Monday, September 27, 2010

MUSIBAH PERCAMPURAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

MUQADIMAH

Dengan nama Allah Ta'ala yang Maha Pemurah & Maha Mengasihani. Segala pujian hanya berhak bagi Allah Ta’ala, Tuhan semesta alam. Selawat & salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, ke atas keluarga dan para sahabatnya serta sekalian yang mengikuti mereka itu hingga ke akhir zaman.

AL-KISAH

Telah maklum diketahui umum bahawa menyatukan pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam institusi pengajian, sama ada dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi adalah kebiasaan yang menular di Negara kita ini. Tambah pula segala aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran & kokurikulum pun sedemikian jua. Lebih-lebih teruk lagi, Asrama lelaki & perempuan berdekatan tanpa ada apa-apa penghadang. Cerita-cerita yang pernah saya dengar sendiri daripada murid-murid saya dari kalangan pelajar-pelajar universiti tempatan dalam aliran agama bahawa mereka menyatakan perkara yang tidak enak didengari apabila kita timbangkan dengan neraca syariat.

Pelajar-pelajar jurusan agama ini menyatakan bahawa menjadi kebiasaan pelajar-pelajar membuat hubungan istimewa sesama mereka. Ini kerana, apabila setiap hari melihat pelajar perempuan di dalam satu kelas atau pelajar perempuan yang lain pada sesuatu tempat dalam kampus.

Lebih-lebih lagi pelajar perempuan yang mempunyai rupa paras menawan, menjadi rebutan di kalangan pelajar-pelajar lelaki. Sehinggakan ada yang mengirim bunga untuk menawan hati si gadis jelita tersebut. Perhubungan begitu mudah, dengan telefon bimbit memainkan peranan yang penting dalam misi menakluki hati pelajar yang diminati serta sebagai alat yang dapat melayan perasaan pasangan-pasangan yang bercinta ini. Terdapat juga pelajar yang menjalin hubungan ‘istimewa’ dengan pensyarah muda yang memiliki rupa, yang baru menjawat tugas sebagai seorang pensyarah. Dalam kelas menghormatinya sebagai pendidik, dalam telefon bimbit dijadikannya sebagai seorang kekasih yang dirindui.

Lebih parah lagi ada yang berdating sambil berpegangan tangan dan terdapat kes ditangkap berdua-duaan dalam tandas. Masya Allah!! Na’uuzibillah min zalik! Bukanlah semata-mata saya membongkar perkara-perkara aib sedemikian untuk melekeh & mencela. Saya terpaksa berbuat demikian, hanyalah bertujuan menyatakan hukum syariat tentang pencampuran pelajar lelaki & perempuan. Harap maaf!!! ‘Perkara yang baik dijadikan teladan dan perkara yang buruk dijadikan sempadan.’ Inilah realiti yang berlaku serta diakui sendiri oleh pelajar-pelajar IPT, baik dari aliran agama mahupun aliran biasa (lebih parah). Ini kerana, jawapan yang saya terima adalah sama di kalangan pelajar IPT yakni pencampuran pelajar lelaki-perempuan itu membawa kepada elemen-elemen yang tidak baik.Terdapat juga pelajar lelaki menyusup masuk ke dalam bilik pelajar perempuan dan sebaliknya.

Takutilah bala bencana Allah Ta’ala yang berbentuk bencana alam seperti ‘Tsunami’, gempa bumi yang melenyapkan dan membinasakan apa saja atau berbentuk wabak penyakit seperti wabak ‘J.E’, selsema burung, selsema khinzir dan lain-lain, datangnya tiada diduga. Ianya disebabkan oleh maksiat-maksiat yang dilakukan oleh penduduk bumi itu sendiri. Hadith yang bermaksud:

“Tiadalah timbul @ nyata (secara terang-terangan) pada sesuatu kaum manusia, penzinaan dan amalan riba melainkan mereka sendiri meluluskan AZAB ALLAH (BALA BENCANA ALLAH).”

PUNCA-PUNCANYA

Kenapakah perkara ini tidak boleh berlaku? sedangkan semenjak dari kecil lagi muda-mudi kita dikotori fikiran mereka itu dengan tunjuk ajar yang negatif di sisi agama oleh syaitan yang besar iaitu TV & seumpamanya melalui rancangan-rancangan & filem-filem yang dipertontonkan. Didikan buruk yang menyalahi dengan syara’ yang terdapat di dalamnya seperti budaya berasyik-asyik dalam percintaan, adengan-adengan pergaulan bebas yang terbabas daripada batasan-batasan agama Allah Taala. Tidak kurang juga didikan membuka aurat dengan berpakaian yang ketat, singkat & menyingkap segala yang sepatutnya ditutup. Sehingga maruah harga diri seorang muslimat tidak kelihatan lagi melainkan dilihat seperti ciri-ciri perempuan orang kafir yang seperti binatang, bebas tanpa ikatan agama. Begitu juga dengan bahan-bahan cetak yang memainkan peranan penting dalam merosakkan moral muda-mudi kita.

MUQADIMAH ZINA

Bemula dari muqadimah zina atau dipanggil sebagai perkara yang membawa kearahnya (zina) iaitu percampuran antara lelaki & perempuan, aktiviti bersama-sama, pandang-memandang, membuat hubungan, bersentuh-sentuhan dan lain-lain, seterusnya boleh membawa kearah melakukan penzinaan itu sendiri.

Allah Ta'ala melarang keras hambanya melakukan muqadimah zina dan zina itu sendiri dalam firmanNya, yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina!”(surah al- Israa:32)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dalam kitab tafsir beliau dengan katanya: “Allah Taala berfirman (dengan ayat ini) yang mana Dia melarang hambaNya daripada melakukan zina, menghampiri zina, melakukan sebab-sebab kearah zina serta segala perkara yang boleh membawa kepada penzinaan.”

