Sunday, December 18, 2011

Haidh

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Definisi Haidh

Bahasa : Mengalir
Syara’ : Darah semulajadi yang keluar dari hujung rahim pada ketika sihat.
Keterangan : Darah yang keluar tidak secara semulajadi bukan darah haidh seperti darah yang keluar sebelum dan semasa melahirkan.

Umur Minima

Usia wanita haid : Bermula dari umur 8 / 9 tahun qamariyah taqribiyah.
Keterangan : Tahun qamariyah ialah tahun Hijriyah, manakala taqribiyah ertinya untuk dapat mengalami haidh tidak harus berumur 9 tahun tepat. Jadi jika darah keluar pada umur 9 tahun kurang 15 hari contohnya (masa yang tidak cukup untuk haidhh dan suci), maka darah tersebut sudah dihukum sebagai darah haidh.

Tempoh Haidh

Paling sedikit : Sehari semalam atau 24 jam.
Normal : 6 - 7 hari.
Paling lama : 15 hari.
Keterangan: Darah yang keluar kurang dari 24 jam merupakan darah  istihadhah. Darah yang keluar lebih dari 15 hari ialah darah haidh yang bercampur dengan darah istihadhah, maka harus diteliti lagi dengan mempelajari tujuh gambaran perempuan mustahadhah yang akan dijelaskan.

Tempoh suci antara dua haidh.

Paling sedikit : 15 hari.
Normal : Baki hari-hari haidh dalam sebulan.
Paling lama : Tidak terbatas.
Keterangan : Jika haidh kedua datang sebelum masa suci sempurna 15 hari, maka darah itu bukanlah darah haidh, wanita tersebut tetap dihukum suci hingga sempurnanya masa suci 15 hari. Jika setelah masa suci sempurna darah tetap keluar, maka darah yang terakhir ini ialah haidh.

Tanda berhentinya haidh

Suci dapat diketahui dengan memasukkan (sedikit) kapas ke dalam faraj.  Jika tidak nampak kesan pada kapas berupa darah mahupun warna kuning atau keruh maka haidh telah habis.

Warna darah haidh

Warna haid : Hitam, merah, merah kekuning-kuningan, kuning dan keruh.
Keterangan
  • Ulama’ berbeza pendapat pada warna kuning dan keruh. Pendapat yang muktamad mengatakan haidh. 
  • Imam al-Juwaini menjelaskan: “Kedua warna itu bukanlah darah melainkan cairan seperti nanah yang di atasnya ada warna kuning atau keruh”.

Penting : Penentuan masa haidh, masa suci dan semua hukum yang berkaitan dengan haidh merupakan hasil penelitian Imam Syafi’e terhadap para wanita pada zamannya, kemudian beliau merumuskan kajian tersebut dengan dalil-dalil al-Quran dan hadith sehingga timbullah pendapat tentang hukum-hukum haidh.

Oleh sebab itu, jika terjadi kebiasaan darah yang berbeza dengan ketentuan di atas pada seseorang wanita atau para wanita di sesuatu daerah, maka kebiasaan tersebut tidak dapat mempengaruhi hukum haidh yang telah ditentukan. Lebih baik menghukumkan darah mereka sebagai darah fasad (penyakit), daripada harus merosak kaedah yang telah baku, kerana penelitian ulama’ terdahulu tentu lebih sempurna.

TINDAKAN YANG HARUS DILAKUKAN KETIKA MELIHAT DARAH

Apabila melihat darah, seorang wanita perlu terus meninggalkan larangan-larangan haidh tanpa menunggu 24 jam. Selanjutnya, jika darah tersebut berhenti sebelum mencapai 24 jam, maka dia harus menqadha’ solat yang dia tinggalkan kerana terbukti ia bukan haidh.

Kemudian jika darah tersebut keluar lagi sebelum 15 hari, maka dia harus meninggalkan lagi larangan-larangan haidh. Begitulah seterusnya.

Adapun jika darah tersebut berhenti setelah mencapai 24 jam, maka jelaslah bahawa ia haidh. Dan ketika ini dia wajib mandi, solat, puasa (pada bulan Ramadhan) dan boleh baginya bersetubuh dengan suaminya kerana darah sudah berhenti.

Jika kemudian darah tersebut keluar lagi sebelum lewat 15 hari jelaslah sudah bahawa ibadah yang dia lakukan tadi tidak sah kerana ternyata dia masih haidh.

Namun dia tidak berdosa dengan persetubuhan yang telah dia lakukan kerana ketika melakukannya secara zahir dia telah suci.

Demikianlah yang harus dilakukan oleh wanita haidh jika darahnya datang terputus-putus selama tidak melebihi 15 hari.

Setelah membaca keterangan di atas, maka dapat disimpulkan di sini bahawa waktu (tempoh) haidh paling lama ialah 15 hari 15 malam (360 jam). Oleh sebab itu, jika darah keluar tidak lebih dari 15 hari, maka waktu mulai keluar darah sampai 15 hari dihukum sebagai haidh. Namun jika masih keluar setelah 15 hari 15 malam, maka disebut sebagai darah istihadhah.

Apabila darah terputus-putus, maka setelah melihat darah berhenti diperinci sebagai berikut;
  • jika darah yang keluar telah mencapai paling sedikitnya (tempoh) haidh iaitu sehari semalam (24 jam), maka wajib baginya untuk mandi, solat dan puasa (pada bulan Ramadhan), sama ada pada bulan sebelumnya sudah pernah terjadi putusnya darah lalu keluar lagi atau belum pernah terjadi. Hal ini menurut pendapat Imam Ibn Hajar. Adapun menurut Imam Rafi’i, jika pada bulan sebelumnya pernah terjadi, maka tidak wajib mandi, solat dan puasa.
  • jika darah yang keluar kurang dari 24 jam, maka darah tersebut merupakan darah istihadhah, sehingga tidak wajib mandi. Apabila darah keluar lagi sebelum 15 hari (dari keluar darah pertama), maka menjadi jelas bahawa dia masih dalam keadaan haidh, sehingga wajib mengqadha’ puasa yang telah dia lakukan pada waktu putusnya darah dan tidak wajib qadha solat. 

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment