Thursday, December 30, 2010

Cahaya

Di celah vista saraf seni,
terpancar cahaya gelombang berapi,
menerobos hati sepi nurani,
mengisi dimensi sandaran ilusi.

Berkejar diri mencari api,
di luar dimensi terpancar lagi,
membebas hati belenggu mimpi,
menyuluh abadi laluan insani.

Fajar bersemi hilanglah mimpi,
saat berlari dikata berdiri,
tersembam ke bumi bangkit kembali,
terus berlari landasan hati.

Mohammad Zaki Yahpar Yahya Al-Muari

Bayi Ditanam Hidup-Hidup di Zaman Jahiliyah Akan Disoal (Bahagian Satu)

Sebagai lanjutan perbincangan tentang hari kiamat yang disebut sebagai ‘yaumus su’al’, bukan sekadar para Rasul dan umat mereka yang mencapai umur taklif syarak sahaja yang akan menghadapi soalan-soalan daripada Allah Ta’ala. Malah kanak-kanak ataupun bayi yang masih kecil juga akan disoal di akhirat kelak.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ (8) بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ (9)

Maksud ayat:
“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup disoal. Kerana dosa apakah mereka dibunuh?” (Surah Al-Takwir : 8-9)

Bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup oleh bapa-bapa mereka pada zaman jahiliyah dahulu, adalah adat jahiliyah yang paling kejam. Apalah dosa bayi-bayi perempuan itu maka mereka diperlakukan begitu zalim, bayi-bayi itu tidak pernah minta mereka dilahirkan sebagai bayi perempuan. Kemunculan mereka ke dunia ini hanyalah natijah daripada hubungan kelamin ibu bapa mereka. Sepatutnya bayi perempuan itu disambut dengan kasih saying sebagai anugerah Allah Ta’ala.

Malangnya bayi perempuan itu disambut dengan dengan suatu adat jahiliyah yang paling tidak berperikemanusiaan dalam sejarah tamadun manusia. Mereka menjadi korban kepercayaan karut yang menyelimuti masyarakat jahiliyah sebelum turunnya Al-Quran.

Di akhirat kelak, bayi-bayi itu akan disoal oleh Allah Ta’ala sebagai pembelaan terhadap nasib yang dialami oleh mereka. Soalan yang dikemukakan kepada mereka semata-mata mendedahkan kekejaman kaum jahiliyah daripada kalangan musyrikin Mekah, yang mana mereka tidak akan terlepas daripada memikul tanggungjawab itu.

Ketika bayi-bayi itu disoal oleh Allah Ta’ala di hadapan penjenayah jahiliyah itu, pastinya mereka akan lebih terseksa. Walaupun soalan itu dikemukakan kepada bayi-bayi perempuan yang tidak berdosa itu, namun pada hakikatnya yang bakal memberikan jawapan ialah bapa-bapa mereka sebagai pihak yang melakukan jenayah pembunuhan kejam itu.

Sebenarnya pembunuhan bayi-bayi itu tidak terhad di kalangan masyarakat jahiliyah Mekah, tetapi kegiatan itu terus berlarutan hingga ke zaman moden dan adakalanya lebih kejam dari zaman jahiliyah. Jika di zaman jahiliyah ia berlaku hanya kepada bayi-bayi perempuan, di zaman moden ia dilakukan tanpa memilih jantina.

Dal kes-kes tertentu, bayi menjadi mangsa pasangan yang melakukan zina. Mereka boleh menyembunyikan perbuatan zina yang terkutuk, tetapi adakalanya mereka gagal menyembunyikan akibat perbuatan mereka apabila mereka mengandungkan anak zina itu.

Sudah banyak bayi yang dibunuh oleh pasangan zina, kononnya untuk mengelak perbuatan keji mereka daripada dikesan oleh orang ramai ataupun pihak berwajib. Mereka mengambil langkah nekad sama ada membunuh dengan tangan mereka ataupun membuangnya ke dalam tong sampah, ditinggalkan di tepi-tepi jalan, disangkutkan di pagar rumah dan sebagainya. Golongan ini merupakan generasijahiliyah moden yang akan dihimpunkan bersama-sama kaum Arab jahiliyah Mekah, bagi menghadapi tanggungjawab yang sama apabila bayi-bayi mereka disoal oleh Allah Ta’ala, “atas dosa apakah mereka dibunuh?”


YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, Bertemu Janji Allah, Anbakri Publication, hal. 57

Friday, December 17, 2010

KATA HATI DAN DOA - MEMOHON KASIH KEPADA ALLAH MELEBIHI SEGALANYA

RENUNGAN

Rasulullah s.a.w merasa bimbang terhadap umat ini sebelum beliau meninggal dunia. Kebimbangan tersebut ialah terhadap dua perkara iaitu: dunia dan wanita. Kedua-dua faktor ini kalau tidak dibendung dengan baik boleh merosakkan hubungan terhadap Allah s.w.t. bahkan boleh menjatuhkan moral serta imej orang Islam itu sendiri. Kenapa? Kerana ia selain melalaikan dari mengingati Allah s.w.t., juga mendorong untuk terus mengikuti hawa nafsu semata-mata seperti terdesak dengan zina dan sebagainya. Sebaliknya, kalau sentiasa berhati-hati terhadap dua perkara itu sudah tentu akan terselamat dari kelalaian terhadap-Nya, bahkan digolongkan di kalangan hamba yang bijak dalam menguruskan urusan dunia. Kehidupan yang tidak berteraskan kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan membawa kepada kehancuran dan kejatuhan maruah serta moral. Kenapa kita tidak berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dapat mengasihi Allah s.w.t. lebih dari segala apa di dunia ini? Tidakkah kita berasa besar nikmatnya apabila kita dapat mengasihi Allah s.w.t. lebih dari segalanya?

