Tuesday, November 17, 2009

WANITA DI JANTUNG HATI RASULULLAH S.A.W (Bahagian 2)


2. Saudagar Besar yang Bergelar

Khadijah adalah orang yang lebih senang tinggal di rumah, tetapi beliau seorang saudagar besar terkaya di Mekkah, dia hanya merekrut seorang agen manakala kafilah telah siap berangkat. Ibnu Sa’ad dalam kitab Tabaqat mengatakan: bahawa bila-bila pun kafilah-kafilah Mekah berangkat dalam perjalanan mereka, muatan milik Khadijah setara dengan milik seluruh pedagang Quraisy lainnya. Beliau memiliki julukan “sentuhan emas”, iaitu manakala ia menyentuh debu maka debu itu nescaya akan berubah menjadi emas. Sebab itulah penduduk Mekah memberinya julukan “Puteri Quraisy” (The Princess of Quraisy). Mereka juga menyebutnya “Puteri Mekah” (The Princess of Makkah).

Seluruh jazirah Arab merupakan masyarakat yang didominasi kaum lelaki. Perempuan tidak memiliki kehormatan, bagaimanapun hebatnya beliau. Banyak orang Arab meyakini bahawa perempuan adalah pembawa sial, mereka memperlakukan perempuan lebih seperti binatang ternak daripada layaknya manusia. Dalam banyak peristiwa, mereka membunuh bayi perempuan mereka kerana ketakutan, bahawa ia (anak perempuan) akan menjadi tawanan dalam perang antara suku, dan kerananya menjadi budak musuh, dan statusnya sebagai budak akan membuat hina keluarga dan sukunya. Mereka membunuhnya dengan alasan takut miskin.

Selain dua gelaran tadi, yang lebih menakjubkan lagi, Khadijah juga mendapat julukan ath-Thahirah ertinya “Yang Suci”. Hebatnya, gelaran itu diberikan oleh bangsa Arab, orang-orang yang tersohor dengan keangkuhannya, kesombongannya dan fanatisme keunggulan kaum lelakinya. Tetapi, akhlak Khadijah merupakan teladan yang demikian konsisten, sehingga berhasil mendapat pengakuan dari mereka dan memanggilnya “Yang Suci”.

Monday, November 16, 2009

Rintihan Di Malam Hari - Imam Bukhari

Di kala malam yang sunyi sepi bani insan tengah tenggelam dalam tidur dan mimpi
musafir yang malang ini tersentak bangun
pergi membasuh diri
untuk datang mengadap-Mu Tuhan.

Lemah lututku berdiri di hadapan-Mu
sedu sedan tangisku keharuan
hamba yang lemah juga mendekat
bersimpuh di bawah Duli Kebesaran.

Tuhan
Hamba tidak tahu pasti
bagaimana penerimaan-Mu
di kala mendengar pengaduan hamba
yang penuh dosa dan noda ini

Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan
Engkau berjanji untuk sedia memberi menerima pengaduan
dan sudi memberi keampunan

Dan Muhammad Rasul-Mu yang mulia itu
ada mengatakan:
Ampunan Tuhan lebih besar dari kesalahan insan
hamba percaya pada tutur kepastian itu
sebab itu hamba datang wahai Tuhan
bukan tidak redha dengan ujian
cuma hendak mengadu pada-Mu
tempat hamba kembali nanti
memohon sakinah,maghrifah dan mutmainnah.

~ Imam Bukhari

Friday, November 13, 2009

Tok Guru Batal Hasrat Ke Mekkah!


Assalamualaikum…

Maklumat terbaru yang diterima, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membatalkan hasratnya untuk ke Tanah Suci Makkah. Berita ini diperolehi daripada www.harakahdaily.net dan http://paszbb.blogspot.com/. Tok Guru dikatakan membuat keputusan itu kerana beberapa ‘serangan’ oleh pihak tertentu berhubung dengan tajaan yang beliau perolehi untuk ke Tanah Suci. Tok Guru membuat kenyataan ini sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

Saya turut tersentak apabila membaca berita ini. Sebelum ini, ana ada terbaca tentang beberapa pihak (UMNO-BN) yang mendesak supaya mendedahkan individu yang menaja kos tambang Haji Tok Guru. Selain itu, ana juga ada terbaca tentang artikel yang mengatakan (lebih kepada fitnah sebenarnya) yang mengatakan Tok Guru menggunakan duit Negeri.

MasyaAllah, sampai begitu sekali fitnah dan ujian yang diterima oleh Tok Guru. Bagi mereka yang mengerti, tidak menjadi satu kehairanan apabila seseorang yang ‘alim itu mendapat sesuatu penajaan atau barang yang seumpama dengannya. Penajaan yang dibuat tidak lebih dari untuk mendapatkan berkat dari orang ‘alim seperti Tok Guru.

