Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Sunday, January 16, 2011

Konflik Di Tunisia

Disusun oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Fenomena serangan terhadap Islam bukanlah baru di Tunisia, sama ada ia diperintah oleh Presiden Zein El Abidin Ben Ali, atau pun pada zaman pemerintahan mantan Presiden Habib Bourqiba. Setiap kali pertukaran pemerintah, kebencian terhadap Islam melua-luap pada raut wajah mereka yang bergelar presiden.

Tunisia yang pernah dijajah Itali dan Perancis, serta warganegara yang terdiri daripada majoriti di kalangan bangsa Arab, disusuli Barbar (puak nomad), Yahudi dan lain-lain berhasrta menjadikan Negara ini ala barat dalam segenap bidang kehidupan di kalangan masyarakat.

Justeru, rakyatnya yang sebelum ini fasih berbahasa Arab, semakin hari semakin malap penguasaan pertuturan bahasa berkenaan lantaran kecenderungan para pemimpin untuk menjadikan bahasa Perancis lebih daripada bahasa Arab walaupun mereka daripada keturunan Arab.

Muzik ala Perancis juga diperkenalkan secara meluas bagi memastikan agar generasi dan tunas-tunas baru mengaguminya dengan tidak merujuk kepada budaya muzik Arab yang lebih sopan dan Islamik.

Inilah hakikat yang tidak dapat dibendung daripada diketahui umum. Terbaru,kira-kira 400 tahanan yang dipenjara sejak beberapa tahun atas kesalahan kerana terlibat dalam menyokong parti dan pertubuhan Islam, telah mengadakan mogok lapar sebagai bantahan terhadap pihak berkuasa pimpinan Zein El Abidin.

Bantahan dibuat kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan layanan buruk yang diterima sejak akhir-akhir ini. Kemudahan dan penyediaan untuk menyambut bulan Ramadhan dinafikan, seperti penyediaan makanan untuk berbuka puasa dan sahur, mereka tidak disediakan empat untuk bersolat, bukan sahaja untuk bertarawih, tetapi untuk solat fardhu juga mereka mengahadapi masalah.

Walaupun tindakan mereka mendapat simpati dan sokongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Anti-Kekejaman Tunisia, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Tunisia, pihak berkuasa tidak bersedia untuk menerima dan melayan memorandum bantahan yang diajukan kepada mereka, setiap surat bantahan dan apa sahaja namanya dibakulsampahkan oleh pihak berkuasa.


Penentangan Terhadap Islam

Sebenarnya para pemimpin Tunisia seperti yang disifatkan sesetengah pemerhati politik, tidak terpengaruh dan terkesan dengan keilmuan tokoh Islam dan ahli falsafah Tunisia terkenal iaitu Ibn Khaldun yang lahir pada 27 Mei 1332M.

Ketokohan beliau diiktiraf oleh kebanyakan para sarjana Islam yang begitu mengkagumi pemikirannya yang mampu mmengubah keadaan individu Muslim menjadi insan yang sempurna sepeti yang dilontarkan dalam hasil tulisan terkenal beliau iaitu ‘Muqaddimah’, bukan sahaja di negaranya sendiri, bahkan negara-negara berjiran sepeti Algeria, Maghribi, Libya, dan Mesir.

Ketidaksungguhan pemimpin nombor satu negara Tunisia ketika ini, Zein El Abidin tidak segan silu untuk melakukan tindakan di luar jangkaan banyak pihak, setiap kali menjelang Ramadhan, ada sahaja tindakannya yang tidak selari dengan Islam malah tidak bertamadun seperti menghalang para pelajar bertudung daripada memasuki premis kerajaan, membiarkan tahanan daripada aktivis Islam menderita dalam penjara dan sebagainya.

Tindakannya itu mirip kepada apa yang pernah dilakukan oleh mantan presiden sebelumnya, Habib Bourqiba yang mengarahkan pihak stesen televisyen rasmi Tunisia menyiarkan siaran langsung majlis makan tengah hari daripada rumahnya pada bulan Ramadhan dan menjadikan arak sebagai minuman rasmi.

