Tuesday, February 2, 2010

Riwayat Hidup - Habib Alwi Bin Tohir Al-Haddad (Mufti Kesultanan Johor 1934-1961)


Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abu Bakar Abu Thahir Al-Alawi asy-Syarif al-Huseini lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, pada 14 Syawal 1301 H (bertepatan dengan 7 Ogos 1884 M). Sejak kecil beliau memang sudah bercita-cita menjadi ulama. Itu sebabnya beliau sangat teguh dan rajin menuntut ilmu dan berguru kepada para ulama besar, sehingga mampu menguasai berbagai ilmu naqli (berdasarkan Al-Qur'an dan sunnah) dan aqli (berdasarkan akal). Beliau bahkan juga mampu melakukan istinbat (proses penggalian hukum islam) dan ijtihad (penggalian hukum syari'at yang belum tertera dalam Al-Qur'an dan Sunnah) yang sangat cermat.

Selain mengaji kepada keluarganya, semasa remaja di Hadhramaut beliau juga berguru kepada para ulama seperti Habib Ahmad bin Hasan Al-Aththas, Habib Thahir bin Umar Al-Haddad dan Habib Muhammad bin Thahir Al-Haddad. Beliau juga mendalami ilmu hadith dengan menamatkan kitab-kitab Kutubus Sittah, Riyadhus Solihin, Bulughul Maram, Jami'us Saghir. Beliau juga mendalami kitab Ad-Dhawabil Jaliyah fil Asanid al-'Aliyah, karya Syekh Al-'Allamah al-Musnid Shafiuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani.

Disamping itu, beliau juga berguru kepada Sayyid Alwi Al-Haddad, Habib Thahir bin Abi Bakar Al-Haddad, masih banyak guru yang mewariskan ilmu kepadanya, seperti Al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Uthman bin Muhammad Ba Uthman Al-Amudi ash-Siddiq al-Bakari dan Sayyid Abdur Rahman bin Sulaiman Al-Ahdal.

Seperti para ulama salaf yang lain, sejak masih sangat muda kecerdasan Habib Alwi sudah tampak. Pada usia 12 tahun, misalnya, beliau sudah menghatamkan kitab Ihya Ulumuddin, karya Imam Ghazali. Bahkan pada usia 17 tahun, beliau sudah mampu mengajar ilmu tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, tarikh, falaq, nahwu, saraf, balaghah, filsafat dan tasawuf.

Termasyhur sebagai ulama yang kaya dengan ilmu agama, dalam setiap majlis Habib Alwi dikenal sebagai pembicara yang mampu menjelaskan masalah agama dengan berbagai dalil aqli dan naqli. Bukan hanya itu, beliau juga termasyhur sebagai penulis kajian agama di pelbagai akhbar, meliputi pelbagai masalah agama, fatwa, sejarah, kemasyarakatan, bahkan juga politik. Kitab keislaman yang disusunnya, antara lain, Al-Qaul al-Fash fi Ma li Bani hasyim wa Quraisy wal Arab min al-Fadhl (2 jilid), Durus as-Sirah an-Nabawiyah (2 jilid kecil), Mukhtasar aqd al-Aali (ringkasan karya sayyid Idrus bin Umar Al-Habsyi), I'anah an-Nahidh fil ilm al-Faraidh, Majmu'ah min Ulum al-Falaq, Ath-Tabaqat al-Alawiyyah. Belum lagi sebuah kitab berisi kumpulan 12,000 fatwa dan dua jilid kitab tentang hukum nikah dalam bahasa Melayu.

Habib Alwi lebih dikenal sebagai guru besar para ulama. Selain mengajar di Jakarta, beliau pernah mengajar di Bogor dan di kota-kota lain di Jawa. Muridnya yang kemudian terkenal sebagai ulama besar, antara lain, Habib Alwi bin Syekh Bilfaqih, Habib Alwi bin Abbas Al-Maliki, Habib Salim Jindan, Habib abu bakar Al-Habsyi, Habib muhammad bin Ahmadv Al-Haddad, Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih, Habib Husein bin Abdullah bin Husein Al-Aththas, Syekh Hasan Muhammad Al-Masyath al-Maliki, KH. Abdullah Nuh, KH.Abdullah Syafi'i.

