Sunday, January 16, 2011

Konflik Di Tunisia

Disusun oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Fenomena serangan terhadap Islam bukanlah baru di Tunisia, sama ada ia diperintah oleh Presiden Zein El Abidin Ben Ali, atau pun pada zaman pemerintahan mantan Presiden Habib Bourqiba. Setiap kali pertukaran pemerintah, kebencian terhadap Islam melua-luap pada raut wajah mereka yang bergelar presiden.

Tunisia yang pernah dijajah Itali dan Perancis, serta warganegara yang terdiri daripada majoriti di kalangan bangsa Arab, disusuli Barbar (puak nomad), Yahudi dan lain-lain berhasrta menjadikan Negara ini ala barat dalam segenap bidang kehidupan di kalangan masyarakat.

Justeru, rakyatnya yang sebelum ini fasih berbahasa Arab, semakin hari semakin malap penguasaan pertuturan bahasa berkenaan lantaran kecenderungan para pemimpin untuk menjadikan bahasa Perancis lebih daripada bahasa Arab walaupun mereka daripada keturunan Arab.

Muzik ala Perancis juga diperkenalkan secara meluas bagi memastikan agar generasi dan tunas-tunas baru mengaguminya dengan tidak merujuk kepada budaya muzik Arab yang lebih sopan dan Islamik.

Inilah hakikat yang tidak dapat dibendung daripada diketahui umum. Terbaru,kira-kira 400 tahanan yang dipenjara sejak beberapa tahun atas kesalahan kerana terlibat dalam menyokong parti dan pertubuhan Islam, telah mengadakan mogok lapar sebagai bantahan terhadap pihak berkuasa pimpinan Zein El Abidin.

Bantahan dibuat kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan layanan buruk yang diterima sejak akhir-akhir ini. Kemudahan dan penyediaan untuk menyambut bulan Ramadhan dinafikan, seperti penyediaan makanan untuk berbuka puasa dan sahur, mereka tidak disediakan empat untuk bersolat, bukan sahaja untuk bertarawih, tetapi untuk solat fardhu juga mereka mengahadapi masalah.

Walaupun tindakan mereka mendapat simpati dan sokongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Anti-Kekejaman Tunisia, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Tunisia, pihak berkuasa tidak bersedia untuk menerima dan melayan memorandum bantahan yang diajukan kepada mereka, setiap surat bantahan dan apa sahaja namanya dibakulsampahkan oleh pihak berkuasa.


Penentangan Terhadap Islam

Sebenarnya para pemimpin Tunisia seperti yang disifatkan sesetengah pemerhati politik, tidak terpengaruh dan terkesan dengan keilmuan tokoh Islam dan ahli falsafah Tunisia terkenal iaitu Ibn Khaldun yang lahir pada 27 Mei 1332M.

Ketokohan beliau diiktiraf oleh kebanyakan para sarjana Islam yang begitu mengkagumi pemikirannya yang mampu mmengubah keadaan individu Muslim menjadi insan yang sempurna sepeti yang dilontarkan dalam hasil tulisan terkenal beliau iaitu ‘Muqaddimah’, bukan sahaja di negaranya sendiri, bahkan negara-negara berjiran sepeti Algeria, Maghribi, Libya, dan Mesir.

Ketidaksungguhan pemimpin nombor satu negara Tunisia ketika ini, Zein El Abidin tidak segan silu untuk melakukan tindakan di luar jangkaan banyak pihak, setiap kali menjelang Ramadhan, ada sahaja tindakannya yang tidak selari dengan Islam malah tidak bertamadun seperti menghalang para pelajar bertudung daripada memasuki premis kerajaan, membiarkan tahanan daripada aktivis Islam menderita dalam penjara dan sebagainya.

Tindakannya itu mirip kepada apa yang pernah dilakukan oleh mantan presiden sebelumnya, Habib Bourqiba yang mengarahkan pihak stesen televisyen rasmi Tunisia menyiarkan siaran langsung majlis makan tengah hari daripada rumahnya pada bulan Ramadhan dan menjadikan arak sebagai minuman rasmi.

Tindakan Habib itu mendapat kecaman hebat daripada tokoh-tokoh ulama yang malu dengan sikapnya menghina Islam secara terang-terangan tanpa berselindung yang boleh ditonton oleh rakyat berbilang agama menerusi kaca tv.

Setelah peralihan kuasa berlaku pada November 1987, kebnanyakan rakyat yang semakin bosan dengan penghinaan terhadap Islam oleh mantan presiden, mereka mengharapkan agar kepimpinan yang baru yang diterajui oleh Zein El Abidin Ben Ali yang menang Dalam pilhanraya presiden Tunisia, dapat melakukan sesuatu yang terbaik bagi mengembali dan memulihkan imej Islam di mata dunia.

Tetapi tanggapan mereka meleset, kerana apa yang dilakukan oleh Zein El Abidin tidak kurang sepeti pemimpin sebelumnya, bahkan ada yang menyifatkan lebih teruk dan berbahaya terhadap Islam sebagai agama rasmi negara.

Ramadhan Dijangka Suram

Ancaman terbaru yang melanda golongan Muslimat Tunisia ialah halangan pihak berkuasa yang mengeluarkan arahan rasmi agar semua Muslimat bertudung di semua peringkat, sama ada pegawai atau kakitangan kerajaan dan swasta, para pelajar perempuan di sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tidak dibenarkan masuk di premis-premis kerajaan seperti pejabat, sekolah, daln lain-lain.

Begitu juga wanita yang berurusan di jabatan-jabatan kerajaan khususnya dengan memakai hijab dan pakaian yang sempurna, mereka tidak akan dilayan dengan adil malah dinasihatkan balik tanpa urusan mereka diselesaikan terlebih dahulu melainkan mereka menanggalkan hijab. Arahan khusus itu dikeluarkan seminggu sebelum ketibaan bulan Ramadhan.

Arahan itu disifatkan oleh kebanyakan pensyarah universiti dan para guru di sekolah-sekolah menengah sebagai mencabuli hak asasi rakyat, malah tindakan itu juga sebagai kemuncak penentangan terhadap Islam yang memalukan, apatah lagi pihak berkuasa kononnya melaungkan kepada umum bahawa mereka adalah penganut agama Islam.

Apa pun arahan itu menyebabkan Muslimat di Tunisia sebagai gusar dan bimbang, kerana arahan seumpama itu hanya mengundang kemarahan Allah Ta’ala dan Dia sahaja boleh bertindak untuk menghukum manusia dengan menurunkan bala yang bukan sahaja ditimpa ke atas oran yang jahat, tetapi juga meliputi orang-orang yang baik juga.

Harakah, Bil. 1561, Ruangan Fikrah, 21-24 Syaaban 1431H/2-5 Ogos 2010

p/s - Tajuk asal artikel ini ialah "Ramadhan Suram Di Tunisia" telah diubah kepada "Konflik Di Tunisia" sebagai menepati keadaan negara Tunisia sekarang.

Kini Zein El Abidin telah pun meletakkan jawatannya dan mencari perlindungan di Arab Saudi. Mudah-mudahan kepimpinan Tunisia yang baru akan mengembalikan kedaulatan Islam di negara Tunisia. Setiap pimpinan itu akan ditanya tentang pimpinan mereka.

No comments:

Post a Comment