Thursday, December 22, 2011

Nazar


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ، أما بعد

Nazar dari segi bahasa ialah janji secara mutlak sama ada berupa perbuatan baik atau buruk. Manakala menurut syara’ ialah mewajibkan diri untuk melaksanakan suatu qurbah (ibadah) yang bukan fardhu ain dengan sighah tertentu. Nazar hanya berlaku pada ibadah sunat (seperti sembahyang/puasa sunat) atau fardhu kifayah (seperti sembahyang jenazah, jihad fi sabilillah, dll), sehingga tidak sah nazar pada ibadah fardhu ain (seperti sembahyang fardhu lima waktu, puasa Ramadhan, dll) atau yang bukan ibadah, sama ada pekerjaan mubah (seperti makan, tidur, dll), makruh (seperti puasa dahr bagi orang yang bimbang sakit) ataupun haram (seperti minum arak, berjudi, dll).

Nazar terbahagi dua;

  1. Nazar lajaj, iaitu : nazar yang berupa anjuran pada diri sendiri untuk melakukan sesuatu, atau pencegahan dari melakukan sesuatu atau kerana marah dengan mewajibkan pada dirinya untuk melakukan sesuatu. Misalnya : pernyataan “jika aku bercakap dengan Zaid, maka aku akan berpuasa satu hari”, dalam pernyataannya “jika aku berbicara dengan Zaid” boleh kerana didasari marah kepadanya, atau ingin mencegah dirinya dari bercakap dengannya atau hanya kerana ingin mendorong dirinya untuk berpuasa.

  1. Nazar tabarrur, iaitu : nazar yang tidak digantungkan dengan sesuatu apapun atau digantungkan dengan sesuatu yang disukai. Misalnya pertama : “aku nazar puasa hari Isnin dan Khamis” , misal kedua : “jika aku sembuh dari penyakitku, maka aku akan bersedekah”

Syarat-Syarat Nazir (orang yang bernazar)

  • Beragama Islam (khusus untuk nazar tabarrur, manakala nazar lajaj tidak disyaratkan Muslim)
  • Atas kehendak sendiri (bukan paksaan)
  • Orang yang sah tasarrufnya (baligh dan berakal)
  • Memungkinkan untuk melaksanakan nazarnya.

Maka tidak sah nazar anak kecil, orang gila, dalam keadaan dipaksa, melakukan perkara yang tidak memungkinkan untuk melaksanakannya seperti nazar berpuasa bagi orang yang sakit parah dan nazar orang kafir (khusus nazar tabarrur).

Nazar wajib untuk dilakukan dan bagi orang yang meninggalkan : jika berupa nazar lajaj, si nazir (orang yang bernazar) boleh memilih antara mengerjakan apa yang dinazari atau membayar kaffarah yamin iaitu : mengerjakan salah satu dari tiga pilihan berikut : membebaskan hamba Muslim, memberi makan 10 orang miskin setiap orang satu mud (± 7,5 ons) atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin. Namun jika tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan di atas, maka wajib berpuasa tiga hari.

Adapun jika nazar tabarrur, maka wajib melaksanakan apa yang telah dinazari (tanpa ada pilihan mengerjakan kaffarah yamin).

و صل الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم ، والحمد لله رب العالمين
والله أعلم

Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj, jil. 18, hal. 321 dan 456

Sunday, December 18, 2011

Haidh

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Definisi Haidh

Bahasa : Mengalir
Syara’ : Darah semulajadi yang keluar dari hujung rahim pada ketika sihat.
Keterangan : Darah yang keluar tidak secara semulajadi bukan darah haidh seperti darah yang keluar sebelum dan semasa melahirkan.

Umur Minima

Usia wanita haid : Bermula dari umur 8 / 9 tahun qamariyah taqribiyah.
Keterangan : Tahun qamariyah ialah tahun Hijriyah, manakala taqribiyah ertinya untuk dapat mengalami haidh tidak harus berumur 9 tahun tepat. Jadi jika darah keluar pada umur 9 tahun kurang 15 hari contohnya (masa yang tidak cukup untuk haidhh dan suci), maka darah tersebut sudah dihukum sebagai darah haidh.

Tempoh Haidh

Paling sedikit : Sehari semalam atau 24 jam.
Normal : 6 - 7 hari.
Paling lama : 15 hari.
Keterangan: Darah yang keluar kurang dari 24 jam merupakan darah  istihadhah. Darah yang keluar lebih dari 15 hari ialah darah haidh yang bercampur dengan darah istihadhah, maka harus diteliti lagi dengan mempelajari tujuh gambaran perempuan mustahadhah yang akan dijelaskan.

