Monday, March 9, 2009

Asal-Usul Peristiwa Qunut

بسم الله الرحمن الرحيم
Peristwa Qunut
Dan daripadanya Anas r.a katanya : “Telah datang rombongan kepada Nabi s.a.w suatu rombongan daripada orang-orang Arab Badawi datang menemui Nabi s.a.w. (Rombongan ini merupakan rombongan daripada ahli Najd, iaitu penduduk pedalaman semenanjung tanah Arab yang dikenali dengan Riyadh). Mereka terdiri daripada orang-orang Badawi. Mereka diketuai oleh Abu Ubara’ datang kepada Nabi s.a.w dan berkata hantarkan bersama kami beberapa orang yang boleh mengajar kami akan Al-Quran dan Sunnah. Lalu Nabi s.a.w menghantar kepada mereka seramai 70 orang lelaki dalam kalangan Ansar dikenali dengan ahli Qurra’ iaitu mereka yang membaca dan mengaji Al-Quran. Dalam kalangan mereka, bapa saudara aku (bapa saudara Anas r.a, adik beradik kepada ibunya) Haram Bin Milham yang mana mereka ini membaca Al-Quran, mempelajari di waktu malam dan mengajinya dan adalah mereka itu di waktu siang datang mengangkut air dan mereka meletakkan air itu di masjid dan mereka mencari kayu api dan mereka menjualnya dan membeli dengannya akan makanan dan diberi kepada ahli Sufah (orang-orang faqir dan tidak ada keluarga yang tinggal di serambi rumah Nabi s.a.w seperti Abu Hurairah) dan orang-orang faqir. Maka Nabi s.a.w menghantar mereka (menghantar golongan Qurra’) yakni kepada orang Badawi. Lalu mereka itu (orang-orang Badawi yang kafir itu) telah melakukan terhadap mereka maka membunuh mereka sebelum mereka sampai ke tempat yang dituju lalu mereka berkata sebelum dibunuh : ”Ya Allah Ya Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami” dan datang seorang di kalangan musuh kepada Haram (bapa saudara Anas) dari belakangnya lalu menikamnya dengan tombak sehingga menembusinya. Lalu Haram berkata : ”Aku telah berjaya demi Tuhan Kaabah”. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w : “Sesungguhnya saudara-saudara kamu telah dibunuh dan sesungguhnya mereka telah berdoa : “Wahai Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami, Wahai Tuhan kami”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim, dan ini lafaz Muslim)

Huraian hadith :-
Peristiwa ini menceritakan tentang ahli Qurra’ (Qari-Qari Al-Quran dan mereka yang tahu hukum agama) seramai 70 orang daripada kalangan Ansar yang dihantar oleh Nabi s.a.w kepada satu qabilah Arab di Najd. Qabilah Arab ini datang dengan tujuan menipu bukan untuk masuk Islam. Mereka berpura-pura bahawa mereka telah masuk Islam dan berkata wahai Rasulullah, “hantarlah kepada kami guru-guru yang mengajar kami”. Maka Rasulullah menghantar 70 orang ahli Qurra’ ini. Sewaktu di pertengahan jalan sebelum sampai ke destinasi, tiba-tiba mereka telah diserang oleh musuh. Ahli Qurra’ ini telah diperangkap oleh Qabilah Arab Badawi. Qabilah ini bukan mahu memeluk Islam tetapi mahu menipu untuk membunuh sahabat-sahabat radhiyallahu ‘anhum. Mereka yang diperangkap ini terdiri daripada sahabat-sahabat yang mengaji bersama dengan Nabi s.a.w di waktu malam dan di waktu siang hari mereka mencari kayu api dan menjualnya untuk membeli makanan untuk diberikan kepada ahli Sufah (orang-orang faqir dan miskin yang tinggal di serambi rumah Nabi s.a.w). Mereka juga mengangkut air dan diletakkan di masjid untuk dijadikan air wudhu’ oleh mereka yang datang ke masjid. Mereka ini merupakan orang-orang yang baik dan tiba-tiba Allah memilih mereka untuk mati sebagai mati syahid. Sebelum mereka dibunuh oleh musuh-musuh, mereka berdoa kepada Allah Ta’ala dengan doa (antara yang berdoa itu ialah Haram Bin Milhan, bapa saudara Anas r.a) : “Ya Allah Ya Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami (berita yang berlaku kepada kami ini) kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami”. Ketika mereka sedang berdoa, dating seorang kafir menikam Haram dari belakang sehingga menembusi dadanya dan haram berkata : “Demi Tuhan, aku telah berjaya”. Haram gembira kerana mati syahid. Berita ini kemudiannya dibawa oleh Malaikat Jibril ke madinah dan menyampaikannya kepada Nabi s.a.w. Nabi s.a.w menerima berita ini dengan menangis dan dengan sedih. Salah seorang dari mereka dibawa ke Mekah dan diserahkan kepada golongan Musyrikin Mekah lalu dihiris dengan pisau dan dijadikan upacara oleh Musyrikin Mekah lalu mereka mempersendakan bagaimana kalau kami memberitahu kepada Muhammad kamu diseksa. Kata sahabat itu : “Aku tidak rela Muhammad kena duri, lebih baik aku dibunuh.” Seorang pemimpin kafir yang masuk Islam menceritakan peristiwa ini : “Aku tidak pernah tengok seorang yang kasih kepada orang lain sebagaimana sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad s.a.w sehingga rela mati daripada nabi kena duri apatah lagi Nabi dibunuh.” Terkejut. Ketika dihiris, sahabat ini mengatakan bahawa dia telah mencapai kebahagiaan sebagaimana yang telah dijanji oleh Allah Ta’ala dan dijanji oleh Nabi s.a.w yang mana Nabi s.a.w menerima berita ini daripada Malaikat Jibril. Nabi mengarahkan dan mengajak sahabatnya berqunut dan bermula itulah qunut dibaca dalam solat Subuh. Doa Qunut ialah memohon petunjuk dari Allah, dan memohon Allah memberi pertolongan dan member kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Qunut dibaca bersempena dengan peristiwa sahabat Nabi s.a.w yang dihantar untuk mengajar Al-Quran telah dibunuh oleh orang-orang kafir. Nabi membaca qunut selepas solat dan dalam Mazhab Syafi’e, qunut menjadi sunat ab’ad dalam fardhu Subuh dan solat Witir separuh yang akhir di bulan Ramadhan. Hadith ini menunjukkan bagaimana ketaatan para sahabat radhiyallahu ‘anhum kepada Nabi s.a.w. Mereka sanggup pergi ke tempat yang jauh lagi merbahaya kerana perintah Rasulullah s.a.w sehingga mereka dibunuh oleh musuh-musuh Islam. Mereka juga dianggap sebagai orang-orang yang berjihad. Mereka yang mengajar dan menyampaikan ilmu dikira sebagai berjihad dan mereka yang dibunuh kerana menyampaikan ilmu, mereka juga dianggap syahid di sisi Allah s.w.t. (Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang)

1 comment: