah: Apabila berlaku syak, kita hendak ambil yang yakin.

Contoh:
• Seorang yang syak didalam sembahyang, adakah dia telah sembahyang tiga rakaat atau empat, maka yang diambil kira tiga kerana tiga adalah yakin, sedangkan empat adalah syak.
• Seorang yang syak adakah dia telah berwudhu’ atau tidak, maka yang dikira adalah belum berwudu kerana ini yang yakin.
• Seorang yang yakin telah berwudh’u dan syak adakah telah batal wudhu’nya atau tidak maka yang diambil kira, dia masih ada wudhu’, kerana batal wudhu’ ialah syak.
Masuk di bawah qaedah ini beberapa qaedah yang lain.

إن ما ثبت بيقين لا يرتفع إلا بيقين
Suatu yang telah diyakini, ia tidak akan hilang melainkan dengan suatu yang diyakini.

Contoh:
• Seperti yakin ada wudhu’, ia tidak batal melainkan dengan yakin berlaku suatu yang membatalkannya.

الاصل بقاء ما كان على ما كان
Asal suatu ialah kekal atas keadaannya yang ia ada.

Contoh:
• Seorang yang makan sahur pada akhir malam dan dia syak adakah telah terbit fajar (sudah masuk waktu subuh) atau belum, sah puasanya, kerana asal kekal malam.
• Seorang yang berbuka dengan ketiadaan ijtihad dan dia syak adakah telah terbenam matahari atau belum, puasanya tidak sah, kerana asal masih kekal siang.

الأصل براءة الذمة
Asal suatu ialah terlepas dari tuntutan.

Contoh:
• Seorang bercakap dengan kawan yang ingin berhutang kepadanya “aku jadikan barang ini milik engkau dengan bahawa engkau ganti semula, kemudian berlaku perselisihan antara keduanya adakah sebut engkau ganti semula atau tidak maka yang dikira perkataan orang yang mengambil kerana asal terlepas dari tuntutan.
• Seorang penjenayah berkata “setakat ini sahaja aku lukakan kepala engkau” dan berkata orang yang dilukakan “ tidak bahkan dua tempat dan aku yang koyakkan kulit antara keduanya maka perkataan yang diterima ialah perkataan penjenayah kerana asal lepas dari tuntutan.

من شك هل فعل شيئا او لا فالأصل أنه لم يفعله
Barangsiapa yang syak adakah dia telah memperbuat suatu atau tidak maka yang dikira asal iaitu dia tidak memperbuatnya.
• Orang yang lupa dan syak adakah telah sujud sahwi atau tidak, hendaklah dia sujud kerana asal dia tidak memperbuatnya lagi.
• Seorang yang syak adakah dia ada memperbuat sunat aba’d atau tidak, hendaklah dia sujud sahwi kerana asal dia tidak memperbuatnya.

من تيقن الفعل وشك فى القليل أوالكثير حمل على القليل لأنه المتيقن
Ertinya: Barangsiapa telah yakin memperbuat suatu dan syak adakah yang telah diperbuat itu sedikit atau banyak, nescaya dikira sedikit, kerana sedikit itulah yang diyakini.

Contoh:
• Seorang yang syak adakah dia telah basuh dua kali atau tiga kali pada mengambil wudhu’, hendaklah dia mengira dua kali kerana dua diyakini sedangkan tiga disyaki.

الأصل فى الأشيياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Asal pada setiap suatu adalah harus melainkan ada dalil yang menunjukkan haramnya.
Ini disisi mazhab kita Syafi’e adapun disisi mazhab Hanafi:
الأصل فى الأشيياء التحريم حتى يدل الدليل على الإباحة
Asal pada setiap suatu adalah haram melainkan ada dalil menunjukkan harusnya

Contoh:
• Binatang yang kesamaran keadaannya sama ada boleh dimakan atau tidak, padanya ada dua pendapat, pendapat yang terlebih sahih hukumnya halal seperti yang dikata oleh Imam Rafi’e.

الأصل فى الابضاع التحريم
Asal pada kemaluan perempuan adalah haram.

Contoh:
• Seorang mewakilkan seorang yang lain supaya membeli hamba perempuan yang telah disifatkan, setelah wakil membelinya dan dia mati sebelum sempat menyerahkan hamba itu kepada orang yang mewakilkan, maka orang yang mewakilkan tidak boleh mewati hamba itu kerana berkemungkinan wakil beli untuk dirinya, melainkan dia yakin bahawa hamba perempuan itu dibeli untuknya.

الأصل فى الكلام الحقيقة
Asal pada ucapan diguna makna sebenar tidak makna majaz.

Contoh:
• Sekiranya seorang mewaqafkan sesuatu untuk anaknya (ابن) atau diwasiatkan bagi mereka maka tidak termasuk dalam kata anak (ابن) itu cucu (ابن الابن) kerana hakikat pada perkataan anak (ابن) ialah anak betul.

الأصل العدم
Asal suatu itu, iaitu tidak ada.

Contoh:
• Isteri minta fasakh (cerai tidak dengan talak) kerana aib pada suami iaitu tidak bangkit zakar, setelah ditangguh oleh qadi selama setahun suami mendakwa dia telah wati (bersetubuh) sedangkan isteri menafinya (mengatakan suami tidak wati) maka qadi hendaklah menghukum tidak wati kerana asal ketiadaan wati. Hukum lebih lanjut lihat kitab fekah.

الأصل فى كل حادث تقديره بأقرب زمنه
Asal pada tiap-tiap yang baru berlaku dikira pada masa yang paling hampir.

Contoh:
• Seorang yang telah berwudhu’ melihat ada suatu yang menegah sampai air pada anggota wudhu’ seperti cat, kemudian di syak adakah cat itu terkena sebelum berwudhu’ atau setelah berwudhu’, maka sah wudhu’nya kerana dikira masa yang hampir iaitu cat itu terkena setelah berwudhu’.

No comments: