Thursday, August 26, 2010

Adakah Wajib (Solat) Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat?

Oleh : Ustaz Mohammad Elias Bin Abdul Jalil Al-Malakawi

Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka hadir ahli kampung yang jauh yang wajib Jumaat untuk sembahyang hari raya. Jikalau kembali mereka kepada keluarga mereka nescaya meraka akan luput Jumaat. Adakah mereka boleh kembali kepada keluarga mereka selepas sembahyang hari raya? Telah dijawab oleh ulama Syafie bahawa harus mereka itu kembali dan mereka itu boleh meninggalkan Jumaat.

Difaham dari kalam ulama itu bahawa orang yang boleh meninggalkan Jumaat pada hari itu ialah mereka yang duduk jauh yang mana jikalau kembali mereka selepas sembahyang sunat hari raya nescaya mereka tidak sempat datang semula ke tempat Jumaat. Pada asalnya mereka itu wajib Jumaat kerana mendengar seruan azan dari kampung yang wajib Jumaat.

Dengan itu sekarang di Malaysia, kita lihat tidak ada tempat yang keadaan seperti itu. kalau adapun mungkin di kawasan pendalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Di tempat lain kemudahan banyak sama ada mereka boleh kembali dengan kenderaan atau lainnya dan tempat dikerjakan sembahyang Jumaat (adalah) dekat.

Syarat boleh meninggalkan Jumaat pada masalah ini:

1. Hendaklah mereka itu bersembahyang hari raya di tempat Jumaat. Jika mereka mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang tidak di buat Jumaat seperti surau atau lainnya maka wajib mereka datang ke tempat Jumaat untuk sembahyang Jumaat.

2. Kesukaran kembali ke tempat Jumaat sehingga jika mereka kembali dan datang semula meluputkan Jumaat. Jika mudah kembali ke tempat Jumaat, maka wajib mereka itu mengerjakan sembahyang Jumaat.

3. Mereka itu telah kembali sebelum masuk waktu Jumaat. Sekiranya mereka masih berada di kampung yang dibuat Jumaat, maka wajib mereka mengerjakan sembahyang Jumaat.

4. Hadir mereka itu ke tempat Jumaat untuk sembahyang hari raya. Jika hadir mereka ke tempat Jumaat bukan kerana sembahyang hari raya tetapi kerana membeli barang atau lainnya, maka wajib Jumaat ke atas mereka itu sekalipun mereka sudah kembali ke tempat mereka.

Wallahua'lam.

3 comments:

  1. boleh tolong huraikan ungkapan di wall saudara ini dengan lebih jelas, apa yang dimaksudkan dengan "Jikalau kembali mereka kepada keluarga mereka nescaya meraka akan luput Jumaat. Adakah mereka boleh kembali kepada keluarga mereka selepas sembahyang hari raya? "

    ReplyDelete
  2. Maksud "jikalau kembali mereka kepada keluarga mereka nescaya mereka akan luput Jumaat" ialah mereka tidak akan sempat untuk menunaikan sembahyang Jumaat jika kembali kepada keluarga mereka (disebabkan kedudukan yang jauh atau tiada kenderaan). Wallahua'lam.

    ReplyDelete