Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala pujian tertentu bagi Allah Ta'ala, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluarganya dan para sahabatnya.
Disebabkan mengingkari pembelajaran ilmu Tauhid Salaf yang digariskan oleh Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, membawa kepada seseorang itu membuat tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas. Akidah Ahli Sunnah adalah akidah yang diselaraskan oleh Imam Asy’ari dan Imam Maturidi supaya bertepatan dengan akidah golongan salaf. Segala andaian yang menyalahi dengan apa yang dinyatakan oleh ulama Ahli Sunnah, maka tidak boleh dipegangi dan tidak dihiraukan.
Dibolehkan dalam mazhab Ahli Sunnah,seseorang berkata: ”Nasi mengenyangkan, api menghanguskan rumah, ubat panadol menyembuhkan sakit kepala, pisau melukakan tangan, doktor itu merawat dan menyembuhkan penyakitku dan sebagainya.” Ini adalah kerana, percakapan tersebut adalah dinamakan percakapan Majaz ‘Aqliy dalam ilmu bahasa Arab. Majaz ‘Aqliy ialah menyandarkan perbuatan dan sebagainya kepada selain pembuatnya. Contoh Majaz ‘Aqliy (Majaz yang dinisbahkan kepada aqal) yang terdapat dalam kitab-kitab ilmu Bayan (iaitu salah satu ilmu bahasa Arab) ialah : الربيع البقل أنبت yang bererti, ’Musim bunga telah menumbuhkan sayur-sayuran.’ Sedangkan pada hakikat sebenar, Allah Ta'ala yang menumbuhkannya.
Majaz tersebut adalah sebagaimana yang terdapat di dalam bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran dan Hadis.
Tiada menjadi kesalahan dan tiada pula membawa kepada kufur bagi orang yang berlafaz sedemikian, melainkan ia mengiktiqad bahawa segala perkara tersebut yang memberi kesan pada hakikat sebenar, bukannya Allah Ta'ala.
Apabila telah memahami perkara ini,maka Salawat Syifa yang cuba dipertikaikan oleh mereka yang cetek ilmu Tauhidnya adalah tidak boleh diterima sama sekali. Salawat ini telah masyhur dibaca, yang berbunyi:
اللهم صل على سيدنا محمد طب القلوب ودوائها وعافية الأبدان وشفائها ونور الأبصار وضيائها وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
Bererti: ”Ya Allah!rahmatkanlah ke atas penghulu kami, Muhammad, penawar hati yang berkesan dan pengubatnya, penyihat badan yang mujarab dan penyembuhnya, petunjuk yang bersangatan menerangi pandangan pemikiran dan mencerahkannya, demikian jua, ke atas ahli keluargannya dan para sahabatnya serta berkati dan sejahterakanlah.”
Terjemahan
Terjemahan dengan ‘berkesan,‘mujarab’dan ‘bersangatan’ di atas, kerana kalimah
طب, دواء, عافية, شفاء, ضياء, نور itu ialah kalimah ism masdar ataupun masdar(iaitu kata terbitan). Apabila dijadikan sifat, membawa erti Mubalaghah(bersangatan). Sungguhpun begitu, tidak semestinya membawa maksud Mubalaghah sahaja. Dibolehkan juga makna selain daripadanya seperti ditakwilkan dengan ذو طب atau طبيب yang bererti ‘yang mengubati(taqdir mudhaf) atau penawar/pengubat’(ism fail/kata pembuat) yang tidak membawa makna bersangatan.(lihat kitab ‘Ibnu ‘Aqil,kitab ilmu tata bahasa Arab, bab:sifat)
Kalimah الأبصار dari sudut bahasa Arab (lihat kamus AlMuhith) ialah kalimah jamak bagi البصر yang bererti deria mata ataupun pandangan pemikiran.