Begitulah kalau hati kita penuh dengan ‘kekotoran’.

Allah Ta’ala ada berfirman, dalam Surah Al-Baqarah ayat 10 yang mafhumnya :

“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Al-Baqarah : 10)

Tok Guru juga menyatakan bahawa beliau dan menantunya juga turut menjadi mangsa fitnah dan dikhianati oleh pihak-pihak tertentu. Pasti tangan-tangan jahat yang merancang perkara ini tersenyum lebar mendengar berita ini.

Begitulah adat dan ujian bagi pejuang dan penegak ISLAM. Setiap mereka akan diuji dari seringan-ringan ujian hinggalah kepada seberat-berat ujian. Kita perlu sabar dan tetap teruskan perjuangan berdasarkan landasan utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Kepada sekalian umat ISLAM dan mereka yang menyokong perjuangan ISLAM, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah Taala membukakan pintu hati mereka yang masih gelap dan tertutup hatinya. Selain itu juga, marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah Taala memberikan kekuatan kepada Tok Guru dan keluarganya dalam menghadapi segala macam tohmahan dan fitnah dari puak-puak yang jahat.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dunia Itu Satu Kebun - Ibnu Khaldun

DUNIA itu satu kebun,
pagarnya negara.

NEGARA itu sebuah kekuasaan,
yang hidup dengan kekuasaan itu,
aturan yang tetap (sunnah)

ATURAN yang tetap itu
ialah politik (siasah)
yang dijalankan oleh raja.

RAJA itu peraturan
yang disokong oleh tentera
Tentera-tentera itu pembantu,
yang ditanggung oleh harta

HARTA itu rezeki,
yang dikumpulkan oleh rakyat..

RAKYAT itu budak-budak,
yang dipelihara oleh keadilan

KEADILAN itu yang disukai
dengan keadilan tegaklah dunia

~ Ibnu Khaldun

Monday, November 9, 2009

WANITA DI JANTUNG HATI RASULULLAH S.A.W (Bahagian 1)


Oleh : Syeikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantany

I. KHADIJAH R.A DI MASA JAHILIYAH

1. Nama & Keturunan
Sayyidah Khadijah, merupakan sosok yang fenomenal. Beliau adalah wanita Quraisy yang nasabnya paling terhormat, paling kaya, dan cerdas, juga cantik dari segi fizikal dan akhlaqnya. Di samping itu, beliau juga memiliki sifat-sifat yang mulia. Semua kelebihan itu terkumpul pada dirinya.

Dia seorang wanita janda, bangsawan, hartawan, dan budiman. Ia disegani oleh masyarakat Quraisy khususnya, dan bangsa Arab pada umumnya. Sebagai seorang pengusaha, beliau banyak memberikan bantuan dan modal kepada pedagang-pedagang atau melantik orang-orang untuk mewakili urusan-urusan perniagaannya ke luar negeri.

Ayahnya bernama Khuwailid, salah seorang tokoh suku Quraisy yang sangat dihormati. Sedangkan ibunya adalah Fathimah, yang nasabnya bersambung kepada silsilah para nabi yang penuh barokah. Oleh sebab itu, Sayyidah Khadijah adalah isteri yang nasabnya paling dekat kepada Nabi SAW.

Sayyidah Khadijah lahir di Mekah, beliau adalah puteri Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusay. Sedang Nabi SAW adalah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qusay. Jadi keduanya masih dari satu garis keturunan Qusay.

Khuwailid, ayah Khadijah, adalah seperti kebanyakan anggota suku Quraisy Mekah, seorang saudagar. Setelah meninggalnya sang ayah, Khadijah menguruskan perniagaan keluarga, dan dengan cepat mengembangkannya. Dengan keuntungan yang didapatnya, beliau menolong kaum papa, para janda, anak-anak yatim, orang-orang sakit dan cacat. Kalau ada gadis-gadis miskin, Khadijah menikahkan mereka, dan memberikan mahar untuk mereka.

Pertama kali, dia dipersunting oleh ‘Atiq bin ‘Abid, tapi tidak lama kemudian ‘Atiq meninggal dunia. Kemudian dia dinikahi oleh seorang tokoh lain, Abu Halah bin Zararah At-Tamimi, dan dianugerahi seorang putera bernama Hindun. Tidak lama setelah itu suaminya pun meninggal dunia. Kemudian Khadijah menjadi incaran para pemuda dan pemuka Quraisy. Namun Allah memberikan kurnia kepadanya untuk menjadi isteri Nabi Muhammad SAW.