Sunday, May 2, 2010

Qaedah Fiqh - al-Masyaqqah Tajlibu al-Taisir

Qaedah yang ke tiga al-masyaqqah tajlibu at-taisir

القاعدة الثالثة
المشقة تجلب التيسير


Kepayahan itu menarik kepada kemudahan.
Semakna dengan qaedah ini al-amru iza daaqa ittasa’a (الأمر إذا ضاق اتسع) suatu pekerjaan itu apabila sempit, jadi luas.

Contoh:
• Seorang yang tidak kuasa (bersangatan payah) berdiri pada sembahyang fardhu, adalah harus baginya duduk, begitu juga, jika dia susah hendak duduk, maka dia harus sembahyang berbaring.
Peringatan: Tidak kuasa yang dikehendaki di sini ialah mereka yang tidak kuasa berdiri dengan sendiri, atau tidak kuasa berdiri dengan bantuan orang lain, adapun orang yang tidak kuasa berdiri tetapi ada orang yang menolong memegangnya, sama ada percuma atau dengan upah, wajib dia berdiri dengan bantuan orang lain, dengan syarat upah itu lebih daripada nafkah yang mewajibkan zakat fitrah dan dengan syarat tidak bersangatan kepayahan untuk berdiri.

• Seorang yang tak boleh menggunakan air untuk berwudhu’ atau mandi wajib, harus baginya bertayammum.

أسباب التخفيف فى العبادات وغيرها سبعة

Sebab-sebab keringanan pada ibadat dan lainnya ada tujuh:

Bermusafir (السفر). Berkata Imam Nawawi “kemudahan syara’ pada bermusafir ada lapan”. Sebahagiannya:
• Kemudahan syara’ yang tertentu dengan sebab jauh perjalanan, ada tiga iaitu harus mengqasarkan (memendekkan) sembahyang, diharuskan berbuka puasa, dan menyapu khauf (stokin kulit) lebih dari satu hari.
• Kemudahan syara’ yang tidak tertentu dengan jauh perjalanan, ada dua iaitu harus meninggalkan sembahyang Jumaat dan makan bangkai ketika darurat.
• Kemudahan syara’ yang terdapat khilaf ulama’ adakah disyaratkan jauh perjalanan atau tidak. Menurut pendapat yang Asoh, disyaratkan jauh perjalanan iaitu jama’ sembahyang.
• Kemudahan syara’ yang terdapat khilaf ulama’ adakah disyaratkan jauh perjalanan atau tidak. Menurut pendapat yang asoh, tidak disyaratkan jauh perjalanan, iaitu sembahyang sunat diatas kenderaan, dan tidak perlu qada’ sembahyang yang disembahyangkan dengan tayammum.

Sakit (المرض); kemudahan syara’ padanya banyak:
• Harus bertayammum apabila seorang itu tidak boleh mengguna air.
• Tidak makruh meminta pertolongan supaya menuang air ketika berwudhu’, atau menolong meratakan air di anggota wudhu’.
• Sembahyang fardhu dalam keadan duduk, berbaring dan dengan isyarat.
• Harus jama’ sembahyang kerana sakit, ini dipilih oleh Imam Nawawi dan sekumpulan ulama’ dan diikuti oleh Subki, Asnawi, dan Bulkini. Yang muktamad dalam Mazhab Syafie tidak harus jama’ kerana sakit.

Paksaan (الإكراه); dengan sebab dipaksa, harus minum arak, bercakap perkataan yang membawa kepada kufur, tetapi tidak harus berzina dan membunuh.

Lupa (النسيان); buat suatu perkerjaan yang menyalahi hukum dengan lupa menggugurkan dosa, seperti jima’ (bersetubuh) pada ketika berpuasa Ramadhan, maka dia tidak wajib kaffarah dan tidak batal puasanya.

Jahil dengan hukum ( الجهل بالحكم); menggugurkan dosa, seperti seorang yang baharu masuk Islam melakukan perkara yang membatalkan sembahyang di dalam sembahyangnya. Syarat jahil boleh dilihat didalam kitab fekah.

Payah dan ‘umum balwa (العسر وعموم البلوى); yakni payah menjauhkan diri dari suatu dan payah menjaganya, seperti sembahyang serta terkena najis yang dimaafkan, tahi burung yang merata di dalam masjid, dan terkena tanah najis di jalan.

Kekurangan/ketiadaan sempurna (النقص); seperti kanak-kanak dan perempuan, yang tidak diwajibkan Jumaat, berjihad, sembahyang berjama’ah kerana kekurangan yang ada pada mereka.

3 comments:

  1. SALAM ALAYK..
    beberapa soalan saya nak minta pendapat bersama..

    saya sedang mengkaji satu hukum qawaid fiqh kaedah y d terangkan ini..
    1.nak minta penjelasan sedikit dalil berkaitanya samada dr al-quran juga sunnah..
    2.apakah dabhit yang diterbitkan darinya..
    3.bagi memahamkan lebih lanjut, mohon tuan dapat bagi contoh yang ada berkaitan dengan kewang dan perbankan yang berlandaskan islam..

    SYUKRANN..

    ReplyDelete
  2. Sila rujuk, antaranya:

    1. Al-Aybah wa al-Nazhoir lil-Sayuti (Tanpa Tarikh), Maktabah al-Taufiqiyah, Qaherah.

    2. Al-Qawa'id Al-Fiqhiyyah (Prinsip-Prinsip Fiqh Islam) oleh Haji Hasan Bin Haji Salleh (Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM) - Pustaka Aman Press, Cetakan Kedua - 1979.

    dan beberapa kitab Qawa'id yang lain.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. Pembetulan...

    Al-Asybah wa al-Nazhoir... Bukan 'Aybah'...

    Harap maaf...

    ReplyDelete