Makna kalimah ini yang terlebih tepat diterjemahkan bagi Salawat Syifa adalah
‘pandangan pemikiran’.Ini adalah kerana, jumlah ayat yang sebelumnya,iaitu
وعافية الأبدان وشفائها طب القلوب ودوائها yang bererti ’penawar hati dan pengubatnya,
penyihat badan dan penyembuhnya’, memberi maksud bahawa ajaran, syariat atau Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w memberi kesihatan rohani (hati)dan jasmani. Oleh itu, deria mata adalah terdiri daripada salah satu anggota badan, maka perlu diterjemahkan kalimah الأبصار tersebut dengan makna yang lain, iaitu ‘pandangan pemikiran’.
Timbul satu persoalan, kenapakah pula diri Nabi s.a.w yang jadi pengubat atau penyihat bagi rohani dan jasmani, sedangkan syariat, ajaran atau Al-Quran yang dimaksudkan sebagai pengubat? Menjawab persoalan ini, apabila Nabi Muhammad sebagai utusan Allah Ta'ala yang dilengkapi bersamanya Al-Quran dan ajaran-ajaran syariat maka diri tubuh badannya adalah sebagai penterjemah kepada Al-Quran dan penafsir bagi syariat. Ini terbukti di mana segala tingkah laku perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad adalah akhlak Al-Quran yang dijadikan sebagai contoh-tauladan.
Justeru diri Nabi adalah seumpama Syariat, lalu disandarkan diri Baginda sebagai penawar dan penyembuh bagi rohani dan jasmani. Sebagaimana juga disandarkan perbuatan jahat yang sentiasa dan sebati dilakukan oleh anak Nabi Nuh kepada tubuh badan dirinya sendiri dalam surah Hud:ayat 46: انه عمل غير صالح ertinya: “Sesungguhnya dia (anak Nuh) adalah perbuatan yang tidak baik”
Abu Ali berkata: ”Diharuskan(pada tafsiran) bahawa anak Nuh itu sendiri ialah diri perbuatan yang tidak elok, sebagaimana dikatakan kepada orang yang melakukan sesuatu perkara, bahawa ia adalah diri perkara itu. Ini kerana, berulangkali dan sentiasa perbuatan itu dilakukannya.(lihat Futuhat Ilahiyah Hasyiah Tafsir Jalalain)
Lafaz Mubalaghah(bersangatan)
Walau apa jua makna yang diterjemahkan samada membawa erti mubalaghah ataupun tidak, ianya tidak menjadi satu kesalahan pada aqidah kerana termasuk dalam pengunaan Majaz Aqliy yang telah dinyatakan diatas.
Bandingannya seperti seseorang yang berkata: ”Panadol sangat mujarrab pada menyembuhkan sakit kepala dan seumpamanya”. Penggunaan lafaz-lafaz mubalaghah (bersangatan)yang berbagai-bagai, banyak sekali terdapat dalam percakapan bahasa Arab yang ditujukan kepada selain daripada Allah Ta'ala.
Antara lafaz-lafaz mubalaghah yang disifatkan kepada selain daripada Allah Ta'ala, ialah:-
1)لقد جآءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤف رحيم
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu,seorang Rasul(Nabi Muhammad)dari kalangan bangsa kamu sendiri(bangsa Arab),terasa berat ditangunginya dengan sebab kesusahan yang kamu alami,sangat menginginkan (keimanan) bagi kamu,lagi amat belas kasihan dan amat penyayang terhadap orang mukmin.” (At-Taubah:128)
Ulasan:
Allah Ta'ala sendiri yang mensifatkan Nabi s.a.w dengan sifat-sifatNya yang mubalaghah iaitu ‘Rauuf’ dan ‘Rahim’. Kalimah tersebut adalah terdiri daripada lafaz-lafaz mubalaghah setimbang dengan timbangan mubalagah iaitu فعول dan فعيل .
Tersebut dalam kitab Futuhat Ilahiyah Hasyiah Jalalain, Hasan Bin Mufadhal berkata: “Allah Ta'ala tidak pernah menghimpun dua nama daripada nama-nama-Nya kepada seorang pun daripada para nabi-Nya melainkan hanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dia menamakan baginda dengan ‘Rauufu’ ‘Rahim’.Firman-Nya (yang menunjuk bahawa kedua-dua nama itu adalah nama Allah): ان الله بالناس لرؤف رحيم Ertinya: “Sesungguhnya Allah itu ialah Tuhan Yang Amat Belas Kasihan dan Amat Penyayang terhadap manusia.”