Tindakan Habib itu mendapat kecaman hebat daripada tokoh-tokoh ulama yang malu dengan sikapnya menghina Islam secara terang-terangan tanpa berselindung yang boleh ditonton oleh rakyat berbilang agama menerusi kaca tv.

Setelah peralihan kuasa berlaku pada November 1987, kebnanyakan rakyat yang semakin bosan dengan penghinaan terhadap Islam oleh mantan presiden, mereka mengharapkan agar kepimpinan yang baru yang diterajui oleh Zein El Abidin Ben Ali yang menang Dalam pilhanraya presiden Tunisia, dapat melakukan sesuatu yang terbaik bagi mengembali dan memulihkan imej Islam di mata dunia.

Tetapi tanggapan mereka meleset, kerana apa yang dilakukan oleh Zein El Abidin tidak kurang sepeti pemimpin sebelumnya, bahkan ada yang menyifatkan lebih teruk dan berbahaya terhadap Islam sebagai agama rasmi negara.

Ramadhan Dijangka Suram

Ancaman terbaru yang melanda golongan Muslimat Tunisia ialah halangan pihak berkuasa yang mengeluarkan arahan rasmi agar semua Muslimat bertudung di semua peringkat, sama ada pegawai atau kakitangan kerajaan dan swasta, para pelajar perempuan di sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi tidak dibenarkan masuk di premis-premis kerajaan seperti pejabat, sekolah, daln lain-lain.

Begitu juga wanita yang berurusan di jabatan-jabatan kerajaan khususnya dengan memakai hijab dan pakaian yang sempurna, mereka tidak akan dilayan dengan adil malah dinasihatkan balik tanpa urusan mereka diselesaikan terlebih dahulu melainkan mereka menanggalkan hijab. Arahan khusus itu dikeluarkan seminggu sebelum ketibaan bulan Ramadhan.

Arahan itu disifatkan oleh kebanyakan pensyarah universiti dan para guru di sekolah-sekolah menengah sebagai mencabuli hak asasi rakyat, malah tindakan itu juga sebagai kemuncak penentangan terhadap Islam yang memalukan, apatah lagi pihak berkuasa kononnya melaungkan kepada umum bahawa mereka adalah penganut agama Islam.

Apa pun arahan itu menyebabkan Muslimat di Tunisia sebagai gusar dan bimbang, kerana arahan seumpama itu hanya mengundang kemarahan Allah Ta’ala dan Dia sahaja boleh bertindak untuk menghukum manusia dengan menurunkan bala yang bukan sahaja ditimpa ke atas oran yang jahat, tetapi juga meliputi orang-orang yang baik juga.

Harakah, Bil. 1561, Ruangan Fikrah, 21-24 Syaaban 1431H/2-5 Ogos 2010

p/s - Tajuk asal artikel ini ialah "Ramadhan Suram Di Tunisia" telah diubah kepada "Konflik Di Tunisia" sebagai menepati keadaan negara Tunisia sekarang.

Kini Zein El Abidin telah pun meletakkan jawatannya dan mencari perlindungan di Arab Saudi. Mudah-mudahan kepimpinan Tunisia yang baru akan mengembalikan kedaulatan Islam di negara Tunisia. Setiap pimpinan itu akan ditanya tentang pimpinan mereka.

Monday, December 13, 2010

Akad Nikah Ketika Berlakon Sah

KAHERAH: Sekumpulan ulama’ Al-Azhar dalam kenyataan akhbar tempatan serta laman web rasmi mereka mengulangi pendirian bahawa para artis yang berlakon dengan melakonkan akad nikah dalam siri lakonan mereka dianggap sah sebagai suami isteri dan boleh tinggal di bawah satu bumbung. Mereka berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan yang menyiarkan pandangan beberapa orang penggiat seni di Mesir, yang menyokong drama siri bercorak kekeluargaan yang disiarkan sepanjang bulan Ramadhan baru-baru ini yang boleh dijadikan contoh buat tatapan umum masyarakat Arab di Mesir khususnya dan Negara-negara Arab lain umumnya.

Pandangan ulama’ Al-Azhar yang diwartakan selepas itu sebagai salah satu bahan fatwa menyebut, bahawa dalam drama bersiri itu terdapat lakonan seorang artis wanita muda yang telah pun berkahwin, namun dalam lakonan itu beliau memegang watak seorang anak gadis yang dipinang oleh seorang lelaki dan akhirnya membawa kepada alam perkahwinan.