Tersebut dalam kitab Hasyiah Futuhat ilahiyah pada menerangkan ayat ini: “Kerana ayat ini memberi pergertian larangan daripada melakukan muqadimah zina seperti bersentuhan, bercium, melihat (lelaki pandang kepada perempuan atau perempuan melihat kepada lelaki)…”

Pandang-memandang

Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud: “Katakan kepada kaum muslimin, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”. (surah AN-Nur:30)

Firman-Nya lagi, yang bererti: “Katakanlah kepada kaum muslimat, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”(surah AN-Nur:31)

Al-Hafiz Ibnu Qayim Al-Jauziyah menyatakan dalam kitab Addaa Wa ddawaa’ m/s 163, bahawa ‘pandangan’ merupakan salah satu daripada punca-punca kemasukkan maksiat pada hamba Allah. Beliau menerangkan hal tersebut dengan katanya: “Adapun pandangan-pandangan itu ianya menarik kepada syahwat & utusannya (syahwat). Kawalan pandangan ialah asas bagi penjagaan alat kelamin (daripada melakukan perkara haram), maka sesiapa melepaskan pandangannya tanpa kawalan nescaya ia meletakkan dirinya ke tempat kebinasaan-kebinasaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, bermaksud: “Janganlah engkau ikutkan satu pandangan dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya tidak mengapa bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak harus (haram) bagi engkau pandangan kali kedua.”

Ibnu Qayyim menjelaskan lagi: “Pandangan itu asal kebanyakkan terjadinya bala bencana yang menimpa manusia. Ini kerana, ianya mendatangkan lintasan, seterusnya lintasan itu mendatangkan ingatan, seterusnya ingatan itu menerbitkan syahwat, seterusnya syahwat menerbitkan keinginan yang kuat maka jadilah azam yang teguh, lantas berlakulah perbuatan (zina) selagi tiada sesuatu yang menghalangnya. Kerana inilah, dimadahkan: “Sabar pada memejam mata (tiada melihat perkara haram) ialah terlebih mudah daripada sabar terhadap kesakitan yang akan terjadi selepasnya…”

Bersentuhan

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban & Ishak bin Rahawaih daripada Asmaa binti Yazid, yang bermaksud: “Bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan…” Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan hadis ini adalah hadis hasan.

Hadis yang bermaksud: “Demi Allah! Bahawa dicucuk seseorang daripada kalangan kamu di kepalanya dengan jarum besi adalah terlebih baik daripada ia bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya.”(Riwayat Tabarani). Al-Hafiz Ibnu Hajar membilang hadis ini sebagai hadis hasan.

Hubungan percintaan

Membuat hubungan percintaan di antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah terlebih dahulu adalah haram. Allah Taala melarang hambaNya daripada apa bentuk perkara, sama ada dengan melihat, membuat hubungan, menyentuh dan lain-lain yang merupakan habuan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan. Membuat hubungan intim hingga asyik dalam percintaan adalah merupakan muqadimah zina. Keasyikkan dan mabuk di alam percintaan ini membawa kekancah yang terlebih keji.

Ibnu Qayyim menyatakan bahawa keasyikkan cinta pada sesuatu itu tidak dapat memberi kemaslahatan kepada dunia dan akhirat bahkan kemudaratannya bersangatan.

Beliau menerangkan di antara beberapa sebab keburukan yang terjadi daripada keasyikkan itu, dengan katanya: “Bahawa kerosakkan segi keduniaan dan keakhiratan bagi orang-orang yang asyik mabuk dengan sesuatu itu (asyik percintaan lelaki dengan perempuan atau asyik mabuk dengan perkara maksiat) terlebih cepat daripada api menghanguskan kayu yang kering. Ini adalah kerana hati, setiap kali ia berdekatan dengan keasyikkan dan kuat perhubungan dengannya nescaya jauhlah ia daripada Allah. Sejauh-jauh hati daripada Allah adalah hati orang-orang yang asyik dengan sesuatu. Apabila hati itu jauh daripada Allah, maka datanglah kepadanya kerosakkan-kerosakkan dan Syaitan mengambil alih memerintah hati tersebut dari segenap segi serta dapat mengerasinya. Syaitan tidak akan membiarkan dengan memberi kemudharatan yang semungkin ia dapat berikan kepada hati itu melainkan ia akan lakukannya. Maka apakah lagi diandaikan pada hati yang telah dapat musuhnya menguasainya dan bersungguh-sungguh menyesatkan dan membinasakan makhluk Allah?? Apakah yang dapat diandaikan pada hati yang jauh daripada penjaganya (Allah) sedangkan tiada ada kebahagiaan, kejayaan & kegembiraan melainkan dengan menghampiriNya serta di dalam penjagaanNya??
Disebabkan keasyikkan inilah, mereka sanggup merelakan & melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Syariat sepertimana keasyikkan cinta Zulaikha yang mendalam terhadap Nabi Yusuf, membuat ia bertindak di luar batasan.

Firman Allah Ta'ala, bermaksud: “Zulaikha memujuk-mujuk Yusuf untuk melakukan perbuatan sumbang ketika mana Yusuf di dalam biliknya (Zulaikha) & ia mengunci pintu biliknya itu, seterusnya berkata kepada Yusuf: “Kemarilah padaku…”(Yusuf:23). Ini adalah disebabkan keasyikkan cintanya yang mendalam terhadap Nabi Yusuf. Firman-Nya Ta'ala yang menceritakan perbualan perempuan-perempuan di Bandar Mesir terhadap Zulaikha, bermaksud: “…Sesungguhnya Zulaikha itu terlalu asyik mencintai hambanya (Yusuf)…”(Yusuf:30).

BAHAYA PERCAMPURAN DAN HIJAB PENGASINGAN

Bertitik mulai daripada ‘percampuran lelaki dengan perempuan’ itulah yang membawa kepada muqadimah-muqadimah zina yang lain seperti melihat, membuat hubungan, bersentuhan dan lain-lain serta boleh membawa kearah penzinaan itu sendiri. Kerana inilah, Allah Taala melarang hambaNya daripada pencampuran antara lelaki dengan perempuan melalui penurunan ‘Ayat Hijab’.