Tempoh suci antara dua haidh.

Paling sedikit : 15 hari.
Normal : Baki hari-hari haidh dalam sebulan.
Paling lama : Tidak terbatas.
Keterangan : Jika haidh kedua datang sebelum masa suci sempurna 15 hari, maka darah itu bukanlah darah haidh, wanita tersebut tetap dihukum suci hingga sempurnanya masa suci 15 hari. Jika setelah masa suci sempurna darah tetap keluar, maka darah yang terakhir ini ialah haidh.

Tanda berhentinya haidh

Suci dapat diketahui dengan memasukkan (sedikit) kapas ke dalam faraj.  Jika tidak nampak kesan pada kapas berupa darah mahupun warna kuning atau keruh maka haidh telah habis.

Warna darah haidh

Warna haid : Hitam, merah, merah kekuning-kuningan, kuning dan keruh.
Keterangan
  • Ulama’ berbeza pendapat pada warna kuning dan keruh. Pendapat yang muktamad mengatakan haidh. 
  • Imam al-Juwaini menjelaskan: “Kedua warna itu bukanlah darah melainkan cairan seperti nanah yang di atasnya ada warna kuning atau keruh”.

Penting : Penentuan masa haidh, masa suci dan semua hukum yang berkaitan dengan haidh merupakan hasil penelitian Imam Syafi’e terhadap para wanita pada zamannya, kemudian beliau merumuskan kajian tersebut dengan dalil-dalil al-Quran dan hadith sehingga timbullah pendapat tentang hukum-hukum haidh.

Oleh sebab itu, jika terjadi kebiasaan darah yang berbeza dengan ketentuan di atas pada seseorang wanita atau para wanita di sesuatu daerah, maka kebiasaan tersebut tidak dapat mempengaruhi hukum haidh yang telah ditentukan. Lebih baik menghukumkan darah mereka sebagai darah fasad (penyakit), daripada harus merosak kaedah yang telah baku, kerana penelitian ulama’ terdahulu tentu lebih sempurna.

TINDAKAN YANG HARUS DILAKUKAN KETIKA MELIHAT DARAH

Apabila melihat darah, seorang wanita perlu terus meninggalkan larangan-larangan haidh tanpa menunggu 24 jam. Selanjutnya, jika darah tersebut berhenti sebelum mencapai 24 jam, maka dia harus menqadha’ solat yang dia tinggalkan kerana terbukti ia bukan haidh.

Kemudian jika darah tersebut keluar lagi sebelum 15 hari, maka dia harus meninggalkan lagi larangan-larangan haidh. Begitulah seterusnya.

Adapun jika darah tersebut berhenti setelah mencapai 24 jam, maka jelaslah bahawa ia haidh. Dan ketika ini dia wajib mandi, solat, puasa (pada bulan Ramadhan) dan boleh baginya bersetubuh dengan suaminya kerana darah sudah berhenti.

Jika kemudian darah tersebut keluar lagi sebelum lewat 15 hari jelaslah sudah bahawa ibadah yang dia lakukan tadi tidak sah kerana ternyata dia masih haidh.

Namun dia tidak berdosa dengan persetubuhan yang telah dia lakukan kerana ketika melakukannya secara zahir dia telah suci.

Demikianlah yang harus dilakukan oleh wanita haidh jika darahnya datang terputus-putus selama tidak melebihi 15 hari.

Setelah membaca keterangan di atas, maka dapat disimpulkan di sini bahawa waktu (tempoh) haidh paling lama ialah 15 hari 15 malam (360 jam). Oleh sebab itu, jika darah keluar tidak lebih dari 15 hari, maka waktu mulai keluar darah sampai 15 hari dihukum sebagai haidh. Namun jika masih keluar setelah 15 hari 15 malam, maka disebut sebagai darah istihadhah.

Apabila darah terputus-putus, maka setelah melihat darah berhenti diperinci sebagai berikut;
  • jika darah yang keluar telah mencapai paling sedikitnya (tempoh) haidh iaitu sehari semalam (24 jam), maka wajib baginya untuk mandi, solat dan puasa (pada bulan Ramadhan), sama ada pada bulan sebelumnya sudah pernah terjadi putusnya darah lalu keluar lagi atau belum pernah terjadi. Hal ini menurut pendapat Imam Ibn Hajar. Adapun menurut Imam Rafi’i, jika pada bulan sebelumnya pernah terjadi, maka tidak wajib mandi, solat dan puasa.
  • jika darah yang keluar kurang dari 24 jam, maka darah tersebut merupakan darah istihadhah, sehingga tidak wajib mandi. Apabila darah keluar lagi sebelum 15 hari (dari keluar darah pertama), maka menjadi jelas bahawa dia masih dalam keadaan haidh, sehingga wajib mengqadha’ puasa yang telah dia lakukan pada waktu putusnya darah dan tidak wajib qadha solat. 

Wallahu a’lam

Friday, December 16, 2011

Perhiasan Lelaki



Perhiasan wanita (seperti rantai, anting-anting) haram bagi lelaki secara mutlak (dari emas atau bukan) kerana tasyabbuh (menyerupai), kecuali cincin perak, disunatkan bagi lelaki dengan syarat tidak mencapai satu mithqal (4 gram). Adapun cincin emas, maka haram, atau cincin perak yang mencapai satu mithqal dan sudah menjadi ‘urf di daerah itu sebagai israf (berlebihan), maka haram juga.

Kedudukan cincin perak disunatkan pada jari kelingking kanan atau kiri. Boleh juga pada jari manis kanan atau kiri.

Emas putih sebenarnya itu adalah platinum, sehingga dalam hukum tidak berlaku hukum emas. Oleh sebab itu, dibolehkan menggunakan cincin yang dibuat dari platinum.

Berikut merupakan sebahagian petikan rujukan dari kitab-kitab muktabar;


المنهج القويم شرح المقدمة الحضرمية للهيتمي – (1 / 221(
ولا اتخاذه بلا لبس و حل لمن مر الجلوس عليه فوق حائل فرش عليه ولو خفيفا مهلهل النسج لأنه لا يسمى في العرف مستعملا له ويحرم على الرجل والخنثى المزعفر والمعصفر كما في الروضة وغيرها من تصويب البيهقي وأطال فيه وألحق جمع المورس بالمزعفر لكن ظاهر كلام الأكثرين حله ويحرم على الرجل وغيره استعمال جلد الفهد والنمر ويسن التختم بالفضة للرجل ولو لغير ذي منصب للاتباع والأولى أن يكون دون مثقال فإن بلغ مثقالا وعده العرف إسرافا حرم وإلا فلا على الأوجه وخبر فلا يبلغه مثقالا ضعيف وإن حسنه بعض المتأخرين ويسن كونه في الخنصر اليمنى أو اليسرى للاتباع و لكن اليمنى أفضل لأن حديث لبسه فيها أصح كما قاله البخاري ويكره لبسه في غير الخنصر وقيل يحرم واعتمده الأذرعي ويجوز لبسه فيهما معا وبفص وبدونه وجعله في باطن الكف أفضل ونقشه ولو بذكر ولا يكره ويكره تنزيها للرجل لبس فوق خاتمين وللمرأة لبس أكثر من خلخالين ويجوز التختم بنحو الحديد والنحاس والرصاص بلا كراهة وخبر مالي أرى عليك حلية أهل النار لرجل وجده لابسا خاتم حديد ضعيف لكن حسنه بعضهم فالأولى ترك ذلك والسنة في الثوب والأزار للرجل أن يكون إلى نصف الساقين ويجوز بلا كراهة إلى الكعبين وفي العذبة أن تكون بين الكتفين وفي الكم أن يكون إلى الرسغ وهو المفصل بين الكف والساعد ويكره نزول ذلك عما ذكره ومنه نزول الثوب أو الأزار من الكعبين أي عنهما ويحرم نزول ذلك كله عما ذكر فيه للخيلاء أي بقصده للوعيد الشديد الوارد فيه
الاقناع في حل ألفاظ أبي شجاع – (1 / 316(
يحرم على الرجال ومثلهم الخناثى التختم بالذهب لخبر أبي داود بإسناد صحيح أنه صلى الله عليه وسلم أخذ في يمينه قطعة حرير وفي شماله قطعة ذهب وقال هذان أي استعمالهما حرام على ذكور أمتي حل لإناثهم وألحق بالذكور الخناثى احتياطا واحترز بالتختم عن اتخاذ أنف أو أنملة أو سن فإنه لا يحرم اتخاذها من ذهب على مقطوعها وإن أمكن اتخاذها من الفضة ويحل للنساء لبس الحرير واستعماله بفرش أو غيره والتختم بالذهب والتحلي به للحديث المار ويسير الذهب وكثيره في حكم التحريم على من حرم عليه سواء بلا فرق وإذا كان بعض الثوب إبريسيما وهو بكسر الهمزة وبفتح الراء وفتحهما وكسر الراء ثلاث لغات الحرير وبعضه قطنا أو كتانا جاز لبسه ما لم يكن الإبريسم غالبا فإنه يحرم تغليبا للأكثر بخلاف ما أكثره من غيره والمستوى منهما لأن كلا منهما لا يسمى ثوب حرير والأصل الحل وتغليبا للأكثر في الأولى وللولي إلباس ما ذكر من الحرير

Wallahu a’lam

FORSAN SALAF

Sunday, December 11, 2011

Pendamping Hidup Yang Tepat


بسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan. Allah SWT berfirman:

ﮉ ﮊ ﮋ ﮌ ﮍ ﮎ ﮏ ﮐ ﮑ ﮒ ﮓ ﮔ ﮕ ﮖ ﮗ


Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan antara kamu perasan kasih sayang." (Surah al-Ruum : 21)

Pasangan hidup ada kalanya baik dan ada kalanya tidak baik. Bagi orang baik, selayaknya mendapat pasangan yang baik. Demikian sebaliknya, bagi orang yang tidak baik selayaknya mendapat pasangan yang tidak baik juga. Allah SWT berfirman:

ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ


Maksudnya: "(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik" (Surah al-Nuur : 26)

Maka sebab itulah perlu memilih pasangan yang baik sebelum melaksanakan pernikahan dengaan menilai dari segi akhlak, ibadah, perangai, perbuatan dan lain-lain.

Ta’aruf yang dibenarkan oleh Islam dengan cara melihat fizikal calon pasangannya (wajah dan kedua telapak tangan) ketika berminat untuk bernikah. Hal ini dimaksudkan agar keduanya tidak kecewa setelah pernikahan. Melihat (muka dan telapak tangan) hanya dibolehkan menurut keperluan sahaja, walaupun berulang kali jika melihat kali pertama belum berpuas hati.

Mengenal akhlak dapat diketahui dari lingkungan, keluarga, keturunan dan teman-temannya. Kita dapat mencari informasi tentang akhlaknya dan akhlak keluarganya, pendidikannya dan pergaulannya di sekolah atau di tempat kerja juga teman-temannya serta aktivitinya. Kerana itu semua menggambarkan keadaan lelaki tersebut yang sebenarnya. Proses ini ialah ta’aruf (mengenali) yang baik, bukan dengan melanggar batas syara' apatah lagi sampai pada persentuhan atau lainnya.

Oleh itu, janganlah menilai dari rupa fizikal (zahir) sahaja, tetapi perlu juga dinilai dari segi agama (dan pengamalannya), keluarga, akhlak dan teman-temannya.

Keraguan terhadap calon suami/isteri itu menjadi hak kita untuk berfikir menentukan pasangan yang dipilih dan calon ayah/ibu kepada anak-anak kita. Lebih elok dan tepat, istikharah dan bermusyawarah dengan orang-orang dekat. Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ

“Tidak akan sia-sia orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermusyawarah”

Allah SWT permudahkan...

Wallahu a'lam


FORSAN SALAF

Mohammad Zaki Bin Yahpar

Saturday, December 10, 2011

Beza Tiga Air


Ini suatu catatan ringkas tentang tiga jenis air iaitu air mani, air mazy, dan air wady.

Perbezaan antara air mani, air mazy dan air wady seperti berikut;

1. MANI: cairan putih keluar dengan terpancar-pancar disertai syahwat serta menyebabkan keletihan setelah keluarnya. 

Hukumnya suci dan wajib mandi. 

Ciri-ciri air mani ada tiga iaitu;
- keluar disertai syahwat (kenikmatan).
- keluar dengan terpancar-pancar.
- jika basah, baunya seperti doh tepung dan jika kering seperti putih telur. 

Jika didapati salah satu dari tiga ciri di atas, maka disebut air mani. Hal ini berlaku pada lelaki dan perempuan.

2. MAZY: cairan putih lembut dan licin keluar pada permulaan bergejolaknya syahwat. Istilah mazy untuk lelaki, namun jika keluar dari perempuan dinamakan QUDZA. 

Hukumnya najis dan membatalkan wudhu’ tapi tidak wajib mandi.

3. WADY: cairan putih keruh dan kental, keluar setelah kencing atau ketika mengangkat beban berat. 

Hukumnya seperti air mazy iaitu najis dan membatalkan wudhu’ tetapi tidak wajib mandi. 

KESIMPULAN: 

1. Jika cairan keluar mengandungi salah satu ciri-ciri air mani, maka dihukumkan sebagai air mani. Namun jika tidak ada dan keluarnya pada mulai gejolaknya syahwat atau sesudah syahwat, maka dihukumkan sebagai air mazy.