Perkahwinan itu dilakonkan dengan proses akad nikah dengan saksi dan segala yang berkaitan dengannya, di mana fatwa itu menyebut bahawa nikah itu adalah sah dan artis wanita itu berkahwin dengan dua lelaki, suaminya yang pertama dan suaminya ketika berlakon. Walaupun isu ini hangat suatu ketika dahulu namun ia cuba disembunyikan oleh pihak tertentu, namun dibangkitkan semula apabila drama bersiri itu ditayangkan semula dalam tempoh sebulan pada Ramadhan lalu yang mengundang kontroversi kerana ia jadi tatapan sepanjang hari di bulan Ramadhan.

Walau bagaimanapun, para ulama’ berkenaan menyandarkan pandangan mereka kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tiga perkara jika dilakukan dengan betul, maka akan berlakulah ia dan apabila dilakukan dengan main-main pun ia akan berlaku; yaitu nikah, hamba sahaya, dan penceraian”. –Naseej.com

Harakah, Bil. 1595, 4-6 Muharam 1432H/10-12 Disember 2010, hal. F15

Thursday, September 9, 2010

Salam Aidilfitri

بسم الله الرحمن الرحيم

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (bilangan puasa Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah Ta’ala atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Dari A’isyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Hari Raya (Aidil) Fitri adalah hari orang-orang berbuka dan Hari Raya (Aidil) Adha adalah hari orang-orang berqurban." (Riwayat Tirmizi)

Segala puji bagi Allah Ta’ala yang bersifat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim akan hamba-Nya. Dia juga Yang Menciptakan alam tanpa ada sekutu dan penolong baginya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Bin Abdullah s.a.w, ahli keluarganya, serta sahabat-sahabat Baginda yang lain.

Sudah cukup sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubaarak bagi tahun 1431 Hijriyah. Kini sudah tiba waktunya untuk umat Islam meraikan hari kemenangan.

Masuknya kita ke bulan Syawal bukan bererti kita boleh bebas melakukan perkara yang telah dilarang. Sebaliknya, ia perlu disusuli dengan amalan-amalan yang telah dianjurkan oleh Islam. Jika dalam sebulan (di bulan Ramadhan) kita mampu melakukan ibadah-ibadah sunat, bahkan ‘berlumba-lumba’ untuk melaksanakannya maka mengapa kita tidak menjadikan ia sebagai amalan di bulan-bulan yang lain.

Bulan Ramadhan sebagai ‘madrasah’ atau waktu berkursus untuk menjinakkan hawa nafsu yang telah lama meliar dalam diri manusia. Kesungguhan, semangat, dan istiqamah beribadat dalam bulan Ramadhan harus dikekalkan ke bulan-bulan yang berikutnya kerana jika kita berjaya mengamal dan membawa ‘semangat’ dan kesungguhan beribadah itu, maka itulah keberkatan yang sebenarnya kita perolehi dari Ramadhan al-Mubaarak dan itulah yang kita harapkan daripada ‘kursus’ yang kita jalani selama sebulan.

Dalam merayakan Aidil Fitri, perlulah kita ingat akan batas-batas yang perlu dijaga. Yang haram tetap haram. Tiada kompromi sekalipun kita di bulan ‘perayaan’. Islam berbeza dengan agama lain termasuklah dalam cara meraikan sesuatu perayaan. Janganlah kerana ingin ‘membalas dendam’ akibat ‘terkongkong’ selama sebulan, apabila tiba syawal maka tidak diendah lagi akan halal haramnya.

Kita umat yang bermatlamat, berakhlak seharusnya berbeza dengan golongan kuffar dalam merayakan perayaan kita. Jika kita juga terlampau bebas dan meraikan perayaan dengan cara yang sama (dengan kafir), maka apa bezanya kita dengan mereka? Pelbagai aturan telah disusun untuk kita beraya. Bermula pagi, solat Subuh, kemudian bertakbir, selepas itu solat sunat hari raya diikuti dengan dua khutbah sunat (serta diiringi bersama-samanya beberapa amalan sunat yang lain) maka ia terkandung satu disiplin hidup yang amat kompleks dan teratur. Sangat teratur.

