Monday, December 13, 2010

Akad Nikah Ketika Berlakon Sah

KAHERAH: Sekumpulan ulama’ Al-Azhar dalam kenyataan akhbar tempatan serta laman web rasmi mereka mengulangi pendirian bahawa para artis yang berlakon dengan melakonkan akad nikah dalam siri lakonan mereka dianggap sah sebagai suami isteri dan boleh tinggal di bawah satu bumbung. Mereka berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan yang menyiarkan pandangan beberapa orang penggiat seni di Mesir, yang menyokong drama siri bercorak kekeluargaan yang disiarkan sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini yang boleh dijadikan contoh buat tatapan umum masyarakat Arab di Mesir khususnya dan Negara-negara Arab lain umumnya.

Pandangan ulama’ Al-Azhar yang diwartakan selepas itu sebagai salah satu bahan fatwa menyebut, bahawa dalam drama bersiri itu terdapat lakonan seorang artis wanita muda yang telah pun berkahwin, namun dalam lakonan itu beliau memegang watak seorang anak gadis yang dipinang oleh seorang lelaki dan akhirnya membawa kepada alam perkahwinan.

Perkahwinan itu dilakonkan dengan proses akad nikah dengan saksi dan segala yang berkaitan dengannya, di mana fatwa itu menyebut bahawa nikah itu adalah sah dan artis wanita itu berkahwin dengan dua lelaki, suaminya yang pertama dan suaminya ketika berlakon. Walaupun isu ini hangat suatu ketika dahulu namun ia cuba disembunyikan oleh pihak tertentu, namun dibangkitkan semula apabila drama bersiri itu ditayangkan semula dalam tempoh sebulan pada Ramadhan lalu yang mengundang kontroversi kerana ia jadi tatapan sepanjang hari di bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, para ulama’ berkenaan menyandarkan pandangan mereka kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tiga perkara jika dilakukan dengan betul, maka akan berlakulah ia dan apabila dilakukan dengan main-main pun ia akan berlaku; yaitu nikah, hamba sahaya, dan penceraian”. –Naseej.com

Harakah, Bil. 1595, 4-6 Muharam 1432H/10-12 Disember 2010, hal. F15

No comments:

Post a Comment