2. Jika ragu-ragu yang keluar air mani atau air mazy, maka boleh memilih antara menjadikannya air mani sehingga wajib mandi, atau menjadikannya mazy sehingga hukumnya najis, tidak wajib mandi namun batal wudhu’nya. Paling afdhalnya menggabung keduanya iaitu mandi janabah dan mensucikan tempat yang terkena cairan tersebut. 

3. Wanita juga mengeluarkan air mani dengan ciri-ciri sebagaimana di atas. Namun menurut Imam al-Ghazali, air mani wanita hanya bercirikan keluar disertai syahwat (kenikmatan)
 

التقريرات السديدة في المسائل المفيدة ص 115-116
الفرق بين المني والمذي والودي :
المني : ماء أبيض يتدفق حال خروجه ويخرج بشهوة ويعقب خروجه فتور.
المذي : ماء أبيض رقيق لزج يخرج عند ثوران الشهوة بلا شهوة كاملة
الودي : ماء أبيض ثخين كدر يخرج بعد البول أو عند حمل شيئ ثقيل
الحكم عند خروج أحدها :
المني يوجب الغسل  ولا ينقض الوضوء وهو طاهر
المذي والودي حكمهما كالبول فينقضان الوضوء وهما نجسان
علامة المني يجب الغسل إذا وجدت إحدى هذه العلامات ولا يشترط كلها والمرأة مثل الرجل في ذلك وهي ثلاثة :
1.      التلذذ بخروجه أي يخرج بشهوة
2.      التدفق أي يخرج على دفعات
3.      الرائحة إذا كان رطبا كرائحة العجين أو الطلع ، وإذا كان جافا كرائحة بياض البيض
فليس من علامات المني كونه أبيضا أو يعقب خروجه فتور ولكن هذا على سبيل الغالب
كما قال صاحب صفوة الزبد :
ويعرف المني باللذة حين # خروجه وريح طلع أو عجن
مسألة : إذا شك هل الخارج مني ام مذي فما الحكم؟ يتخير فإن شاء جعله منيا فيجب عليه الغسل وإن شاء جعله مذيا فينتقض وضوؤه ويجب غسل ما أصابه منه والأفضل أن يجمع بينهما  فيغتسل ويغسل ما اصابه منه

Wednesday, December 7, 2011

Qana'ah - Pilihan Hidup Mulia


بسم الله الرحمن الرحيم

"Barangsiapa yang tidak pandai mensyukuri harta yang sedikit, dia tak akan mampu mensyukuri harta yang banyak. Barangsiapa tidak mampu memanfaatkan ilmu yang sedikit, dia akan lebih tidak mampu memanfaatkan ilmu yang banyak" (Imam Abdullah al-Haddad)

Seseorang yang pandai bersyukur dengan hartanya yang sedikit, pada hari kemudian dia akan lebih 'bijak' bersyukur dengan limpahan harta yang banyak. Rezeki yang diterima dengan senang hati dan lapang dada, bermuara pada kenikmatan yang tidak terkira. Meskipun rezeki tersebut sedikit, namun kerana ia diterima dengan sukacita, bakal menjadi nikmat dan kebahagiaan. Sebaliknya, jika seseorang tidak mempunyai rasa syukur dan terima kasih atas kurniaan Allah SWT kepada dirinya, sampai bila-bila pun dirinya tidak akan pernah berasa puas. Hawa nafsunya dirasuki sifat tamak dan rakus. Walaupun gajinya berjuta-juta setiap tahun atau bulan, tetapi sikap tamak pada dirinya itulah yang menjadikan dia berasa seperti orang susah, miskin yang selalu mengemis.

Pasti berbeza halnya dengan seseorang yang syakir (bersyukur) dan qanû` (orang yang menerima seadanya), berapa pun nilai kuantiti rezeki yang diperoleh, pasti selalu dia sikapi dengan penghargaan serta memanfaatkan rezeki itu dengan sebaik-baikya. Orang yang bersyukur dengan beberapa helai wang, dia memberi nafkah keluarganya. Dengan rezeki yang cukup itu, dia ungkapkan rasa syukur kepada Tuhannya. Dengan begitu, dia telah menjadi 'orang kaya' pada ketika itu juga.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَيْسَ الغِنىَ بِكَثْرَةِ العَرَضِ إِنَّمَا الغِنىَ غِنىَ النَّفْسِ

“Kekayaan itu tidak terletak pada banyaknya harta, tapi ada pada kekayaan hati”

Dalam hadith yang lain, Nabi Muhammad SAW juga bersabda: "Tamak merupakan penyakit yang menyebar.”