2)Telah ijmak Ulama Muslimin bahawa diharuskan mensifatkan para Ulama dengan kalimah ‘Allamah’ (العلامة) yang bererti ‘yang sangat alim’.Kalimah ini adalah setimbang dengan timbangan mubalagah iaitu علام .Huruf ‘Ta’ pula ditambah untuk menguatkan lagi mubalagah( لتوكيد المبالغة) .Demikian juga, Allah Taala mensifatkan diriNya dengan kalimah ini.FirmanNya: وأن الله علام الغيوب Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu adalah Yang Amat Mengetahui perkara ghaib.” (At-Taubah:78)
3)Diketahui umum bahawa الجبار yang bererti ‘Yang Amat Mengerasi’ adalah salah satu sifat Allah Ta'ala.Firman-Nya:الملك القدوس السلام المؤمن المهيمن العزيز الجبارالمتكبر
Bererti: “Tuhan Yang Memerintah,Yang Maha Suci, Yang Sejahtera,Yang Memerhati makhlukNya, Yang Amat Perkasa, Yang Amat Mengerasi dengan apa yang dihendakiNya dan Yang Membesarkan Diri.”(Al-Hasyr:23)
Akan tetapi di tempat yang lain, Allah sendiri mensifatkan kaum ‘Aad dengan lafaz Mubalaghah ini.FirmanNya: واتبعوا أمر كل جبار عنيد Maksudnya: ”Mereka (kaum ‘Aad) mengikuti suruhan setiap ketua-ketua mereka yang amat takabur lagi mengerasi dan degil.” (Hud:59)
4)’Al-Karim’(الكريم) adalah nama Allah daripada lafaz mubalaghah yang setimbang dengan timbangan mubalagah iaitu فعيل .Allah berfirman:
يا أيها الانسان ما غرك بربك الكريم
Bermaksud: ”Wahai manusia!Apakah sesuatu yang memperdayakan engkau pada menderhakai Tuhan engkau yang Amat Pemurah.”(Al-Infithar:6)
Allah Ta'ala juga mensifatkan Nabi s.a.w melalui firman-Nya dalam surah Al-Haaqah, ayat 40:انه لقول رسول كريم yang bererti: ”Sesungguhnya Al-Quran itu percakapan Rasul (Nabi Muhammad) yang Sangat Mulia.”
Dalam Kitab Futuhah Ilahiyah, Sheikh Sulaiman menghuraikan ayat ini: ”Yakni yang sangat mulia disisi Allah, maka Rasul tersebut pada sehabis-habis (bersangatan) mulia غاية الكرم ) ) yang terhindar jauh daripada akhlak-akhlak yang keji. Dialah Nabi Muhammad s.a.w.”
#Perbuatan Allah Taala mensifatkan Nabi s.a.w dengan ‘Karim’ di dalam surah ini dan juga dengan ‘Rauufur-Rahim’ di dalam surah Attaubah seperti yang telah lalu, menjadi dalil harusnya memuji baginda s.a.w dengan cara berlebih-lebihan.Pujian melampau yang menjadi kesalahan ialah apabila meletakkannya sebagai tuhan atau anak tuhan ataupun menganggapnya setaraf dengan tuhan sebagaimana iktiqad golongan Yahudi dan Nasrani.
Penggunaan Majaz tersebut dalam Al-Quran dan Hadith
Terdapat beberapa tempat dalam Quran dan Hadis yang mensabitkan‘penyembuh’ atau ‘penawar’ sepertimana yang digaya bahasakan pada Salawat Syifa tersebut. Diantaranya:-
1)(Surah Annahl :ayat 69) يخرج من بطونها شراب مختلف ألوانه فيه شفاء للناس
Bermaksud:”Keluar daripada perut lebah,madu yang berbagai warnanya. Adalah padanya(madu) itu ‘Penawar’ yang menyembuhkan untuk manusia.”
