Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfitri

بسم الله الرحمن الرحيم

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (bilangan puasa Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah Ta’ala atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Dari A’isyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Hari Raya (Aidil) Fitri adalah hari orang-orang berbuka dan Hari Raya (Aidil) Adha adalah hari orang-orang berqurban." (Riwayat Tirmizi)

Segala puji bagi Allah Ta’ala yang bersifat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim akan hamba-Nya. Dia juga Yang Menciptakan alam tanpa ada sekutu dan penolong baginya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Bin Abdullah s.a.w, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabat Baginda yang lain.

Sudah cukup sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubaarak bagi tahun 1431 Hijriyah. Kini sudah tiba waktunya untuk umat Islam meraikan hari kemenangan.

Masuknya kita ke bulan Syawal bukan bererti kita boleh bebas melakukan perkara yang telah dilarang. Sebaliknya, ia perlu disusuli dengan amalan-amalan yang telah dianjurkan oleh Islam. Jika dalam sebulan (di bulan Ramadhan) kita mampu melakukan ibadah-ibadah sunat, bahkan ‘berlumba-lumba’ untuk melaksanakannya maka mengapa kita tidak menjadikan ia sebagai amalan di bulan-bulan yang lain.

Bulan Ramadhan sebagai ‘madrasah’ atau waktu berkursus untuk menjinakkan hawa nafsu yang telah lama meliar dalam diri manusia. Kesungguhan, semangat, dan istiqamah beribadat dalam bulan Ramadhan harus dikekalkan ke bulan-bulan yang berikutnya kerana jika kita berjaya mengamal dan membawa ‘semangat’ dan kesungguhan beribadah itu, maka itulah keberkatan yang sebenarnya kita perolehi dari Ramadhan al-Mubaarak dan itulah yang kita harapkan daripada ‘kursus’ yang kita jalani selama sebulan.

Dalam merayakan Aidil Fitri, perlulah kita ingat akan batas-batas yang perlu dijaga. Yang haram tetap haram. Tiada kompromi sekalipun kita di bulan ‘perayaan’. Islam berbeza dengan agama lain termasuklah dalam cara meraikan sesuatu perayaan. Janganlah kerana ingin ‘membalas dendam’ akibat ‘terkongkong’ selama sebulan, apabila tiba syawal maka tidak diendah lagi akan halal haramnya.

Kita umat yang bermatlamat, berakhlak seharusnya berbeza dengan golongan kuffar dalam merayakan perayaan kita. Jika kita juga terlampau bebas dan meraikan perayaan dengan cara yang sama (dengan kafir), maka apa bezanya kita dengan mereka? Pelbagai aturan telah disusun untuk kita beraya. Bermula pagi, solat Subuh, kemudian bertakbir, selepas itu solat sunat hari raya diikuti dengan dua khutbah sunat (serta diiringi bersama-samanya beberapa amalan sunat yang lain) maka ia terkandung satu disiplin hidup yang amat kompleks dan teratur. Sangat teratur.

Justeru, marilah kita terus meningkatkan ibadah dan ketaqwaan kita kepada Allah Ta’la kerana matlamat utama kita ialah akhirat. Di kesempatan ini juga, saya dan keluarga ingin memohon kemaafan atas segala salah dan khilaf yang pernah dilakukan oleh kami sekeluarga sama ada senghaja mahupun tidak. Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara. Salam Aidilfitri.

Mohammad Zaki Yahpar Yahya,
No. 23 Kg. Telok kemang,
Sg. Mati 84400,
Ledang,
Johor Darul Takzim.

2 comments:

  1. salam adidilfitri.. maaf zahir & batin drpd saya juga.

    ReplyDelete
  2. Salam Aidilfitri juga, Husna... Terima kaseh... =)

    ReplyDelete