Justeru, marilah kita terus meningkatkan ibadah dan ketaqwaan kita kepada Allah Ta’la kerana matlamat utama kita ialah akhirat. Di kesempatan ini juga, saya dan keluarga ingin memohon kemaafan atas segala salah dan khilaf yang pernah dilakukan oleh kami sekeluarga sama ada senghaja mahupun tidak. Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara. Salam Aidilfitri.

Mohammad Zaki Yahpar Yahya,
No. 23 Kg. Telok kemang,
Sg. Mati 84400,
Ledang,
Johor Darul Takzim.

Monday, August 16, 2010

Seorang Anjing Seekor Manusia

Selalu aku perhatikan
anjing kurus dan kotor itu
melintas lalu di lorong ini
dengan kaki terdengkut
akibat dibaling dengan batu.

Hari-hari pun begitulah ia
sering mencari makanan dengan
menyelongkar tong-tong sampah
di kawasan tersebut meski ia akan
terus dibaling dan dibaling lagi
dengan batu.

Suatu petang ia tiba-tiba
menyalak dengan lebih nyaring
daripada selalu sambil menarik
sebuah bungkusan plastik berdarah
untuk seketika sekitar lorong
menjadi gempar lalu orang bergegas
mengejarkan seorang bayi ke hospital.

Seekor manusia membuang anak
Seorang anjing menyelamatkannya.

Pada zaman serba canggih
dan maju ini
anjing
kadang-kadang menjadi lebih baik
daripada manusia!

Zahari Hasib, Teluk Intan, Perak.

Utusan Melayu Mingguan, Isnin, 19 Julai 2010, hal. 13.

Friday, August 13, 2010

Prinsip Politik (Parti) Palestin

Pada pagi semalam (12/08/2010) sempat menonton Buletin Awani (Astro Awani) untuk melihat perkembangan Misi Ke Gaza. Waratwan Astro Awani, Ashwad Ismail telah menyampaikan maklumat-maklumat terkini perjalanan mereka di Gaza. Mereka disambut baik oleh pemimpin Palestin dari parti Hamas, Ismail Haniyeh. Dalam perbualan Ashwad, beliau ada menyatakan bahawa Ismail Haniyeh menyatakan kemustahilan Hamas dan Fatah untuk bekerjasama. Ashwad menerangkan bahawa Ismail Haniyeh menerangkan sebab ketidakbolehan Hamas dan Fatah bersatu. Ismail Haniyeh menyatakan bahawa Hamas merupakan sebuah parti yang berjalan dan berdiri atas prinsip sebenar yang dianjurkan oleh Islam manakala Fatah merupakan parti yang berjalan di atas sistem sekular.

Baru-baru ini, sibuk di Negara kita tentang ajakan dan pelawaan beberapa orang kepada PAS untuk bergabung. Ada juga yang menawarkan diri sebagai orang tengah. Mursyidul Am PAS telah meletakkan syarat jika mahu meneruskan kesatuan itu. Syaratnya mudah sahaja iaitu UMNO menerima Islam.

Secara umumnya, kedua-dua parti ini mempunyai prinsip dan matlamat yang (agak) berbeza. PAS (sejak dahulu lagi) merupakan sebuah parti yang mendokong dan berprinsipkan ajaran sebenar Islam. UMNO pula sebuah parti yang mana penubuhannya ialah untuk membela kaum Melayu di Tanah Melayu (Malaysia).

Memang terdapat di setiap tempat bahawa ada pihak yang memperjuangkan Islam dan ada yang menolak, bahkan mempertiakaikannya (Hukum Islam). Tidak terkecuali bahawa di Negara kita juga wujud golongan-golongan ini yang mana berbeza ideologi politik mereka.

Ringkasnya, pendirian (prinsip) politik di Palestin, seperti berikut:
Hamas = Membawa prinsip Islam sebenar.
Fatah = Membawa sistem sekular.

Nilailah dengan mata hati yang terbuka. Kita semua dikurniakan akal untuk berfikir dan membezakan yang haq dan yang batil. Wallahu a’lam.