Firman-Nya, bererti: “ Apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka itu (isteri-isteri Nabi), maka pintalah kepada mereka melalui belakang tabir (penghadang). Demikian itu, terlebih membaiki & membersihkan hati kamu & hati mereka (isteri-isteri Nabi).” (Al-Ahzab:53).

Imam Qurtubi berkata: “Allah Taala menghendaki dengan ayat ini bahawa (meminta melalui belakang tabir) terlebih membersihkan hati daripada segala lintasan yang tidak baik, yang mendatangi bagi kaum lelaki pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum wanita & yang mendatangi bagi kaum wanita pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum lelaki. Yakni, demikian itu terlebih menafi & menjauhkan daripada tomahan serta terlebih teguh pada kawalan (daripada berlaku perkara yang ditegah)…”

Ayat Hijab bersifat umum

Ayat Hijab ini umum hukumnya bagi sekalian Muslimat, bukan hanya untuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Ini kerana, apabila golongan sebaik-baik umat iaitu para sahabat & isteri-isteri baginda disyarakan hijab penghadang antara mereka maka umat yang terkemudian, yang mana kemungkaran berleluasan terlebih utama lagi dengan hukum ini. Lebih-lebih lagi, telah diyakini dengan secara umum bahawa berlakunya muqadimah zina & seterusnya penzinaan, apabila tiada mengasingkan antara lelaki dengan perempuan seperti yang berlaku di insitusi-insitusi pengajian.

Imam Qurtubi menjelaskan bahawa ayat Hijab ini umum hukumnya, dengan katanya: “Pada ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Taala membenarkan meminta kepada isteri-isteri Nabi s.a.w disebalik tabir, apabila terdapat sesuatu hajat atau pun masalah agama yang diminta fatwa daripada isteri-isteri baginda. Termasuklah sekalian perempuan (tidak hanya isteri-isteri Nabi) dalam hukum sedemikian dengan pergertian yang difahami daripada ayat tersebut&juga dengan apa yang terdapat di dalamnya asas-asas syariat iaitu dari segi diri wanita itu adalah aurat, sama ada badannya&suaranya (di sisi mazhab Syafie: suaranya aurat jika seseorang lelaki terasa enak apabila mendengarnya)…”

Sokongan bahawa Ayat Hijab bersifat umum

Sebagai menguatkan bahawa ayat Hijab ini bersifat umum, terdapat di antara beberapa riwayat hadis tentang sebab turunnya ayat ini, riwayat yang menunjukkan bahawa pencampuran itu membawa kepada perkara-perkara yang tidak elok. Hadis yang dikeluarkan oleh Nasaie daripada Mujahid seterusnya daripada Aisyah, yang bererti: “Adalah aku makan ‘Haisan’(bubur yang dibuat daripada tamar,minyak sapi&gandum) bersama Nabi s.a.w di dalam satu mangkuk maka Umar melewati kami lalu baginda menjemputnya & ia pun makan bersama. Kemudian, tersentuh tangan Umar dengan tanganku lantas ia berkata: “Bagus-bagus!!” atau “Wah-wah!!”(nada tidak menyukai). Umar menambah lagi: “Jika diikutkan kehendakku terhadap isteri-isteri Nabi ini, aku harap mereka tidak dilihat oleh mata manusia, lalu diturunkan ayat Hijab.”

Nabi saw memandang serius tentang percampuran

Nabi s.a.w mengambil perhatian serius dan memberi penekanan yang berat terhadap percampuran tersebut sehinggakan kelibat kaum Hawa ini pun, baginda tidak membenarkannya. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih Bukhari daripada sanadnya yang berhubung kepada Az-Zuhri daripada Hindun Bt. Haris seterusnya daripada Ummu Salamah radhiyallah -anha, berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila memberi salam (di dalam solat), lalu kaum perempuan bangun berdiri ketika telah selesai salam baginda. Baginda tetap sejenak di tempat duduknya sebelum bangun berdiri. Kata Perawi (Az-Zuhri): “Kami berpendapat (wallahu ‘aklam) perbuatan Nabi tersebut supaya kaum wanita beredar sebelum dapat dilihat oleh seorang pun daripada kaum lelaki.” (Sahih Bukhari: bab solat kaum wanita di belakang kaum lelaki)

AZAB DAHSYAT BAGI PEREMPUAN YANG TIDAK MENUTUP AURAT DAN BERPAKAIAN MENJOLOK MATA

Wahai kaum perempuan yang tidak menutup aurat atau berpakaian seluar dan baju ketat @ singkat yang boleh membangkitkan nafsu lelaki! takutilah kamu azab sengsara yang Allah Taala sediakan di akhirat kelak. Janganlah dituruti cara berpakaian perempuan kafir dan artis-artis yang fasik.

Ambillah iktibar dengan perkhabaran Junjungan Besar Nabi kita saw yang menceritakan kepada Saidina Ali tentang perempuan yang diazabkan ketika malam ‘Isra’ & Mikraj’, maksudnya: “Wahai Ali! Ketika malam diisra’kan daku ke langit, aku melihat perempuan daripada kalangan umatku yang diazabkan dengan berbagai-bagai azab maka aku menangis takala melihat bersangat azab mereka itu. Aku melihat perempuan yang digantung dengan rambutnya hingga mengelegak otaknya…” Kemudian Saidatina Fatimah menanyakan sebab diazabkan sedemikian, Nabi menerangkan, maksudnya: “Wahai anak kesayanganku! Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu disebabkan dia (di dunia dahulu), tidak menutup rambutnya daripada kaum lelaki….”(Azzawajir, m/s 67)

Nabi saw menceritakan di antara sifat @ kelakuan salah satu daripada empat golongan perempuan yang menjadi ahli neraka, bermaksud: “…Seseorang perempuan yang tidak menutup aurat dirinya daripada lelaki (ajnabi) dan dia keluar daripada rumahnya dengan ‘Tabaruj’(menzahirkan keelokan/berhias-hias untuk menarik pandangan/keinginan/perhatian kaum lelaki)..”(Azzawajir Ibnu Hajar Al-Haitami, m/s 66)

