Wednesday, August 11, 2010

44 Tahun Kepergian Sayyid Qutb

Oleh: Abdul Shukur Harun (shukurharun@yahoo.com)

Penghujung Ogos ini genaplah 44 tahun kepergian Mujahid agung, Al-Syahid Sayyid Qutb. Oleh itu marilah kita mengingati kembali sumbangan dan pengorbanannya terhadap Islam, merenung buah fikiran di renungnya dan dijadikan petunjuk sepanjang jalan bagi para Pejuang sehingga kini.

Pada pagi Isnin 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb, Pemimpin dan Pemikir Ikhwanul Muslimin itu telah digantung hingga mati oleh rejim Gamal Abd Nasir di penjara Mesir bersama-sama sahabat perjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul Fatah Ismail. Namun ada sepotong kata-kata Mujahid agung ini yang sangat mengesankan diucapkannya beberapa ketika sebelum digantung.

Pegawai penjara yang bengis memberitahunya: “Sayyid Qutb, sebelum kamu digantung, ucapkanlah dua kalimah syahadahmu.”

Sayyid Qutb segera menjawab, “Aku bukan sahaja telah mengucapkan dua kalimah syahadah itu, malah aku telah melaksanakan tuntutannya.”

Selepas itu tali gantung pun menjerut lehernya, syahidlah Sayyid Qutb. Berita ini mengejutkan dunia Islam, jutaan umat menitiskan air mata kerana kepergiannya.

Kini 44 tahun telah berlalu, namun pemikiran Sayyid Qutb terus diingat da ditelaah habis-habisnya, terutama karya yang ditulisnya di dalam penjara, Tafsir fi Zilal al-Quran. Juga karyanya yang lain - Al-Mustaqbal li hadha al-Din, Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiyy, Mu’alim fi al-Tariq, Ya Arabi, dan banyak lagi.
Sesetengah karyanya itu telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Malah pemikiran Mujahid agung ini mengalir ke pelbagai belahan dunia, sampai ke Nusantara ini.

Bukunya, terutama Mu’alim fi al-Tariq menjadi rujukan dalam usrah baik pendukung PAS mahupun ABIM di Malaysia, bahkan ditelaah di Indonesia. Sejak lama dahulu kami menekuni pemikiran Sayyid Qutb ini dengan penuh minat kerana pegangan tauhidnya yang luar biasa.


Mujahid agung ini melihat hancurnya sifat insaniah apabila beliau melawat dunia Barat, Amerika dan tinggal di sana selama tiga tahun. Sayyid Qutb telah melihat peradaban Barat yang runtuh dan kehilangan makna manusiawinya dan inilah yang amat dikhuatiri olehnya apabila fenomena seperti ini melanda umat Islam di seluruh dunia.

Ternyata kebimbangan Sayyid Qutb itu ada benarnya apabila melihat umat Islam kini kehilangan izzah jati dirinya, terpinggir, malah menjadi bahan kajian bukan kerana kehebatannya masa lalu, tetapi ia menjadi fenomena yang sukar difahami dan menakutkan disebabkan umat Islam sendiri semakin berjauhan dengan nilai Islam atas kepentingan mereka.

Sayyid Qutb mula berkembang sebagai sasterawan dan kemudian menjadi pemikir Islam yang agung. Oleh itu ciri-ciri sebagai sasterawan dengan bahasa sastera yang sangat merdu menyebabkan Tafsir fi Zilal al-Quran begitu hidup dan mengesankan. Tafsirnya itu berbeza dengan tafsir yang lain, justeru ia membawa pembaca kepada gerak kerja harakah Islam.

Saya sangat terkesan dengan muqadimahnya dalam kitab Tafsir fi Zilal al-Quran itu apabila Sayyid Qutb menulis: “Hidup di bawah bayangan Al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak mungkin dapat diketahui melainkan bagi mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang luhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.”

“Aku hidup dengan bayangan AL-Quran seolah-olah aku mendengar Allah Ta’ala berkata-kata kepadaku melalui Al-Quran ini. Dia berkata dengan seorang hamba yang amat kerdil. Manakah penghormatan yang lebih tinggi dapat dicapai oleh seseorang dari penghirmatan Ilahi yang agung ini.

Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi daripada keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini. Manakah darjah kemuliaan yang lebih tinggi bagi seseorang, dari kemuliaan yang dikurniakan Allah Pencipta Yang Maha Kuasa.”



Beliau dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di wilayah Assyut, Mesir mendapat didikan awal di rumah dari ibu bapanya yang kuat agama. Sewaktu berusia enam tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Dalam usia itu, beliau mula menghafal al-Quran dan sewaktu usianya 10 tahun beliau telah berjaya menghafal semuanya.

Ketika berusia 15 tahun, Sayyid Qutb berhijrah ke Kaherah, memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah tamat, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Pada tahun 1928 sewaktu berusia 22 tahun, Sayyid Qutb menyambung semula pengajiannya memasuki sekolah persediaan untuk memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah. Pada tahun 1930, beliau diterima memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari’ah. Kemudian beliau bertugas sebagai Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir.

Beberapa pandangan politiknya yang tidak selari dengan dasar kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa majalah. Hal ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan supaya Sayyid Qutb dihantar “berkursus” ke Amerika Syarikat.

Sayyid Qutb berminat dalam bidang Kesusateraan sehingga menjadi salah seorang sasterawan Mesir yang terkenal. Bagaimanapun sejak awal dekad 1940-an, satu era baru telah bermula dalam kehidupannya. Iaitu era kesedarannya kepada Islam dan mula menulis rencana bersiri tentang Islam yang kemudian dibukukan.

Sayyid Qutb menyertai Ikhwan al-Muslimin pada tahun 1951 sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966. Bagi Sayyid Qutb, tempoh ini sangat penting baginya. Beliau menyertai Jamaah Ikhwan dua tahun sesudah kepergian pengasasnya, Imam al-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1949.

Sekembalinya dari Amerika, Sayyid Qutb terus mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau akhirnya menemui satu “kebenaran” yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau berjanji dengan Allah Ta’ala memikul amanah menyambung perjuangan Hasan al-Banna.

Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Sayyid Qutb memang terjadi. Pada 1 januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan Ikhwan al-Muslimin dan para pimpinannya ditangkap atas tuduhan bahawa gerakan Ikhwan merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Oleh itu, tujuh orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati termasuk Hasan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah, dan Syeikh Mohamad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin dalam Perang Suez 1948.

Bagaimanapun hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup sementara Sayyid Qutb pula dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada tahun 1964, Sayyid Qutb telah dibebaskan atas permintaan peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden Abdul Salam Arif terkorban dalam satu nahas udara, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Mujahid ini dituduh merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.Pertuduhan ke atas Sayyid Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan buku-bukunya terutama Mu’alim fi al-Tariq.

Turut ditahan ialah seluruh anggota keluarganya. Tetapi sebelum hukuman gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusannya menemui Sayyid Qutb mendesaknya agar meminta maaf kepada Presiden Naser agar dibebaskan. Namun Sayyid Qutb dengan tegas menolaknya.

“Tidak, aku tidak akan tunduk kepada penzalim yang menderhaka kepada Allah Ta’ala” katanya dengan tegas.

Demikianlah al-Syahid Sayyid Qutb yang telah menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk Islam.

*Harakah Bil. 1561, Ruangan Fikrah, 21-24 Sya’aban 1431H/2-5 Ogos 2010, hal. F8

No comments:

Post a Comment