Pada prinsipnya, orang yang rakus - yang tidak memiliki rasa syukur - selalu berada dalam kemiskinan dan kekurangan. Kefakiran yang dia rasakan itu tidak perlu menunggu lenyapnya harta yang dimiliki. Cukup dengan ketamakan serta kerakusannya itulah yang akhirnya membawa dirinya ke lembah kehinaan, kenistaan, dan kehilangan harga diri sebagai makhluk yang sempurna.

Renungkanlah ungkapan indah Nabi Muhammad SAW ini:

لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ ذَهَبٍ لَابْتَغَى الثَّالِثَ وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ   رواه احمد

“Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah (berisi) dari emas, pasti dia menginginkan lembah yang ketiga; tidak ada yang mengisi perut anak Adam kecuali tanah, serta Allah menerima taubat orang yang mahu kembali kepada-Nya.” (Hadith riwayat Ahmad)

Demikian peringatan Nabi Muhammad SAW buat diri kita supaya memiliki sikap qanâ`ah. Sikap qanâ`ah-lah yang membuat hati kita kaya akan rasa bersyukur. Dengan qana`ah, maqam kita akan jauh menuju maqam redha, redha dengan rezeki yang Allah SWT telah beri kepadanya.

Dalam hubungan ini, kita perlu tahu bahawa segala sesuatu sudah ada ukurannya. Tidak terkecuali dalam persoalan pembahagian rezeki. Setiap orang tidak akan luput dari rezekinya; tidak akan tertukar dengan lainnya. Kerana itulah, qana`ah boleh menjadi benteng dari sikap rakus harta. Syarat utama seseorang yang qanâ`ah rela dengan takdir Allah SWT, rela dengan rezeki-Nya. Habib Abdullah al-Haddad bersyair:

إِنَّ القَناَعَةَ كَنْزٌ لَيْسَ بِالفاَنِيْ * فَاغْنَمْ هُدِيْتَ أُخَيَّ عَيْشَهَا الهَانِيْ
وَعِشْ قَنُوْعاً بِلاَ حِرْصٍ وَلاَ طَمَعٍ * تَعِشْ حَمِيْدًا رَفِيْعَ القَدْرِ وَالشَّأْنِ

Sikap qana`ah adalah khazanah yang tidak ada habisnya,
Hai saudaraku, manfaatkan hidup di dunia dengan sikap qana`ah, nescaya kau dibimbing,
Hiduplah sebagai seorang yang bersahaja tanpa rasa tamak dan rakus,
Pasti engkau akan hidup dalam keadaam mulia.

Di sudut lain, harta merupakan 'kotoran'. Kamu membeli roti dan memakannya selang beberapa jam akan menjadi kotoran. Baju yang kamu pakai ketika ini mungkin kelihatan begitu indah, tetapi siapa menyangka bahawa sepuluh tahun baju itu akan menjadi barang usang dan buruk. Tubuh yang kamu jaga dengan baik, dari hujung rambut hingga hujung kaki, namun ketika kamu mati menjadi mayat - tak berdaya - yang akan menjadi santapan cacing-cacing dalam kubur. Dunia ialah 'kotoran', seperti yang disebut bahawa “Barangsiapa matlamat hidupnya untuk dunia, maka nilai orang tersebut sama dengan kotoran yang keluar dari perutnya.”

Dikisahkan, suatu peristiwa Imam Ali dan sahabat-sahabatnya berjalan dan melihat longgokan sampah di salah satu sudut jalan. Di situ, Imam Ali berhenti dan berkata: “Inilah sampah bekas barang yang kelmarin dibangga-banggakan oleh orang-orang.”

Masih dalam kaitan ini, pernah Rasulullah SAW melihat bangkai kambing diseret oleh penduduk setempat untuk dibuang. Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabatnya: “Bagaimana pendapatmu tentang kambing ini?”
“Ya, wahai Rasulullah, begitu hinanya kambing ini hingga dibuang begitu sahaja.”
“Allah lebih jijik melihat dunia ini yang kehinaannya melebihi bangkai kambing tersebut,” kata Rasulullah SAW.

Orang yang melarat ialah orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah SWT. Ketika kamu menjamu tempe jangan berfikir makan sate tapi santaplah makanan sekelas tempe itu dengan memikirkan keadaan saudara-saudara kamu yang kadang kala tidak makan seharian suntuk.