Sabdanya lagi, bermaksud: “Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi masih bertelanjang (tidak menutup aurat dengan sempurna), yang menjadikan dirinya sebagai contoh ikutan terhadap perbuatan keji mereka (membuka aurat), yang menyimpang daripada ketaatan terhadap Allah (tidak menunaikan kewajipan ke atas mereka), rambut kepala mereka seperti ungguh unta Khurasan, mereka tidak akan masuk surga dan tidak dapat mencium baunya (surga).” (Riwayat Muslim: Kitab Al-Libas, bab an-nisa al-kasiyat al-‘aariyaat)

Jangan terlampau bebas keluar & menzahirkan diri di khalayak lelaki

Kebebasan seseorang perempuan dari sudut syariat Islam adalah terbatas, tidak seperti lelaki. Mereka tidak digalakkan bebas keluar rumah dengan menzahirkan diri di khayalak ramai. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Ta'ala dalam Surah Al-Ahzab:33, bermaksud: “ Hendaklah mereka (perempuan) tetap di dalam rumah mereka dan janganlah bertabarruj sebagaimana bertabarruj perempuan-perempuan jahiliah yang dahulu.”

Makna ‘Tabarruj’ ialah menzahirkan keelokkan/perhiasan/berhias-hias/menarik perhatian kepada lelaki ajnabi (asing yang bukan mahram). Mujahid, murid Ibnu Abbas, berpendapat bahawa perempuan-perempuan berjalan mundar-mandir bersama-sama dalam khalayak kaum lelaki maka itulah dinamakan ‘Tabarruj’.

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani, bermaksud: “Tidaklah Perempuan berhak keluar dari rumahnya melainkan terpaksa (perkara yang mustahak/tidak dapat tiada) dan tidaklah mereka berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepi jalan sahaja.”

Tersebut dalam kitab Azzawajir bagi Ibnu Hajar Al-Haitami, Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka apabila ia keluar daripada rumahnya, nescaya syaitan mendongak melihat kepadanya. Terlebih menghampiri diri seseorang perempuan kepada Allah Taala ialah apabila ia berada di dalam rumahnya.”

Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka kamu tahanlah mereka di dalam rumah-rumah…. .(dalam kitab Azzawajir :m/s 66)

Saidina Ali berkata: “Adakah kamu tidak malu?, adakah kamu tidak cemburu? Seseorang daripada kalangan kamu membiarkan isterinya keluar di khalayak lelaki. Isterinya melihat mereka. Mereka melihatnya.”

Saidina Ali bertanya kepada isterinya, Fatimah: “Apakah sesuatu yang terbaik bagi seseorang perempuan?Fatimah menjawab: “ Bahawa dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak dapat melihatnya.” .(dalam kitab Azzawajir: m/s 66)

AKHIR KALAM

Lantaran itu, kembalilah! ke arah Tuhan Rabul ‘izzah, Tuhan semesta alam, yang mencipta serta mentadbirkan kita dengan sifat Rahman-Nya, dengan membaiki segala kesilapan, kealpaan dan kegelinciran kita yang tersimpang jauh daripada landasan Syariat-Nya. Hendaklah kita berpegang teguh dengan syariat Allah Ta'ala, walau apa jua keadaan sekalipun.

WALLAHU’ALAM….

Disusun oleh:-


Nik Mohd Nazimuddin Bin Nik Ibrahim Bin Nik Yaacob Bin Nik Yusuf (Imam Masjid Langgar) Bin Wan Abd. Rahman Bin Wan Taib Bin Wan Mohd Said Bin Wan Abd. Salam Bin Wan Su Bin Wan Abu Bakar Bin Tok Kaya Pandik Wan Ismail Bin Faqih @ Andik @ Ne’ @ Nik Ali (Mufti Kerajaan Islam Patani Darussalam&pengarang kitab Tarikh Patani) Bin Wan Muhammad (Orang Kaya Seri Akar Maha Puteri Bagi Sultan Ismail Zhilullah Fil Alam) Bin Dato’ Seri Raja Faqih (Syeikhul Islam) Syeikh Shafiyyuddin (Pendakwah dari Pasai yg datang ke Patani Darussalam sekitar tahun 1400M)

SUMBER

Friday, September 24, 2010

Salawat Syifa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala pujian tertentu bagi Allah Ta'ala, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluarganya dan para sahabatnya.

Disebabkan mengingkari pembelajaran ilmu Tauhid Salaf yang digariskan oleh Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, membawa kepada seseorang itu membuat tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas. Akidah Ahli Sunnah adalah akidah yang diselaraskan oleh Imam Asy’ari dan Imam Maturidi supaya bertepatan dengan akidah golongan salaf. Segala andaian yang menyalahi dengan apa yang dinyatakan oleh ulama Ahli Sunnah, maka tidak boleh dipegangi dan tidak dihiraukan.

Dibolehkan dalam mazhab Ahli Sunnah,seseorang berkata: ”Nasi mengenyangkan, api menghanguskan rumah, ubat panadol menyembuhkan sakit kepala, pisau melukakan tangan, doktor itu merawat dan menyembuhkan penyakitku dan sebagainya.” Ini adalah kerana, percakapan tersebut adalah dinamakan percakapan Majaz ‘Aqliy dalam ilmu bahasa Arab. Majaz ‘Aqliy ialah menyandarkan perbuatan dan sebagainya kepada selain pembuatnya. Contoh Majaz ‘Aqliy (Majaz yang dinisbahkan kepada aqal) yang terdapat dalam kitab-kitab ilmu Bayan (iaitu salah satu ilmu bahasa Arab) ialah : الربيع البقل أنبت yang bererti, ’Musim bunga telah menumbuhkan sayur-sayuran.’ Sedangkan pada hakikat sebenar, Allah Ta'ala yang menumbuhkannya.

Majaz tersebut adalah sebagaimana yang terdapat di dalam bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran dan Hadis.

Tiada menjadi kesalahan dan tiada pula membawa kepada kufur bagi orang yang berlafaz sedemikian, melainkan ia mengiktiqad bahawa segala perkara tersebut yang memberi kesan pada hakikat sebenar, bukannya Allah Ta'ala.

