Thursday, December 30, 2010

Bayi Ditanam Hidup-Hidup di Zaman Jahiliyah Akan Disoal (Bahagian Satu)

Sebagai lanjutan perbincangan tentang hari kiamat yang disebut sebagai ‘yaumus su’al’, bukan sekadar para Rasul dan umat mereka yang mencapai umur taklif syarak sahaja yang akan menghadapi soalan-soalan daripada Allah Ta’ala. Malah kanak-kanak ataupun bayi yang masih kecil juga akan disoal di akhirat kelak.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ (8) بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ (9)

Maksud ayat:
“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup disoal. Kerana dosa apakah mereka dibunuh?” (Surah Al-Takwir : 8-9)

Bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup oleh bapa-bapa mereka pada zaman jahiliyah dahulu, adalah adat jahiliyah yang paling kejam. Apalah dosa bayi-bayi perempuan itu maka mereka diperlakukan begitu zalim, bayi-bayi itu tidak pernah minta mereka dilahirkan sebagai bayi perempuan. Kemunculan mereka ke dunia ini hanyalah natijah daripada hubungan kelamin ibu bapa mereka. Sepatutnya bayi perempuan itu disambut dengan kasih saying sebagai anugerah Allah Ta’ala.

Malangnya bayi perempuan itu disambut dengan dengan suatu adat jahiliyah yang paling tidak berperikemanusiaan dalam sejarah tamadun manusia. Mereka menjadi korban kepercayaan karut yang menyelimuti masyarakat jahiliyah sebelum turunnya Al-Quran.

Di akhirat kelak, bayi-bayi itu akan disoal oleh Allah Ta’ala sebagai pembelaan terhadap nasib yang dialami oleh mereka. Soalan yang dikemukakan kepada mereka semata-mata mendedahkan kekejaman kaum jahiliyah daripada kalangan musyrikin Mekah, yang mana mereka tidak akan terlepas daripada memikul tanggungjawab itu.

Ketika bayi-bayi itu disoal oleh Allah Ta’ala di hadapan penjenayah jahiliyah itu, pastinya mereka akan lebih terseksa. Walaupun soalan itu dikemukakan kepada bayi-bayi perempuan yang tidak berdosa itu, namun pada hakikatnya yang bakal memberikan jawapan ialah bapa-bapa mereka sebagai pihak yang melakukan jenayah pembunuhan kejam itu.

Sebenarnya pembunuhan bayi-bayi itu tidak terhad di kalangan masyarakat jahiliyah Mekah, tetapi kegiatan itu terus berlarutan hingga ke zaman moden dan adakalanya lebih kejam dari zaman jahiliyah. Jika di zaman jahiliyah ia berlaku hanya kepada bayi-bayi perempuan, di zaman moden ia dilakukan tanpa memilih jantina.

Dal kes-kes tertentu, bayi menjadi mangsa pasangan yang melakukan zina. Mereka boleh menyembunyikan perbuatan zina yang terkutuk, tetapi adakalanya mereka gagal menyembunyikan akibat perbuatan mereka apabila mereka mengandungkan anak zina itu.

Sudah banyak bayi yang dibunuh oleh pasangan zina, kononnya untuk mengelak perbuatan keji mereka daripada dikesan oleh orang ramai ataupun pihak berwajib. Mereka mengambil langkah nekad sama ada membunuh dengan tangan mereka ataupun membuangnya ke dalam tong sampah, ditinggalkan di tepi-tepi jalan, disangkutkan di pagar rumah dan sebagainya. Golongan ini merupakan generasijahiliyah moden yang akan dihimpunkan bersama-sama kaum Arab jahiliyah Mekah, bagi menghadapi tanggungjawab yang sama apabila bayi-bayi mereka disoal oleh Allah Ta’ala, “atas dosa apakah mereka dibunuh?”


YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, Bertemu Janji Allah, Anbakri Publication, hal. 57

1 comment:

  1. They're so mean! How could they do that to a cute babies?!!! Maybe they should know and learn that the girls born those boys. Without girls, there's no boys!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete