Friday, January 14, 2011

PENGAJARAN AL-SYAHID IMAM HASSAN AL-BANNA DALAM MASALAH KHILAFIYYAH

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh Al-Awlawiyyat (Memahami Keutamaan) ada menukilkan satu kisah yang pernah berlaku kepada al-Syahid Imam Hasan al-Banna, pengasas gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Ia merupakan kisah yang cukup baik yang perlu dihayati oleh semua pendakwah yang mengakui mahu memperjuangkan Islam terutama dalam memastikan kesatuan umat Islam.

Imam Hasan Al-Banna mencatatkan dalam Muzakkirat nya tentang kisah beliau menyampaikan kuliah agama ketika beliau masih berumur dua puluhan tahun. Beliau menyampaikan kuliah tersebut antara waktu Maghrib dan Isyak di satu sudut di sebuah masjid kecil. Setelah sekian waktu, kuliah tersebut telah mendapat perhatian dan para hadirin yang hadir telah bertambah. Termasuk juga yang hadir adalah di kalangan mereka yang menyimpan sikap dan pendirian lama dalam masalah khilaf dan suka membangkitkan api perdebatan.

Sehingga pada suatu malam, Imam Hasan al-Banna merasakan terdapat satu kelainan terhadap hadirin yang hadir. Seolah-olah terdapat perbezaan kelompok di kalangan para pendengar termasuk tempat duduk mereka. Pada malam tersebut, belum sempat Imam Hasan al- Banna hendaklah memulakan kuliahnya, tiba-tiba beliau telah diajukan satu soalan.

“Apakah pandangan ustaz tentang masalah tawassul?" Maka al-Banna menjawab:

“Wahai saudaraku, aku berpandangan (bahawa) engkau bukan bermaksud mahu bertanya tentang masalah ini sahaja, tetapi engkau juga mahu bertanya tentang selawat selepas azan, membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, lafaz siyadah Rasul dalam tasyahhud, bagaimana kedudukan ibu bapa Nabi Muhammad s.a.w di akhirat, sampai atau tidak bacaan al-Qur’an kepada si mati, adakah perkumpulan-perkumpulan yang dibina oleh ahli tariqat itu maksiat atau qurbah, dan pelbagai masalah lagi."

Al-Banna sengaja menyenaraikan semua perkara-perkara khilaf tersebut yang telah menyalakan api fitnah sejak sekian lama sehingga membuatkan lelaki penyoal itu tersentak. Lalu lelaki itu menjawab: “Ya, aku mahukan jawapan atas kesemua soalan itu!”

Lalu al-Banna menjawab: “Wahai saudaraku, aku bukanlah seorang alim, tetapi aku seorang guru bandar yang menghafaz sesetengah ayat al-Qur’an dan sesetengah hadith Nabi s.a.w dan mengetahui beberapa hukum agama setelah merujuk kepada kitab-kitab. Lalu aku menawarkan diri untuk mengajarkan ilmu itu kepada orang ramai. Maka sekiranya engkau bertanya kepadaku soalan yang terkeluar daripada apa yang aku tahu maka engkau telah menyukarkan aku, sedangkan barangsiapa yang mengatakan aku tidak tahu dia juga telah berfatwa. Sekiranya engkau merasa puas dengan apa yang aku sampaikan, dan melihat padanya ada kebaikan, maka dengarilah ia. Sekiranya engkau ingin mengetahui lebih lanjut maka bertanyalah kepada para ulama' yang pakar selainku. Mereka mampu memberi fatwa terhadap apa yang kamu mahu. Adapun aku, maka inilah kadar ilmuku, sesungguhnya Allah Ta'ala tidak memberatkan ke atas seseorang melainkan apa yang diusahakan.”

Itulah jawapan Imam Hasan al-Banna kepada lelaki tersebut dan lelaki itu pada hakikatnya tidak mendapat apa-apa jawapan daripada Imam Hasan al-Banna. Namun dengan ucapan Imam Hasan al-Banna itu para hadirin atau kebanyakan mereka merasa berpuas hati. Lalu dengan kesempatan yang ada Imam Hasan al-Banna meneruskan ucapannya dengan berkata:

“Wahai saudara-saudaraku, aku amat mengetahui bahawa saudara yang bertanya tadi, termasuk juga ramai di kalangan kalian, tidak bermaksud daripada soalan seumpama itu melainkan hanya ingin mengetahui, daripada kumpulan manakah pengajar baru ini? Adakah daripada kumpulan Syeikh Musa atau daripada kumpulan Syeikh Abdul Sami’?! Sesungguhnya pengetahuan ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kamu, sedangkan kamu telah menghabiskan masa dalam keadaan fitnah selama lapan tahun dan cukuplah sekadar itu. Kesemua masalah itu telah diperselisihkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun dan mereka masih terus berselisih pendapat sehingga ke hari ini, namun Allah Ta'ala redha kepada kita untuk berkasih sayang dan bersatu padu serta membenci untuk kita berselisihan dan berpecah-belah. Maka aku ingin mengajak kamu semua berjanji dengan Allah Ta'ala untuk meninggalkan semua perkara-perkara ini sekarang, dan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas agama dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati. Dan mendirikan segala kewajipan dan sunat serta meninggalkan sikap memberat-beratkan dan terlalu rigid supaya hati menjadi suci. Dan supaya menjadi tujuan kita semua hanya untuk mengetahui kebenaran, bukan hanya kerana sekadar mahu memenangkan satu pandangan. Ketika itu, kita mempelajari kesemua ini bersama dalam keadaan kasih sayang, kepercayaan, kesatuan dan keikhlasan. Aku berharap kamu terimalah pandanganku ini dan agar ia menjadi perjanjian sesama kita untuk berbuat demikian”.

No comments:

Post a Comment