Apabila telah memahami perkara ini,maka Salawat Syifa yang cuba dipertikaikan oleh mereka yang cetek ilmu Tauhidnya adalah tidak boleh diterima sama sekali. Salawat ini telah masyhur dibaca, yang berbunyi:

اللهم صل على سيدنا محمد طب القلوب ودوائها وعافية الأبدان وشفائها ونور الأبصار وضيائها وعلى اله وصحبه وبارك وسلم

Bererti: ”Ya Allah!rahmatkanlah ke atas penghulu kami, Muhammad, penawar hati yang berkesan dan pengubatnya, penyihat badan yang mujarab dan penyembuhnya, petunjuk yang bersangatan menerangi pandangan pemikiran dan mencerahkannya, demikian jua, ke atas ahli keluargannya dan para sahabatnya serta berkati dan sejahterakanlah.”

Terjemahan

Terjemahan dengan ‘berkesan,‘mujarab’dan ‘bersangatan’ di atas, kerana kalimah

طب, دواء, عافية, شفاء, ضياء, نور itu ialah kalimah ism masdar ataupun masdar(iaitu kata terbitan). Apabila dijadikan sifat, membawa erti Mubalaghah(bersangatan). Sungguhpun begitu, tidak semestinya membawa maksud Mubalaghah sahaja. Dibolehkan juga makna selain daripadanya seperti ditakwilkan dengan ذو طب atau طبيب yang bererti ‘yang mengubati(taqdir mudhaf) atau penawar/pengubat’(ism fail/kata pembuat) yang tidak membawa makna bersangatan.(lihat kitab ‘Ibnu ‘Aqil,kitab ilmu tata bahasa Arab, bab:sifat)

Kalimah الأبصار dari sudut bahasa Arab (lihat kamus AlMuhith) ialah kalimah jamak bagi البصر yang bererti deria mata ataupun pandangan pemikiran.

Makna kalimah ini yang terlebih tepat diterjemahkan bagi Salawat Syifa adalah

‘pandangan pemikiran’.Ini adalah kerana, jumlah ayat yang sebelumnya,iaitu

وعافية الأبدان وشفائها طب القلوب ودوائها yang bererti ’penawar hati dan pengubatnya,

penyihat badan dan penyembuhnya’, memberi maksud bahawa ajaran, syariat atau Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w memberi kesihatan rohani (hati)dan jasmani. Oleh itu, deria mata adalah terdiri daripada salah satu anggota badan, maka perlu diterjemahkan kalimah الأبصار tersebut dengan makna yang lain, iaitu ‘pandangan pemikiran’.

Timbul satu persoalan, kenapakah pula diri Nabi s.a.w yang jadi pengubat atau penyihat bagi rohani dan jasmani, sedangkan syariat, ajaran atau Al-Quran yang dimaksudkan sebagai pengubat? Menjawab persoalan ini, apabila Nabi Muhammad sebagai utusan Allah Ta'ala yang dilengkapi bersamanya Al-Quran dan ajaran-ajaran syariat maka diri tubuh badannya adalah sebagai penterjemah kepada Al-Quran dan penafsir bagi syariat. Ini terbukti di mana segala tingkah laku perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad adalah akhlak Al-Quran yang dijadikan sebagai contoh-tauladan.

Justeru diri Nabi adalah seumpama Syariat, lalu disandarkan diri Baginda sebagai penawar dan penyembuh bagi rohani dan jasmani. Sebagaimana juga disandarkan perbuatan jahat yang sentiasa dan sebati dilakukan oleh anak Nabi Nuh kepada tubuh badan dirinya sendiri dalam surah Hud:ayat 46: انه عمل غير صالح ertinya: “Sesungguhnya dia (anak Nuh) adalah perbuatan yang tidak baik”

Abu Ali berkata: ”Diharuskan(pada tafsiran) bahawa anak Nuh itu sendiri ialah diri perbuatan yang tidak elok, sebagaimana dikatakan kepada orang yang melakukan sesuatu perkara, bahawa ia adalah diri perkara itu. Ini kerana, berulangkali dan sentiasa perbuatan itu dilakukannya.(lihat Futuhat Ilahiyah Hasyiah Tafsir Jalalain)

Lafaz Mubalaghah(bersangatan)

Walau apa jua makna yang diterjemahkan samada membawa erti mubalaghah ataupun tidak, ianya tidak menjadi satu kesalahan pada aqidah kerana termasuk dalam pengunaan Majaz Aqliy yang telah dinyatakan diatas.

Bandingannya seperti seseorang yang berkata: ”Panadol sangat mujarrab pada menyembuhkan sakit kepala dan seumpamanya”. Penggunaan lafaz-lafaz mubalaghah (bersangatan)yang berbagai-bagai, banyak sekali terdapat dalam percakapan bahasa Arab yang ditujukan kepada selain daripada Allah Ta'ala.

Antara lafaz-lafaz mubalaghah yang disifatkan kepada selain daripada Allah Ta'ala, ialah:-

1)لقد جآءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤف رحيم

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu,seorang Rasul(Nabi Muhammad)dari kalangan bangsa kamu sendiri(bangsa Arab),terasa berat ditangunginya dengan sebab kesusahan yang kamu alami,sangat menginginkan (keimanan) bagi kamu,lagi amat belas kasihan dan amat penyayang terhadap orang mukmin.” (At-Taubah:128)

Ulasan:

Allah Ta'ala sendiri yang mensifatkan Nabi s.a.w dengan sifat-sifatNya yang mubalaghah iaitu ‘Rauuf’ dan ‘Rahim’. Kalimah tersebut adalah terdiri daripada lafaz-lafaz mubalaghah setimbang dengan timbangan mubalagah iaitu فعول dan فعيل .

Tersebut dalam kitab Futuhat Ilahiyah Hasyiah Jalalain, Hasan Bin Mufadhal berkata: “Allah Ta'ala tidak pernah menghimpun dua nama daripada nama-nama-Nya kepada seorang pun daripada para nabi-Nya melainkan hanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dia menamakan baginda dengan ‘Rauufu’ ‘Rahim’.Firman-Nya (yang menunjuk bahawa kedua-dua nama itu adalah nama Allah): ان الله بالناس لرؤف رحيم Ertinya: “Sesungguhnya Allah itu ialah Tuhan Yang Amat Belas Kasihan dan Amat Penyayang terhadap manusia.”