*Pendapat ini merupakan pendapat peribadi. Tidak mewakili mana-mana parti, pertubuhan, atau persatuan. Perkara yang benar mesti dinyatakan, dan yang salah mesti diperbetul (ditegur).

Saturday, July 17, 2010

Adolf Hitler: Fakta Yang Jarang Diketahui

Apa yang bakal anda baca ini ialah sebuah email yang saya terima dari seorang kawan dari Arab Saudi...saya terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan saya kongsi bersama anda semua...
____________________________________________________________________________

Penghormatanku kepada lelaki agung, Adolf Hitler, semoga ada sepertinya di zaman ini...




Aku berbual dengan seorang ahli keluarga yang sedang menamatkan tesis PhD beliau dan aku amat terperanjat apabila beliau nyatakan tesis beliau berkaitan Adolf Hitler, pemimpin Nazi. Maka aku katakan "Takkan dah habis semua tokoh Islam di dunia ini sampai kamu memilih si bodoh ini dijadikan tajuk?"

Beliau ketawa lalu bertanya apa yang aku ketahui tentang Hitler.

Aku lalu menjawab bahawa Hitler seorang pembunuh yang membunuh secara berleluasa dan meletakkan German mengatasi segala-galanya...lalu dia bertanya dari mana sumber aku. Aku menjawab sumberku dari TV pastinya.

Lalu dia berkata : " Baiklah, pihak British telah melakukan lebih dahsyat dari itu...pihak Jepun semasa zaman Emperor mereka juga sama...tapi kenapa dunia hanya menghukum Hitler dan meletakkan kesalahan malahan memburukkan nama Nazi seolah-olah Nazi masih wujud hari ini sedangkan mereka melupakan kesalahan pihak British kepada Scotland, pihak Jepun kepada dunia dan pihak Afrika Selatan kepada kaum kulit hitam mereka?"

Aku lantas meminta jawapan dari beliau. Beliau menyambung : "Ada dua sebab -

1. Prinsip Hitler berkaitan Yahudi, Zionisme dan penubuhan negara Israel. Hitler telah melancarkan Holocaust untuk menghapuskan Yahudi kerana beranggapan Yahudi akan menjahanamkan dunia pada suatu hari nanti.

2. Prinsip Hitler berkaitan Islam. Hitler telah belajar sejarah kerajaan terdahulu dan umat yang lampau, dan beliau telah menyatakan bahawa ada tiga tamadun yang terkuat, iaitu Parsi, Rome dan Arab. Ketiga-tiga tamadun ini telah menguasai dunia satu ketika dulu dan Parsi serta Rome telah mengembangkan tamadun mereka hingga hari ini, manakala Arab pula lebih kepada persengketaan sesama mereka sahaja. Beliau melihat ini sebagai satu masalah kerana Arab akan merosakkan Tamadun Islam yang beliau telah lihat begitu hebat satu ketika dulu.

Atas rasa kagum beliau pada Tamadun Islam, beliau telah mencetak risalah berkaitan Islam dan diedarkan kepada tentera Nazi semasa perang, walaupun kepada tentera yang bukan Islam.




Beliau juga telah meberi peluang kepada tentera German yang beragama Islam untuk menunaikan solat ketika masuk waktu di mana jua...bahkan tentera German pernah bersolat di dataran Berlin dan Hitler ketika itu mennggu sehingga mereka tamat solat jemaah untuk menyampaikan ucapan beliau...







Hitler juga sering bertemu dengan para Ulamak dan meminta pendapat mereka serta belajar dari mereka tentang agama dan kisah para sahabat dalam mentadbir...




Hitler bersama Syeikh Amin Al-Husainiy

Beliau juga meminta para Sheikh untuk mendampingi tentera beliau bagi mendoakan mereka yang bukan Islam dan memberi semangat kepada yang beragama Islam untuk membunuh Yahudi...





Seorang tentera Nazi melekatkan gambar Mufti Al-Quds

Semua maklumat ini ialah hasil kajian sejarah yang dilakukan oleh saudara aku untuk tesis PhD beliau dan beliau meminta aku tidak menokok tambah apa-apa supaya tidak menyusahkan beliau untuk membentangkannya nanti. Beliau tidak mahu aku campurkan bahan dari internet kerana aku bukan pakar bidang sejarah. Tetapi gambar-gambar yang ada di sini sudah lama tersebar dan semua orang boleh melihatnya di internet.

Aku juga sedaya upaya mencari maklumat tambahan di internet dan berjumpa beberapa perkara :

1: Pengaruh Al-Quran di dalam ucapan Hitler.
Ketika tentera Nazi tiba di Moscow, Hitler berhajat menyampaikan ucapan. Dia memerintahkan penasihat-penasihatnya untuk mencari kata-kata pembukaan yang hebat tak kira dari kitab agama, kata-kata ahli falsafah ataupun dari bait syair. Seorang sasterawan Iraq yang bermastautin di German mencadangkan ayat Al-Quran :

(اقتربت الساعة وانشق القمر) bermaksud : Telah hampir Hari Kiamat dan bulan akan terbelah...

Hitler berasa kagum dengan ayat ini dan menggunakannya sebagai kalam pembukaan dan isi kandungan ucapan beliau. Memang para ahli tafsir menghuraikan bahawa ayat tersebut bermaksud kehebatan, kekuatan dan memberi maksud yang mendalam.

Perkara ini dinyatakan oleh Hitler di dalam buku beliau Mein Kampf yang ditulis di dalam penjara bahawa banyak aspek tindakan beliau berdasarkan ayat Al-Quran, khususnya yang berkaitan tindakan beliau ke atas Yahudi...


2. Hitler bersumpah dengan nama Allah yang Maha Besar

Hitler telah memasukkan sumpah dengan nama Allah yang Maha Besar di dalam ikrar ketua tenteranya yang akan tamat belajar di akademi tentera German.

" Aku bersumpah dengan nama Allah (Tuhan) yang Maha Besar dan ini ialah sumpah suci ku,bahawa aku akan mentaati semua perintah ketua tentera German dan pemimpinnya Adolf Hitler, pemimpin bersenjata tertinggi, bahawa aku akan sentiasa bersedia untuk berkorban dengan nyawaku pada bila-bila waktu demi pemimpin ku"


3. Hitler telah enggan meminum beer (arak) pada ketika beliau gementar semasa keadaan German yang agak goyah dan bermasalah. Ketika itu para doktor mencadangkan beliau minum beer sebagai ubat dan beliau enggan, sambil mangatakan " Bagaimana anda ingin suruh seseorang itu minum arak untuk tujuan perubatan sedangkan beliau tidak pernah seumur hidupnya menyentuh arak?"

Ya, Hitler tidak pernah menjamah arak sepanjang hayat beliau...minuman kebiasaan beliau ialah teh menggunakan uncang khas...



Bukanlah tujuan penulisan ini untuk membela apa yang dilakukan oleh Hitler, tetapi ianya bertujuan untuk menyingkap apa yang disembunyikan oleh pihak Barat. Semoga kita semua beroleh manfaat.

Thursday, July 1, 2010

Kedudukan Ulama'

Ulama' itu sebagai penyuluh di atas muka bumi. Maka sayugia ulama' ini berada di atas landasan dan tempat yang betul supaya setiap ucapan yang perkataan mereka menjadi berharga dan bernilai.

Seekor harimau, apabila berada di hutan, dia akan digeruni oleh manusia. Namun apabila harimau itu di dalam zoo, ia tidak menjadi haiwan yang digeruni bahkan boleh diacah-acah lagi oleh manusia.

Begitulah juga keadaannya dengan ulama'=ulama' dalam sesebuah negara. Ulama' semestinya perlu berada di tempat yang sepatutnya supaya mereka tidak dipandang remeh dan kebenaran yang dinyatakan tidak akan dipersia oleh kerajaan.

Ulama'-Ulama' terdahulu seperti Imam Syafi'e, Imam Ahmad, dan lainnya pernah dihukum penjara bahkan disebat oleh kerajaan. Bukanlah disebabkan oleh ulama' itu melakukan kesalahan, tetapi disebabkan mereka tidak bersependapat dengan kemahuan kerajaan, maka mereka dihukum oleh kerajaan yang zalim.