Qana`ah dan Ilmu

Penting juga untuk diketahui bahawa sikap qanâ`ah akan lahir apabila kita membekalkan diri dengan ilmu. Ilmu yang manfaat ialah ilmu yang diamal. Ilmu dicari untuk diamal sebagaimana pen yang dibeli digunakan untuk mencatat atau cangkul yang digunakan untuk menggali tanah (kebun), seperti itulah ilmu, ia berfungsi sebagai alat untuk beramal kebajikan. Tidak perlu banyak ilmu (tidak perlu menuntut semua ilmu), yang penting ilmu itu dimafaatkan. Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa mengamalkan ilmu yang dia ketahui, Allah akan berikan ilmu yang tidak dia ketahui.”

Contoh ilmu yang bermanfaat, kamu mengetahui keutamaan solat berjemaah, maka setiap waktu kamu melaksanakan solat secara berjemaah. Kamu tahu dosa berbohong, maka jangan sampai kamu berbohong. Indikasi ketidakmanfaatan ilmu ialah bahwa tindak-tanduk kamu bertentangan dan berlawanan dengan ilmu yang kamu pelajari. Kamu tahu bahawa berbohong merupakan dosa, tetapi lisan kamu 'basah dengan dusta dan pembohongan.

Ilmu tidak sama dengan harta. Allah SWT memberi kita ilmu untuk dilaksana, diajarkan kepada orang lain. Di situlah Allah SWT akan memberi 'bonus'. Namun berbeza halnya dengan harta. Kamu memiliki wang lima ribu lalu kamu sedekahkan dua ribu dan bakinya tinggal tiga ribu. Ilmu semakin bertambah jika disedekahkan sedang harta akan berkurang jika diinfakkan.

Seorang alim yang tidak mengamalkan ilmunya akan menjadi perosak seperti pengembala kambing ditugaskan untuk menjaga gembalaannya supaya tidak tersesat atau terjatuh ke jurang. Tentunya beza dengan pengembala yang jahat, ia lantas menjadi sumber kecelakaan bagi gembalaannya itu sendiri seperti ilustrasi kata bijak pandai:

وَرَاعِي الشَّاةِ يَحْميِ الذِّئْبَ عَنْهَا ، فَكَيْفَ إِذاَ الرُّعاَةُ لَهَا ذِئاَبُ

“Seorang pengembala kambing (bertugas) menjaga kambing dari terkaman serigala, namun bagaimana halnya apabila ternyata pengembala itu sendiri adalah serigala?”

Ulama yang hidup dalam masyarakat, tugasnya melindungi masyarakat dari kemungkaran dan kerosakan akhlak. Ironinya, tidak sedikit antara para ulama yang akhlaknya seperti Yahudi dan Nasrani. Dengan kata lain, mereka bercirikan:

ﮣ ﮤ ﮥ ﮦ ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ
Patutkah kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Surah al-Baqarah [02] : 44)

Ayat di atas menceritakan sikap orang-orang Yahudi dan ternyata banyak dari kalangan orang-orang berilmu yang bersikap seperti itu juga. Akibat dari sikapnya itu, kaum Yahudi dan kaum Nasrani bertenggek dalam kehinaan dan keburukan. Hal ini kerana mereka mengingkari kebenaran setelah mereka mengetahuinya. Kebenaran yang diperoleh bukan diamalkan malah diingkari. Jadilah mereka kaum yang hina.

ﭑ ﭒ ﭓ ﭔ ﭕ ﭖ ﭗ ﭘ ﭙ ﭚ ﭛ ﭜ ﭝ ﭞ ﭟ ﭠ
“Orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui (Nabi Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” (Surah al-Baqarah [02] : 146)

Wallahu a'lam

FORSAN SALAF

Saturday, November 12, 2011

Ukhti Fillah, masihkah kau tidak ingin berjilbab? (Renungan buat Muslimah yang belum ingin menutup auratnya dengan Hijab)

Beralasan belum siap berjilbab kerana yang penting hatinya dahulu diperbaiki?

Kami jawab: ”Hati juga mesti baik. Lahiriah pun demikian. Kerana iman itu merangkumi amalan hati, perkataan dan perbuatan. Hanya pemahaman keliru yang menganggap iman itu cukup dengan amalan hati ditambah perkataan lisan tanpa mesti ditambah amalan lahiriah. Iman perlu realisasi dalam tindakan dan amalan”

Beralasan belum siap berjilbab kerana mengenakannya begitu rimas dan panas?

Kami jawab: ”Yang mana lebih baik, panas di dunia kerana melakukan ketaatan atau panas di neraka kerana derhaka?” Cuba direnungkan!

Beralasan lagi kerana saat ini belum sedia berjilbab?