2)Telah ijmak Ulama Muslimin bahawa diharuskan mensifatkan para Ulama dengan kalimah ‘Allamah’ (العلامة) yang bererti ‘yang sangat alim’.Kalimah ini adalah setimbang dengan timbangan mubalagah iaitu علام .Huruf ‘Ta’ pula ditambah untuk menguatkan lagi mubalagah( لتوكيد المبالغة) .Demikian juga, Allah Taala mensifatkan diriNya dengan kalimah ini.FirmanNya: وأن الله علام الغيوب Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu adalah Yang Amat Mengetahui perkara ghaib.” (At-Taubah:78)

3)Diketahui umum bahawa الجبار yang bererti ‘Yang Amat Mengerasi’ adalah salah satu sifat Allah Ta'ala.Firman-Nya:الملك القدوس السلام المؤمن المهيمن العزيز الجبارالمتكبر

Bererti: “Tuhan Yang Memerintah,Yang Maha Suci, Yang Sejahtera,Yang Memerhati makhlukNya, Yang Amat Perkasa, Yang Amat Mengerasi dengan apa yang dihendakiNya dan Yang Membesarkan Diri.”(Al-Hasyr:23)

Akan tetapi di tempat yang lain, Allah sendiri mensifatkan kaum ‘Aad dengan lafaz Mubalaghah ini.FirmanNya: واتبعوا أمر كل جبار عنيد Maksudnya: ”Mereka (kaum ‘Aad) mengikuti suruhan setiap ketua-ketua mereka yang amat takabur lagi mengerasi dan degil.” (Hud:59)

4)’Al-Karim’(الكريم) adalah nama Allah daripada lafaz mubalaghah yang setimbang dengan timbangan mubalagah iaitu فعيل .Allah berfirman:

يا أيها الانسان ما غرك بربك الكريم

Bermaksud: ”Wahai manusia!Apakah sesuatu yang memperdayakan engkau pada menderhakai Tuhan engkau yang Amat Pemurah.”(Al-Infithar:6)

Allah Ta'ala juga mensifatkan Nabi s.a.w melalui firman-Nya dalam surah Al-Haaqah, ayat 40:انه لقول رسول كريم yang bererti: ”Sesungguhnya Al-Quran itu percakapan Rasul (Nabi Muhammad) yang Sangat Mulia.”

Dalam Kitab Futuhah Ilahiyah, Sheikh Sulaiman menghuraikan ayat ini: ”Yakni yang sangat mulia disisi Allah, maka Rasul tersebut pada sehabis-habis (bersangatan) mulia غاية الكرم ) ) yang terhindar jauh daripada akhlak-akhlak yang keji. Dialah Nabi Muhammad s.a.w.”

#Perbuatan Allah Taala mensifatkan Nabi s.a.w dengan ‘Karim’ di dalam surah ini dan juga dengan ‘Rauufur-Rahim’ di dalam surah Attaubah seperti yang telah lalu, menjadi dalil harusnya memuji baginda s.a.w dengan cara berlebih-lebihan.Pujian melampau yang menjadi kesalahan ialah apabila meletakkannya sebagai tuhan atau anak tuhan ataupun menganggapnya setaraf dengan tuhan sebagaimana iktiqad golongan Yahudi dan Nasrani.

Penggunaan Majaz tersebut dalam Al-Quran dan Hadith

Terdapat beberapa tempat dalam Quran dan Hadis yang mensabitkan‘penyembuh’ atau ‘penawar’ sepertimana yang digaya bahasakan pada Salawat Syifa tersebut. Diantaranya:-

1)(Surah Annahl :ayat 69) يخرج من بطونها شراب مختلف ألوانه فيه شفاء للناس

Bermaksud:”Keluar daripada perut lebah,madu yang berbagai warnanya. Adalah padanya(madu) itu ‘Penawar’ yang menyembuhkan untuk manusia.”

2)Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari,daripada Aisyah radhiallahuanha,berkata:

“Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda:

ان هذه الحبة السوداء شفاء من كل داء الا من السام قلت: وما السام؟ قال الموت

Ertinya: ”Sesungguhnya ‘Habbatul Sauda’ini adalah penawar yang menyembuhkan segala penyakit melainkan Assama.Aku bertanya:Apakah Assama itu?Baginda menjawab: Assama itu ialah mati.”(Sahih Bukhari :kitab Attib)

3)Hadith Sahih Bukhari dalam bab Attib(perubatan) daripada ‘Asim bin Umar bin Qatadah menceritakan bahawa Jabir bin Abdullah radiallahuanh menziarahi Muqanna’(salah seorang tabien) yang sedang sakit.Jabir berkata:

لا أبرح حتى تحتجم فاني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ان فيه شفاء

Ertinya: ”Aku tidak akan keluar sehinggakan engkau berbekam kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bahawa pada berbekam itu penyembuh yang menyembuhkan.”

Begitu juga dinisbahkan kemudharatan kepada benda yang selain daripada Allah Ta'ala,yang mana pada hakikatnya hanyalah Dia yang memberi kemudharatan.

Antaranya:-

Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud,daripada Abi Hurairah berkata:”daripada Nabi s.a.w bersabda: العين حق Ertinya: ”Penyakit ‘Ain’ adalah benar.”

Penyakit ‘Ain ialah satu penyakit yang terjadi apabila seseorang yang berasa kagum dengan orang lain,lalu dia memujinya.Ini boleh membawa kemudharatan kepada orang yang dipuji.Boleh juga diertikan penyakit ini dengan perbuatan sihir dengan kekuatan mata untuk memudharatkan orang yang ditumpukan penglihatan kepadanya.

Muhammad Syamsul Haq menerangkan maksud hadis ini dalam kitab ‘Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, bab perubatan dengan katanya:”Kesan penyakit ‘Ain(pada memudharatkan) adalah benar.”

