Tuesday, August 3, 2010

Kaffarah bunuh كفرة القتل

Oleh : Ustaz Mohammad Elias b Abdul Jalil

Saya tulis artikel ini, kerana ramai di kalangan masyarakat kita tidak mengetahui apabila berlaku kemalangan dan ada kematian dengan sebab kemalangan itu, bahawa wajib atas pemandu membayar kaffarah, selain daripada wajib membayar diyat.

Apabila sesaorang itu ada membunuh orang yang terpelihara darah, sama ada sengaja, tersalah (tidak sengaja) atau menyerupai senghaja maka wajib atas yang membunuh membayar kaffarah.

Orang yang terpelihara darah ialah sekalian orang Islam dan kafir yang diberi aman.

Orang yang yang tidak wajib kaffarah ialah:

Orang yang adil membunuh penderhaka di dalam peperangan, begitu juga penderhaka tidak wajib kaffarah.

Orang yang membunuh orang yang hendak membinasakanya.

Orang Islam yang membunuh orang yang murtad

Orang yang membunuh kafir harbi.

Kaffarah yang wajib di lakukan

1. Memerdeka seorang hamba yang Mukmin yang ketiadaan cacat yang mencederakan pada bekerja.

2. Sekiranya tiada hamba atau ada tetapi harganya lebih daripada harga semasa maka hendaklah orang yang membunuh yang masih hidup berpuasa dua bulan berturut-turut dengan diniatkan kafarah.

* Wajib ditentukan di dalam niat bahawa puasa itu untuk kaffarah, tidak mengapa jika didatangkan di dalam niat itu kaffarah sahaja dengan tidak mendatangkan kaffarah bunuh.

* Putus berturut-turut dengan berbuka sehari (tidak puasa sehari) sekalipun tidak berpuasa itu kerana uzur seperti sakit, kecuali uzur yang yang menafikan puasa (tak boleh puasa kerana tidak sah) seperti gila, haidh. dan nifas maka tidak putus berturut-turut apabila kedatangan uzur itu di tengah puasa.

3. Sekiranya yang membunuh atau menyebabkan kematian telah mati maka hendaklah ahli waris memerdekakan hamba maka harganya diambil daripada harta peninggalan mayat, sekiranya ketiadaan hamba atau ada tetapi harganya lebih daripada harga semasa maka wajib ahli waris mengeluarkan enam puluh cupak bagi setiap seorang yang dibunuh, dan hendaklah diberikan kepada fakir miskin.

Peringatan: enam puluh cupak yang dikeluarkan itu bukan kaffarah tetapi ganti bagi puasa yang tidak dapat dilakukan.

Jenis-jenis bunuh yang mewajibkan kaffarah

1. Bunuh dengan sengaja iaitu melakukan satu perkara yang menyebabkan kematian dengan sesuatu yang boleh membunuh pada kebiasaannya. Termasuk membunuh diri, menjadi saksi pendusta yang menyebabkan orang yang disaksikan itu dihukum bunuh, hakim yang menghukum bunuh kepada orang yang tidak dihukum bunuh di sisi syara’ seperti pengedar dadah, orang yang mengantung pengedar dadah dan sebagainya.

2. Bunuh dengan tersalah melakukan suatu perkara yang menyebabkan kematian dengan tersalah/tersilap, seperti:

* menembak perburuan terkena orang.

* pemandu kenderaan yang menyebabkan kematian, sama ada yang mati dirinya sendiri, penumpang atau orang lain yang terlibat dengan kemlangan itu, إن شاء الله perkara ini saya akan terang secara terperinci.

* tersalah memberi ubat yang menyebabkan kematian.

3. Bunuh menyerupai senghaja iaitu melakukan satu perkara yang tidak menyebabkan kematian pada kebiasaannya seperti memukul dengan rotan, memukul dengan tongkat yang ringan pada tempat yang tidak memyebabkan kematian seperti pukul pada kaki dan lainnya.

Bertempur/Kemalangan الإصطدام

Bertempur ada beberapa jenis kerana terkadang bertempur antara dua orang yang berjalan kaki, terkadang berkenderaan keduanya, terkadang yang satu berjalan kaki dan yang satu lagi berkenderaan.

Jenis kemalangan yang wajib kaffarah

1. Apabila bertempur dua orang yang berjalan kaki dan mati keduanya maka wajib atas keduanya, dua kaffarah. Satu kaffarah dirinya dan satu lagi kaffarah orang yang ditempuh.

2. Apabila bertempur dua orang dan mati salah seorang maka wajib kaffarah atas yang hidup satu kaffarah.

3. Apabila bertempur dua orang perempuan yang berjalan kaki dan dalam perut keduanya ada kandungan dan mati sekaliannya maka wajib setiap seorang perempuan itu empat kaffarah. Iaitu kaffarah diri masing masing, kaffarah orang yang ditempur, kaffarah anak yang ada di dalam perut masing masing dan kaffarah anak yang ada di dalam perut orang yang ditempuh.

4. Apabila bertempur dua kenderaan dan di dalamnya ada beberapa orang, seperti empat orang di dalam setiap kenderaan maka pemandu setiap kenderaan wajib atasnya lapan kaffarah. Iaitu satu kaffarah terbunuh diri masing-masing, tiga kaffarah terbunuh tiga penumpang yang ada di dalam kenderaan masing masing, satu kaffarah terbunuh pemandu yang kena tempur, tiga kaffarah terbunuh tiga penumpang yang berada di dalam kenderaan orang yang ditempuh.

Selain dari itu diqiaskan dengan apa yang telah tercatat.

Selain daripada kaffarah wajib membayar diyat, kerosakkan kenderaan dan kerosakkan barang yang dibawa. إن شاء الله saya akan tulis satu artikel khusus untuknya.

1 comment:

  1. Betulkan saya jika saya tersilap: bukankah kaffarah ini diwajibkan jika membunuh sesama muslim,(saya tak sure dalam surah apa, ada mengatakan sedemikian)..atau yang dimaksudkan disini termasuk juga jika yang terbunuh itu orang kafir? tolong jelaskan

    ReplyDelete