2)Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari,daripada Aisyah radhiallahuanha,berkata:
“Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda:
ان هذه الحبة السوداء شفاء من كل داء الا من السام قلت: وما السام؟ قال الموت
Ertinya: ”Sesungguhnya ‘Habbatul Sauda’ini adalah penawar yang menyembuhkan segala penyakit melainkan Assama.Aku bertanya:Apakah Assama itu?Baginda menjawab: Assama itu ialah mati.”(Sahih Bukhari :kitab Attib)
3)Hadith Sahih Bukhari dalam bab Attib(perubatan) daripada ‘Asim bin Umar bin Qatadah menceritakan bahawa Jabir bin Abdullah radiallahuanh menziarahi Muqanna’(salah seorang tabien) yang sedang sakit.Jabir berkata:
لا أبرح حتى تحتجم فاني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ان فيه شفاء
Ertinya: ”Aku tidak akan keluar sehinggakan engkau berbekam kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bahawa pada berbekam itu penyembuh yang menyembuhkan.”
Begitu juga dinisbahkan kemudharatan kepada benda yang selain daripada Allah Ta'ala,yang mana pada hakikatnya hanyalah Dia yang memberi kemudharatan.
Antaranya:-
Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud,daripada Abi Hurairah berkata:”daripada Nabi s.a.w bersabda: العين حق Ertinya: ”Penyakit ‘Ain’ adalah benar.”
Penyakit ‘Ain ialah satu penyakit yang terjadi apabila seseorang yang berasa kagum dengan orang lain,lalu dia memujinya.Ini boleh membawa kemudharatan kepada orang yang dipuji.Boleh juga diertikan penyakit ini dengan perbuatan sihir dengan kekuatan mata untuk memudharatkan orang yang ditumpukan penglihatan kepadanya.
Muhammad Syamsul Haq menerangkan maksud hadis ini dalam kitab ‘Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, bab perubatan dengan katanya:”Kesan penyakit ‘Ain(pada memudharatkan) adalah benar.”
AlHafiz Ibnu Hajar menyatakan dalam kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari: “AlBazzar mengeluarkan hadis Jabir dengan sanad yang elok daripada Nabi s.a.w bersabda: أكثر من يموت من أمتي بعد قضاء الله وقدره بالأنفس قال الراوي يعني العين
Ertinya: ”Kebanyakkan mereka yang meninggal dari kalangan umatku selepas daripada qada dan qadar Allah adalah disebabkan ‘AlAnfus’. ”Perawi berkata: ”Dimaksudkan dengan AlAnfus itu ialah penyakit ‘Ain.”
Imam Nawawi menerangkan: ”Pada hadith ini,mensabitkan qadar Allah Ta'ala dan benarnya penyakit ‘Ain.Sesungguhnya penyakit ‘Ain ini memberi kemudharatan yang kuat (قوية الضَرر) .”
Amat menghairankan kepada mereka yang mendakwa-dakwa bahawa mereka berpandukan Alquran dan Hadis,akan tetapi dalam masa yang sama mereka mengenepikan kedua-duanya.Ini ternyata pada pengunaan Majaz yang telah kami paparkan sebahagiannya dalam Quran dan Hadis.Begitu juga dengan penggunaan lafaz-lafaz Mubalagah di dalam bahasa Arab,ianya sangat maklum diketahui oleh mereka yang mempelajarinya.Lantaran itu,hendaklah kita menjauhkan diri daripada membidaah, memfasik dan mengkufurkan orang lain dengan secara batil. Berpeganglah kepada dasar-dasar Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.Janganlah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang ekstrim, sesat dan menyesatkan.
Wallahu a'lam…….
Penyusun:Nik Mohd Nazimuddin b.Nik Ibrahim
Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,Kota Baharu,Kelantan Serambi Mekah.
Ahad 8 zulqa’dah 1428H Bersamaan 18 Nov 2007M
SUMBER
No comments:
Post a Comment