AlHafiz Ibnu Hajar menyatakan dalam kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari: “AlBazzar mengeluarkan hadis Jabir dengan sanad yang elok daripada Nabi s.a.w bersabda: أكثر من يموت من أمتي بعد قضاء الله وقدره بالأنفس قال الراوي يعني العين

Ertinya: ”Kebanyakkan mereka yang meninggal dari kalangan umatku selepas daripada qada dan qadar Allah adalah disebabkan ‘AlAnfus’. ”Perawi berkata: ”Dimaksudkan dengan AlAnfus itu ialah penyakit ‘Ain.”

Imam Nawawi menerangkan: ”Pada hadith ini,mensabitkan qadar Allah Ta'ala dan benarnya penyakit ‘Ain.Sesungguhnya penyakit ‘Ain ini memberi kemudharatan yang kuat (قوية الضَرر) .”

Amat menghairankan kepada mereka yang mendakwa-dakwa bahawa mereka berpandukan Alquran dan Hadis,akan tetapi dalam masa yang sama mereka mengenepikan kedua-duanya.Ini ternyata pada pengunaan Majaz yang telah kami paparkan sebahagiannya dalam Quran dan Hadis.Begitu juga dengan penggunaan lafaz-lafaz Mubalagah di dalam bahasa Arab,ianya sangat maklum diketahui oleh mereka yang mempelajarinya.Lantaran itu,hendaklah kita menjauhkan diri daripada membidaah, memfasik dan mengkufurkan orang lain dengan secara batil. Berpeganglah kepada dasar-dasar Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.Janganlah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang ekstrim, sesat dan menyesatkan.

Wallahu a'lam…….

Penyusun:Nik Mohd Nazimuddin b.Nik Ibrahim

Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,Kota Baharu,Kelantan Serambi Mekah.

Ahad 8 zulqa’dah 1428H Bersamaan 18 Nov 2007M

SUMBER

Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfitri

بسم الله الرحمن الرحيم

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (bilangan puasa Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah Ta’ala atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Dari A’isyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Hari Raya (Aidil) Fitri adalah hari orang-orang berbuka dan Hari Raya (Aidil) Adha adalah hari orang-orang berqurban." (Riwayat Tirmizi)

Segala puji bagi Allah Ta’ala yang bersifat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim akan hamba-Nya. Dia juga Yang Menciptakan alam tanpa ada sekutu dan penolong baginya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Bin Abdullah s.a.w, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabat Baginda yang lain.

Sudah cukup sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubaarak bagi tahun 1431 Hijriyah. Kini sudah tiba waktunya untuk umat Islam meraikan hari kemenangan.

Masuknya kita ke bulan Syawal bukan bererti kita boleh bebas melakukan perkara yang telah dilarang. Sebaliknya, ia perlu disusuli dengan amalan-amalan yang telah dianjurkan oleh Islam. Jika dalam sebulan (di bulan Ramadhan) kita mampu melakukan ibadah-ibadah sunat, bahkan ‘berlumba-lumba’ untuk melaksanakannya maka mengapa kita tidak menjadikan ia sebagai amalan di bulan-bulan yang lain.

Bulan Ramadhan sebagai ‘madrasah’ atau waktu berkursus untuk menjinakkan hawa nafsu yang telah lama meliar dalam diri manusia. Kesungguhan, semangat, dan istiqamah beribadat dalam bulan Ramadhan harus dikekalkan ke bulan-bulan yang berikutnya kerana jika kita berjaya mengamal dan membawa ‘semangat’ dan kesungguhan beribadah itu, maka itulah keberkatan yang sebenarnya kita perolehi dari Ramadhan al-Mubaarak dan itulah yang kita harapkan daripada ‘kursus’ yang kita jalani selama sebulan.

Dalam merayakan Aidil Fitri, perlulah kita ingat akan batas-batas yang perlu dijaga. Yang haram tetap haram. Tiada kompromi sekalipun kita di bulan ‘perayaan’. Islam berbeza dengan agama lain termasuklah dalam cara meraikan sesuatu perayaan. Janganlah kerana ingin ‘membalas dendam’ akibat ‘terkongkong’ selama sebulan, apabila tiba syawal maka tidak diendah lagi akan halal haramnya.

Kita umat yang bermatlamat, berakhlak seharusnya berbeza dengan golongan kuffar dalam merayakan perayaan kita. Jika kita juga terlampau bebas dan meraikan perayaan dengan cara yang sama (dengan kafir), maka apa bezanya kita dengan mereka? Pelbagai aturan telah disusun untuk kita beraya. Bermula pagi, solat Subuh, kemudian bertakbir, selepas itu solat sunat hari raya diikuti dengan dua khutbah sunat (serta diiringi bersama-samanya beberapa amalan sunat yang lain) maka ia terkandung satu disiplin hidup yang amat kompleks dan teratur. Sangat teratur.

Justeru, marilah kita terus meningkatkan ibadah dan ketaqwaan kita kepada Allah Ta’la kerana matlamat utama kita ialah akhirat. Di kesempatan ini juga, saya dan keluarga ingin memohon kemaafan atas segala salah dan khilaf yang pernah dilakukan oleh kami sekeluarga sama ada senghaja mahupun tidak. Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara. Salam Aidilfitri.

Mohammad Zaki Yahpar Yahya,
No. 23 Kg. Telok kemang,
Sg. Mati 84400,
Ledang,
Johor Darul Takzim.