Sesungguhnya bagi pejuang-pejuang Islam, ujian dan cabaran itu pasti ada. Kesabaran dan kesungguhan dalam menyampaikan Islam kepada manusia perlu diperkuat supaya tidak tidak mudah menyerah dan mengalah.

Tuesday, April 13, 2010

Hukum Memberi Salam Dan Yang Berkaitan Dengannya

Pengenalan

Salam ialah mengucap السلام عليكم.

Dalil firman Allah تعالى :

ياأيها الذين آمنوا لا تدخلوا بيوتا غير بيوتكم حتى تستأنسوا وتسلموا على أهلها ذلكم خير لكم لعلكم تذكرون

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

فإذا دخلتم بيوتا فسلموا على أنفسكم تحية من عند الله مباركة طيبة كذلك يبين الله لكم الآيات لعلكم تعقلون

Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah Ta'ala cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.

Hadith Nabi صلى الله عليه السلم

عن ابن عمر رضي الله عنهم أن رجلا سأل رسول الله صلى الله عليه السلم اى الاسلام خير؟ قال تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرفز

Diriwayatkan dari Ibnu Umar رضي الله عنهم bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه السلم “ apakah Islam yang baik?” bersabda Rasulullah صلى الله عليه السلم “memberi makan akan makanan dan memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang kamu tidak kenal.



Rukun salam:

1. Orang yang memberi salam.
2. Orang yang diberi salam kepadanya
3. Lafaz yang digunakan bagi memberi salam dan menjawabnya.

Syarat orang yang memberi salam

Islam dan mumayyiz.

Ertinya apabila memberi salam oleh seorang islam sekalipun kanak-kanak yang mumayyiz wajib menjawab salam.

Syarat orang yang menerima salam:

Islam, mumayyiz dan baligh.

Ertinya harus memberi salam kepada kanak-kanak mumayyiz.

Dan wajib orang yang baligh menjawab salam kanak-kanak mumayyiz.

Syarat bagi ucapan salam

1. Mestilah berlafaz pada memberi salam dan menjawabnya.
2. Mengeluarkan suara serta memperdengarkan salam ketika memberi salam dan menjawabnya.
3. Hendaklah berhubung antara memberi salam dan menjawabnya.

Ucapan memberi salam

1. Ucapan memberi salam yang afdhal ialah السلام عيكم ورحمة الله وبركاته . dengan lafaz ramai (kamu) dalam bahasa arab (كم) sekalipun orang yang diberi salam seorang sahaja.

2. السلام عليكم (kesejahteraan itu di atas kamu)

3. السلام عليك (kesejahteraan itu di atas engkau)

4. سلام عليك (sejahtera di atas engkau)

Ucapan menjawab salam

1. Ucapan menjawab salam yang afdhal وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته dengan lafaz ramai, sekalipun orang yang memberi salam hanya seorang.
2. وعليكم السلام
3. وعليك السلام
4. عليكم السلام
5. السلام عليكم ini sama dengan lafaz memberi salam
6. سلام عليكم

Hukum memberi salam dan menjawabnya.

Hukum asal memberi salam adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib.

Bahagian orang yang memberi salam dan yang menjawabnya, serta hukum memberi dan menjawab salam antara mereka itu.


Ucapan salam antara dua lelaki

1. memberi salam ialah sunat aini sekiranya orang yang memberi salam seorang dan menjawabnya adalah fardhu ain sekiranya yang diberi salam seorang.
2. memberi salam ialah sunat aini sekiranya orang yang memberi salam seorang dan menjawabnya adalah fardhu kifayah sekiranya orang yang diberi salam lebih dari satu orang.
3. memberi salam ialah sunat kifayah sekiranya yang memberi salam lebih dari seorang, menjawabnya adalah fardhu ain sekiranya yang menerima salam seorang.

Ucapan salam antara dua orang perempuan

Hukumnya sama seperti salam antara dua orang lelaki.