Kami jawab: ”Jika tidak sekarang, jadi bila? Adakah tahun depan? Adakah dua tahun lagi? Atau jika sudah tua dan rambut sudah beruban? Inilah was-was dari syaitan supaya kita menunda-nunda amalan baik. Mengapa mesti menunda berhijab? Dan kita tidak tahu sama ada esok kita masih di dunia ini atau sudah dijemput ke alam barzakh, bahkan kita tidak tahu keadaan kita sejam atau malah seminit mendatang. Jadi jangan menunda-nunda beramal baik. Jangan menunda-nunda untuk berjilbab”.

Perkataan Ibn Umar R.ANHUMA berikut seharusnya menjadi renungan:

“Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah menunggu waktu pagi. Jika engkau berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah masa sihatmu sebelum datang sakitmu dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang matimu.” (Hadith riwayat al-Bukhari no. 6416).

Hadith ini menunjukkan dorongan untuk menjadikan kematian seperti berada di hadapan kita sehingga bayangan tersebut menjadikan kita bersiap-sedia dengan amalan soleh.

Allah SWT berfirman:

Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya; Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab : 59)

Subhanallah..

Masihkah kamu ragu wahai Ukhti fillah untuk menutup kemolekan tubuhmu dengan hijab? masihkah? Ingatlah, sesungguhnya api neraka akan membakar tubuh yang kamu sajikan untuk lelaki hidung belang, kamu boleh memberi alasan itu dan ini. Demi Allah! Sesungguhnya kita tak akan mampu menjangka waktu nyawa ini akan diambil oleh Malaikat Maut!

Sahabatmu dalam mengingat Allah SWT,

(Diolah ke dalam Bahasa Malaysia oleh Mohammad Zaki Yahpar Yahya )

Sunday, August 21, 2011

Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia


Keputusan:

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.

--------------------------------------------------------------------------------

Keputusan (English):

The Ruling On Using Indelible Ink In Malaysia Election.

Decision:


The Special Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 8th August 2007 has discussed on the ruling on using indelible ink in Malaysia General Election. Based on explanation and research conducted by experts in chemistry together with evidences brought by the members of the Committee, the Committee has decided that the indelible ink does not contain impure substances that are prohibited according to Islamic law, nor it brings harm to the health and does not impede water to get onto the skin when used. Hence, the use of indelible ink is permissible according to Islamic Law as it does not bring problem to Muslims ritual activities.

However, the Committee has decided that the level of permeability of the indelible ink is limited to the amounts that have been tested by the experts.



------------------------------------------------------------------------------


Keterangan/Hujah:


1. Indelible Ink bermakna dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Kaedah ini adalah kaedah yang mudah yang berkesan bagi mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih sekali. Beberapa negara telah menggunakan kaedah ini termasuk China, Ghana dan Denmark. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihanraya sejak tahun 1962 lagi. Berdasarkan laporan ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga (3)bahan utama iaitu air, Ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate .

2. Penggunaan Indelible Ink tidak akan mendatangkan sebarang mudharat jika digunakan pada kuku dan jari. Ia hanya akan mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum.

3. Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari. Untuk kegunaan dalam pilihanraya, SPR hanya akan mencalitkan Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

4. Penggunaan alkohol dalam Indelible Ink bukan merupakan isu kerana pada asasnya jika sesebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

5. Memandangkan Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta dan kandungannya juga bebas dari sebarang lemak haiwan, maka penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.

6. Ketelapan air pada kulit perlu dibezakan dengan ketelapan air yang sampai pada sel di bawah kulit, kerana dari sudut syarak kedua-duanya adalah berbeza dan untuk tujuan ibadah adalah memadai jika air telap sampai ke kulit.

7. Dalam konteks menjaga maslahah ummah, beberapa kaedah fiqhiyah yang boleh dijadikan sandaran adalah :

تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلح

Maksudnya : Tindakan yang dijalankan oleh ketua negara terhadap urusan rakyat adalah terikat dengan maslahah.

Friday, July 29, 2011

Kata Hikmah Ibn 'Atoillah al-Sakandari

"Bagaimana hati akan (dapat) bersinar
sedangkan gambar-gambar alam semesta ini
tertera dalam cermin hatinya?

Atau bagaimanakah dia
akan (dapat) berjalan pergi kepada Allah
sedangkan dia terbelenggu
dengan keinginan-keinginan nafsu syahwatnya?

Atau bagaimanakah dia berkeinginan
masuk ke hadhrat Allah
sedangkan dia tidak bersuci
daripada janabah kelalaiannya?

Atau bagaimanakah dia berharap (dapat)
memahami rahsia-rahsia yang halus
walhal dia tidak bertaubat
dari dosa-dosa kesalahan?"



-Ibn 'Atoillah al-Sakandari-