Monday, September 6, 2010

WANITA DI JANTUNG HATI RASULULLAH S.A.W - (BAHAGIAN 5)

5. Khadijah Menawarkan Diri

Muhammad Al-Amiin muncul di rumah Khadijah. Wanita usahawan itu berkata: “Hai Al-Amiin, katakanlah apa keperluanmu!” Suaranya ramah, bernada dermawan. Dengan sikap merendahkan diri tapi tahu harga dirinya, Muhammad SAW berbicara lurus, terus terang, meskipun agak malu-malu tetapi pasti. Katanya: “Kami sekeluarga memerlukan nafkah dari bahagianku dalam rombongan niaga. Keluarga kami amat memerlukannya untuk mencarikan jodoh bagi anak saudaranya yang yatim piatu”. Kepalanya tertunduk, dan wanita hartawan itu memandangnya dengan penuh ketakjuban. “Oh, itukah….! Muhammad, upah itu sedikit, tidak menghasilkan apa-apa bagimu untuk menutupi keperluan yang engkau maksudkan,” kata Khadijah r.a. “Tetapi biarlah, nanti saya sendiri yang mencarikan calon isteri bagimu”. Ia berhenti sejenak, meneliti. Kemudian meneruskan dengan tekanan suara memikat dan mengandung isyarat: “Aku hendak mengahwinkanmu dengan seorang wanita bangsawan Arab. Orangnya baik, kaya, diinginkan oleh banyak raja-raja dan pembesar-pembesar Arab dan asing, tetapi ditolaknya. Kepadanyalah aku hendak membawamu”. Khadijah tertunduk lalu melanjutkan: “Tetapi sayang, ada aibnya…! Dia dahulu sudah pernah bersuami. Kalau engkau mahu, maka dia akan menjadi pengkhidmat dan pengabdi kepadamu”.

Pemuda Al-Amiin tidak menjawab. Mereka sama-sama terdiam, sama-sama terpaku dalam pemikirannya masing-masing. Yang satu memerlukan jawapan, yang lainnya tak tahu apa yang mahu dijawab. Khadijah r.a tak dapat mengetahui apa yang terpendam di hati pemuda Bani Hasyim itu, pemuda yang terkenal dengan gelaran Al-Amiin (jujur). Pemuda Al-Amiin itupun mungkin belum mengetahui siapa kira-kira calon yang dimaksud oleh Khadijah r.a.

Baginda minta izin untuk pulang tanpa sesuatu keputusan yang ditinggalkan. Baginda menceritakan kepada Pamannya: “Aku merasa amat tersinggung oleh kata-kata Khadijah r.a. Seolah-olah dia memandang enteng dengan ucapannya ini dan itu “anu dan anu….” Baginda mengulangi apa yang dikatakan oleh perempuan kaya itu. ‘Atiqah juga marah mendengar berita itu. Dia seorang perempuan yang cepat naik darah kalau pihak yang dinilainya menyinggung kehormatan Bani Hasyim. Katanya: “Muhammad, kalau benar demikian, aku akan mendatanginya”.

Atiqah tiba di rumah Khadijah r.a dan terus menegurnya: “Khadijah, kalau kamu mempunyai harta kekayaan dan kebangsawan, maka kamipun memiliki kemuliaan dan kebangsawanan. Kenapa kamu menghina puteraku, anak saudaraku Muhammad?”

Khadijah r.a terkejut mendengarnya. Tak disangkanya bahawa kata-katanya itu akan dianggap penghinaan. Ia berdiri menyabarkan dan mendamaikan hati ‘Atiqah: “Siapakah yang sanggup menghina keturunanmu dan sukumu? Terus terang saja kukatakan kepadamu bahawa dirikulah yang kumaksudkan kepada Muhammad SAW. Kalau ia mahu, aku bersedia menikah dengannya; kalau tidak, aku pun berjanji tak akan bersuami hingga mati”.

Pernyataan jujur ikhlas dari Khadijah r.a membuat ‘Atiqah terdiam. Kedua wanita bangsawan itu sama-sama cerah. Percakapan menjadi serius. “Tapi Khadijah, apakah suara hatimu sudah diketahui oleh sepupumu Waraqah bin Naufal?” tanya ‘Atiqah sambil meneruskan: “Kalau belum cubalah meminta persetujuannya.” “Ia belum tahu, tapi katakanlah kepada saudaramu, Abu Talib, supaya mengadakan perjamuan sederhana. Jamuan minum, dimana sepupuku diundang, dan disitulah diadakan majlis lamaran”, Khadijah r.a berkata seolah-olah hendak mengatur siasat. Ia yakin Waraqah takkan keberatan kerana dialah yang menafsirkan mimpinya akan bersuamikan seorang Nabi akhir zaman.

Atiqah pulang dengan perasaan tenang, puas. Pucuk dicinta ulam tiba. Ia segera menyampaikan berita gembira itu kepada saudara-saudaranya: Abu Talib, Abu Lahab, Abbas dan Hamzah. Semua riang menyambut hasil pertemuan ‘Atiqah dengan Khadijah “Itu bagus sekali”, kata Abu Thalib, “tapi kita harus bermusyawarah dengan Muhammad SAW lebih dulu.”

Sunday, September 5, 2010

Haram Mengambil Zakat Pendapatan

Oleh: Ustaz Mohammad Elias Bin Abdul Jalil al-Malakawi

Mengambil zakat pendapatan adalah haram kerana tak perlu mengambilnya dengan sebab yang akan datang, lagipula menzalimi orang yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat pendapatan. Sekiranya orang yang makan gaji/berpendapatan tetap, ada simpanan duit yang sampai nisab, maka dia wajib zakat simpanan apabila sampai haul (cukup setahun) dan sekiranya dalam hitungan sampai nisab tetapi dalam simpanan tidak ada nisab dan terkadang orang ini tidak cukup gajinya/pendapatannya untuk perbelanjaan diri dan orang yang di bawah tanggungannya, maka orang yang mewajibkan zakat pendapatan itu telah menganiayanya dan menzaliminya

ولاتأكلوا أموالكم بينكم بالباطل

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah,” (Surah al-Baqarah : 188)

Perkara yang wajib zakat hanya lima perkara:

1. Binatang ternakan yang cukup nisab dan cukup tahun.
2. Emas dan perak yang cukup nisab dan cukup tahun (zakat simpanan). Duit simpanan wajib zakat kerana ia ganti emas. Zakat galian, dan rikaz yang sampai nisab keduanya.
3. Tanaman bijirin, yang cukup nisab.
4. Buah tamar dan anggur yang cukup nisab.
5. Harta perniagaan yang cukup nisab dan cukup tahun.

. والله اعلم