Ucapan salam antara lelaki dan perempuan

1. Sekiranya yang memberi salam atau menjawab salam itu isteri, hambanya atau orang yang haram berkahwin dengannya hukumnya sama seperti salam antara lelaki sesama lelaki.
2. Makruh atas lelaki memberi salam terhadap perempuan muda yang boleh dikahwini sedangkan perempuan itu haram menjawabnya.
3. Haram perempuan muda yang boleh dikahwini memberisalam, sementara lelaki yang diberi salam makruh menjawabnya.
4. Harus seorang lelaki memberi salam kepada sekumpulan perempuan dan wajib diatas salah seorang dari mereka itu menjawabnya sekiranya tidak timbul fitnah.
5. Sunat sekumpulan perempuan memulakan salam dan wajib atas lelaki menjawabnya jika tidak timbul fitnah.
6. apabila sekumpulan lelaki memberi salam terhadap seorang perempuan wajib dia menjawab sekiranya tidak takut fitnah, begitu juga sebaliknya.
7. harus sekumpulan lelaki memberi salam terhadap sekumpulam wanita dan wajib mereka itu menjawabnya jika tidak takut fitnah begitu juga sebaliknya.

Ucapan salam antara kanak-kanak dan orang dewasa

1. Pendapat yang sahih menyatakan bahawa sunat kanak-kanak memberi salam terhadap orang dewasa manakala mereka itu wajib menjawabnya
2. Harus bagi orang dewasa memberi salam kepada kanak-kanak dan sunat mereka itu menjawabnya.

Ucapan salam antara orang yang mendengar dan orang yang pekak

1. Apabila hendak memberi salam kepada orang yang pekak hendaklah seorang itu menghimpunkan antara berlafaz dan memberi isyarat maka wajib orang yang pekak itu menjawabnya.
2. Sekiranya orang yang pekak memberi salam wajiblah seorang itu menjawab dengan menghimpunkan berlafaz dan isyarat.

Ucapan salam antara orangyang boleh bertutur dengan orang yang bisu

1. Sekiranya orang yang boleh bertutur memberi salam kepada orang yang bisu dan membuat isyarat orang yang bisu pada menjawab salam nescaya gugur fardhu dari orang yang bisu.
2. Apabila orang yang bisu memberi salam dengan isyarat kepada orang yang boleh bertutur maka wajib di atas orang yang boleh bertutur menjawabnya.

Memberi salam atau menjawab salam orang fasik, orang yang buat bida’h dan orang yang melakukan dosa yang besar.

Tidak disunatkan memberi salam kepada mereka dan begitu juga tidak wajib menjawab salam mereka itu bahkan seeloknya jangan memberi salam dan menjawab salam mereka itu.

Salam antara muslim dan kafir.

Haram memberi salam kepada orang kafir dan harus menjawabnya dengan lafas وعليكم sahaja, jika ada yang memberi salam kafir zimmi.

Harus menulis surat yang dihantar kepada orang kafir dengan lafazوسلام على من اتبع الهدى pada awal tulisan.

Memberi salam kepada orang Islam yang bercampur gaul dengan orang kafir

Disunatkan memberi salam kepada mereka dengan qasad memberi salam kepada orang Islam.

Mengirim salam kepada mereka yang tiada bersama kita

Disunatkan mengirim salam kepada orang yang tidak bersama kita sama ada dengan menghantar surat atau mengirim salam melalui orang lain dan wajib orang yang itu menyampaikannya.

Wajib orang yang menerima salam yang dikirimkan menjawabnya dengan bersegera sekiranya salam yang dikirim mencukupi syarat, kecuali pada surat, tidak disyaratkan berlafas.

Waktu-waktu yang tidak disunatkan memberi salam, dan tidak wajib menjawabnya, iaitu pada ketika:

1. sedang qadha' hajat (buang air besar atau kecil)
2. sedang jimak.
3. sedang istinja.
4. sedang minum.
5. sedang makan.
6. sedang tidur.
7. sedang mengantuk.
8. sedang sujud.
9. sedang sembahyang.

10. azan.

11. iqamat.

12. di dalam bilik air.

Dan lain-lain yakni pada tiap-tiap orang yang sedang sibuk dengan urusannya yang tidak layak memberi salam kepadanya atau orang yang sedang beribadat.

Adab memberi salam

Hendaklah yang memulakan memberi salam:

Kanak-kanak kepada orang dewasa.

Orang sedikit terhadap orang yang banyak.

Orang yang datang terhadap orang yang duduk

Orang yang berkenderaan terhadap orang yang berjalan kaki. والله اعلم

SUMBER