Di Jakarta beliau mengajar di Jami'at Kheir (berdiri 1905). Selain mengajar, beliau juga merangkap sebagai wakil Mudir, sementara yang bertindak sebagai mudir adalah Sayyid Umar bin Saqaf As-Saqaf. Kala itu Jamia'at Kheir juga mengundang sejumlah guru dari berbagai negeri, seperti Ustaz Hasyimi (Tunisia), Syeikh Ahmad bin Muhammad As-Surkati (Sudan), Syekh Muhammad Thayyib Al-Maghribi (Maghribi), Syeikh Muhammad Abdul Hamod (Makkah). Beliau juga sebagai salah seorang pendiri ar-Rabitah al-Alawiyah.

Selain mengajar di Jakarta, beliau juga mengajar di Bogor dan kota-kota lain di Jawa, bahkan kemudian berdakwah ke pelbagai negeri, seperti Somalia, Kenya, Arab Saudi, Malaysia. Belakangan beliau diangkat sebagai Mufti di Kesultanan Johor, Malaysia (1934-1961), menggantikan ( Alm.) Dato Sayyid Abdul Qadir bin Mohsen Al-Aththas. Selama menjadi Mufti, beliau sering berdakwah ke pelbagai pelosok kampung dan masjid.

Pada 14 November 1962 (1382 H) Habib Alwi bin Thahir bin Abdullah Al-Haddad wafat. Jenazahnya dikebumikan di kompleks Pemakaman Mahmudiah, Johor Bahru, Malaysia.

Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M.

Dalam Tasynif al-Asma' oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh menyebut bahawa Saiyid 'Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada bulan Jamadilakhir 1382 H (hlm. 383). Nik Yusri Musa dalam kertas kerja berjudul Polemik Datuk Sayed bin Tahir al-Haddad dan A. Hassan Bandung: Gambaran Pemikiran Fiqh Nusantara menyebut bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia pada 14 November 1962 M dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmudiah Johor Bahru (lihat Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, 2005 M/1427 H, hlm. 538).

Ditinjau dari segi tarikh wafat kedua-dua maklumat di atas adalah sepakat kerana 14 November 1962 M adalah bersamaan dengan 17 Jamadilakhir 1382 H. Tetapi tempat wafat masih perlu ditinjau kerana Tasynif al-Asma' hanya menyebut Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat di Jakarta dan tidak menyebut di mana dikebumikan.

Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa pula dinyatakan bahawa beliau dikebumikan di Johor Bahru, tetapi tidak menyebutkan di mana sebenarnya Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat. Apakah memang benar beliau wafat di Jakarta kemudian jenazahnya dibawa ke Johor Baharu juga tidak dijelaskan. Sekiranya benar beliau wafat di Jakarta ada kemungkinan dikebumikan di Jakarta ataupun Bogor kerana Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad sebelum ke Johor memang tinggal di sana. Murid beliau pun memang ramai di Jakarta dan Bogor.

Seperkara lagi ketika tarikh wafat Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, 14 November 1962 M itu, urusan penerbangan dari Jakarta ke Singapura mungkin sedikit terganggu kerana detik-detik awal konfrontasi Indonesia-Malaysia, sedangkan Singapura ketika itu dalam Malaysia. Oleh itu sejarah yang demikian perlu diselidiki dengan lebih kemas lagi.

Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa juga dinyatakan bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 - 1961 (Ibid, hlm. 538). Maklumat ini berbeza pendapat dengan tulisan Othman bin Ishak dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam yang menyebut bahawa Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad menjadi Mufti Johor tahun 1934 - 1941, Datuk Haji Hasan bin Haji Yunus menjadi Mufti Johor 1941 - 1947 dan Datuk Haji Abd. Jalil Hasan menjadi Mufti Johor 1961 - 1964 (lihat terbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 31).

Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan 'al-Haddad'. Jadi bererti ada dua orang keturunan 'al-Haddad' yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.

PENDIDIKAN

Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w..

Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadith dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadith itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh as-Solihin, Bulugh al-Maram, Jami' as-Saghir. Sehubungan dengan hadith Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadith antara kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.

Selain guru tersebut, Saiyid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain pula ialah al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari. Saiyid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat hadis daripada al-Allamah as-Saiyid 'Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250 H/1834 M.

Diriwayatkan bahawa Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar namun pencapaian pengetahuan terlalu banyak. Ketika berumur 12 tahun Saiyid Alwi al-Haddad tamat belajar Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun beliau telah mula mengajar dan mengajar kitab yang besar-besar dan ilmu yang berat-berat dalam usia 20 tahun. Ilmu-ilmu yang beliau ajar dalam usia itu ialah ilmu tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, tarikh, falak, nahu, saraf, balaghah, falsafah dan tasawuf.

PEMIKIRAN

Saya mulai mengikuti tulisan-tulisan Saiyid Alwi al-Haddad sejak tahun 1966, iaitu yang dimuat dalam Warta Jabatan Agama Johor. Salah satu karya Saiyid Alwi al-Haddad bagi saya yang cukup menarik ialah sebuah karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberi judul Sejarah Islam di Timur Jauh. Saya ringkaskan sahaja bahawa karya Saiyid Alwi al-Haddad yang telah diketahui sebagai berikut:
1. Anwar al-Quran al- Mahiyah li Talamat Mutanabi' Qadyani (dua jilid).
2. Al-Qaul al-Fashl fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.
3. Al-Khulashah al-Wafiyah fi al-Asanid al-'Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.
4. 'Iqd al-Yaqut fi Tarikh Hadhramaut.
5. Kitab as-Sirah an-Nabawiyah asy-Syarifah.
6. Dalil Khaidh fi 'Ilm al-Faraidh.
7. Thabaqat al-'Alawiyin (sepuluh jilid).
8. Mu'jam asy-Syuyukh.
9. 'Uqud al-Almas bi Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-'Athas.

Sekiranya kita sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadith.

Lebih khusus lagi beliau sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan 'al-Alawiyin' atau keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang pernah dilakukan Saiyid Uthman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi.

Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Uthman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.

Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, "Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya." Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan 'Kaum Tua' menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.

MURID-MURID

Saiyid Alwi al-Haddad mengembara ke pelbagai negara, antaranya Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di negara-negara yang pernah beliau singgah, beliau berdakwah dan mengajar.

Di Jakarta, Saiyid Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair yang diasaskan oleh keturunan 'Saiyid' di Indonesia. Madrasah Jam'iyah al-Khair ialah sekolah Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia, Saiyid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah itu diasaskan. Bahkan beliau ialah Wakil Mudir sekolah itu.

Mudirnya ialah Saiyid Umar bin Saqaf as-Saqaf. Para guru didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustaz Hasyimi yang berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari Sudan (mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.

Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor dan tempat-tempat lain di Jawa. Muridnya sangat ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi al-Haddad ialah:
1. Saiyid Alwi bin Syaikh Bilfaqih al-Alawi.
2. Saiyid Alwi bin Abbas al-Maliki.
3. Saiyid Salim Aali Jindan.
4. Saiyid Abu Bakar al-Habsyi
5. Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Haddad.
6. Saiyid Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih.
7. Saiyid Husein bin Abdullah bin Husein al-Attas.
8. Syeikh Hasan Muhammad al-Masyath al-Makki.
9. Kiyai Haji Abdullah bin Nuh.


Sumber : Al-Kisah No.24 / Tahun IV / 20 November-3 Disember 2006

No comments:

Post a Comment