Allah s.w.t. lah yang memiliki segala apa di dunia ini termasuk diri kita.


KELEBIHAN

Jika kita ingin supaya Allah s.w.t. menjadikan kita seorang yang kasih kepada Allah s.w.t., dan kasih kepada orang yang dikasihani oleh Allah s.w.t. atau amalan yang mendorong kita untuk kasih kepada amalan Allah s.w.t., kita boleh beriktihar dengan memohon doa ini kepada Allah s.w.t. dengan ikhlas hati kepada-Nya serta berharap agar Allah s.w.t. menerimanya.


MASA DAN KEKERAPAN MEMBACA

Doa ini hendaklah dibaca setiap waktu lebih-lebih lagi setiap kali selasai sembahyang lima waktu.Bacalah sebanyak mungkin dan sebolehnya dijadikan amalan harian yang berterusan.


اللهُّمَّ إِنِّ أّسْأّلُكَ حُبَّكَ ’ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ ’ وَالْعَمَلَ الَّذِيْ يُبَلِّغُنِيْ حُبَّكَ ’ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِيْ ’ وَ أَهْلِيْ ’ وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ



Maksud doa:
“Ya Allah, aku memohon kasih kepada Engkau. Ya Allah, aku memohon kasih kepada mereka yang kasih kepada Engkau. Ya Allah, Aku memohon dari Engkau amalan-amalan yang mendorong aku untuk kasih kepada Engkau. Ya Allah, jadikanlah aku ini kasih kepada Engkau lebih dari keluargaku. Ya Allah, jadikanlah aku ini kasih kepada Engkau lebih dari air dingin.”

Dr. Asming Bin Yusof Yalawae Al-Fathani, Kata Hati & Doa, hal. 9. Pustaka Darul Bayan, Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd., Cetakan Pertama 2007

Monday, December 13, 2010

Akad Nikah Ketika Berlakon Sah

KAHERAH: Sekumpulan ulama’ Al-Azhar dalam kenyataan akhbar tempatan serta laman web rasmi mereka mengulangi pendirian bahawa para artis yang berlakon dengan melakonkan akad nikah dalam siri lakonan mereka dianggap sah sebagai suami isteri dan boleh tinggal di bawah satu bumbung. Mereka berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan yang menyiarkan pandangan beberapa orang penggiat seni di Mesir, yang menyokong drama siri bercorak kekeluargaan yang disiarkan sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini yang boleh dijadikan contoh buat tatapan umum masyarakat Arab di Mesir khususnya dan Negara-negara Arab lain umumnya.

Pandangan ulama’ Al-Azhar yang diwartakan selepas itu sebagai salah satu bahan fatwa menyebut, bahawa dalam drama bersiri itu terdapat lakonan seorang artis wanita muda yang telah pun berkahwin, namun dalam lakonan itu beliau memegang watak seorang anak gadis yang dipinang oleh seorang lelaki dan akhirnya membawa kepada alam perkahwinan.

Perkahwinan itu dilakonkan dengan proses akad nikah dengan saksi dan segala yang berkaitan dengannya, di mana fatwa itu menyebut bahawa nikah itu adalah sah dan artis wanita itu berkahwin dengan dua lelaki, suaminya yang pertama dan suaminya ketika berlakon. Walaupun isu ini hangat suatu ketika dahulu namun ia cuba disembunyikan oleh pihak tertentu, namun dibangkitkan semula apabila drama bersiri itu ditayangkan semula dalam tempoh sebulan pada Ramadhan lalu yang mengundang kontroversi kerana ia jadi tatapan sepanjang hari di bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, para ulama’ berkenaan menyandarkan pandangan mereka kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tiga perkara jika dilakukan dengan betul, maka akan berlakulah ia dan apabila dilakukan dengan main-main pun ia akan berlaku; yaitu nikah, hamba sahaya, dan penceraian”. –Naseej.com

Harakah, Bil. 1595, 4-6 Muharam 1432H/10-12 Disember 2010, hal. F15

Saturday, December 11, 2010

Tiga Ciri Cinta Kepada Allah Ta'ala

Dari Sufyan bin Uyainah r.a., beliau berkata :

"Barangsiapa cinta kepada Allah Ta'ala, maka cinta kepada orang yang dicintai Allah Ta'ala, barangsiapa cinta terhadap orang dicintai Allah Ta'ala, maka cinta perbuatan yang dilakukan kerana cinta Allah Ta'ala, barangsiapa cinta terhadap perbuatan yang dilakukan kerana cinta Allah Ta'ala, maka cinta melakukan perbuatan itu tanpa diketahui orang lain."

Ibnu Hajar Al-'Asqalaani r.a. menukilkan bahawa mahabbah (cinta kepada Allah Ta’ala) itu ada dua macam :

Mahabbah Fardhu, iaitu mahabbah yang mendorong dilakukannya perintah-perintah Allah (Ta’ala) dan dijauhinya larangan-larangan-Nya.

Mahabbah Sunnah, iaitu mahabbah yang mendorong dibiasakannya melakukan ibadah sunnah dan dijauhinya hal-hal yang syubhah.

Abu Bakar Al-Siddiq r.a mengatakan : Barangsiapa telah merasakan mahabbah Allah Ta'ala yang murni, maka apa yang dia rasakan itu dapat melupakannya dari keinginan dunia dan membuatnya merasa asing dari seluruh manusia.